Tuesday, April 12, 2011

Watak hitam Marsha


MICHAEL ANG (kiri) bersama barisan pelakon Kum Kum The Series.


GANDINGAN kostum kebaya berona serba putih ditambah seri dengan lilitan sehelai selendang yang menutupi aurat mungkin satu perawakan yang janggal buat bintang jelita ini. Dia yang pada kebiasaannya memegang karakter personaliti bergaya urban, elegan dan seksi, telah mencetus satu fenomena berbeza melalui perwatakan terbaru, Mawar.

Marsha Lea Milan Londoh ataupun nama komersialnya, Marsha Londoh, kini bersedia untuk muncul dalam siri seram, Kum Kum The Series.

Marsha yang ditemui Kosmo! pada majlis pelancaran drama bersiri Kum Kum yang berlangsung di Restoran Marche, The Curve, Damansara, baru-baru ini, memberitahu cabaran yang dihadapi dalam menjayakan drama bersiri bukan sahaja melibatkan komitmen dari segi fizikal sahaja tetapi juga memerlukan persediaan mental yang tinggi.

Sementelah ini pertama kali dia mencuba watak ‘hitam’ yang tentunya akan membuka pintu baru buatnya sebagai pelakon.

Gadis kelahiran Tamparuli, Sabah yang berusia 26 tahun itu mengakui bukan mudah untuk membawa watak-watak yang berunsur misteri, paranormal dan seram. Lebih mencabar lagi, lakonan yang ditonjolkan itu dapat dijiwai oleh para penonton yang menyaksikannya.

“Dalam drama seram dan mistik, Kum Kum The Series ini, saya memegang watak sebagai Mawar. Mawar merupakan seorang gadis yang kurang berkeyakinan diri dan amat mempercayai serta mudah terpengaruh dengan dunia ilmu hitam sehingga ia memakan dirinya sendiri,” katanya.

Menurut Marsha lagi, drama bersiri itu adalah terbitan seorang pengarah tempatan yang cukup popular iaitu Michael Ang. Ini juga merupakan peluang kedua dia duduk di bawah pengarahan Micheal.

“Umumnya, saya sering muncul dengan watak sebagai penggoda dalam mana-mana drama sebelum ini. Jarang sekali dapat mempersembahkan watak yang lebih berat dan menuntut bakat lebih tinggi.

“Jujurnya, ia bukan senang untuk saya membawakan watak ini, tetapi saya berusaha keras untuk merealisasikan apa yang dimahukan pengarah dengan baik.

“Dalam masa yang sama juga, saya bersyukur kerana berpeluang bereksperimen watak Mawar. Saya rasa sungguh teruja kerana ia membantu saya memperlihat kredibiliti lebih baik kepada umum bahawa saya juga boleh membawakan watak sukar seperti ini,” ujarnya yang mula menjalani penggambara siri tersebut sekitar pertengahan Februari lalu di beberapa kawasan termasuk Kuang, Selangor.

Sesi penggambaran yang mengambil masa daripada pagi hingga malam, diakui memang memenatkan. “Terutama apabila saya harus bermekap tebal dan perlu sentiasa dalam konti yang sama daripada siang hingga ke malam,” katanya.

Memberitahu bukan sahaja watak Mawar sebagai satu cabaran buatnya, Marsha tidak menafikan, terbabit dalam filem seram, seluruh krew juga berhadapan dengan risiko ‘gangguan’.

Sama seperti produksi-produksi unsur seram yang lain, Kum Kum The Series turut menerima beberapa gangguan sepanjang sesi penggambaran yang diadakan di Hulu Langat, Selangor.

Lebih mengerikan Marsha sendiri mengaku diganggu. Katanya, suatu hari sewaktu tiba di rumah usai penggambaran, kediamannya berbau wangi dengan haruman bunga kasturi.

Bukan itu sahaja, pada insiden yang lain, ada dua orang krew penggambaran telah terserempak dengan kelibat Marsha yang memakai kebaya berona putih di set penggambaran yang terletak berhampiran sebuah pokok besar walaupun ketika itu dia telah pulang ke rumah.

Dalam perkembangan lain, Pengarahnya, Michael Ang pula memberitahu selain Marsha, barisan pelakon utama drama bersiri itu terdiri daripada Didie Alias, Elfira Loy, Sharnaaz Ahmad dan lain-lain lagi. Drama yang mempunyai 13 episod itu akan disiarkan dalam saluran 104 (Astro Ria) setiap Selasa mulai pukul 9.30 malam selama sejam bermula 12 April (malam ini).

Michael berkata, sambutan yang amat baik terhadap telefilem Kum Kum yang pernah ditayangkan sebelum ini mendorongnya membawa satu lagi karya dalam bentuk drama bersiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: