Tuesday, April 12, 2011

Monolog makin diminati

Mementaskan sesebuah persembahan secara solo bukanlah satu tugas yang mudah. Ia memerlukan seseorang pelakon berwibawa melakukannya. Dulu tak banyak pelakon dapat peluang membuat pementasan monolog.

Hari ini semakin banyak yang berpeluang kerana monolog juga semakin berjaya memanggil audien menonton. Istana Budaya turut membuka ruang pementasan monolog dengan pementasan Rebab Berbisik sebagai pementasan terbaru.

Lakonan solo Rosnan Abdul Rahman itu mulai dipentaskan Jumaat lalu dan akan berakhir malam ini di pentas arena, Lambang Sari, Istana Budaya. Rosnan membawakan empat watak berbeza, iaitu pak yong pada akhir usia, isterinya, primadona Mak Yong Mek Ning, serta dua orang anak.

Watak utama dalam pementasan ini ialah Pak Yong tua dan anak sulungnya, seorang mak nyah yang bekerja sebagai showgirl di kota, Mimi atau nama asalnya Azmi.

Rosnan muncul memulakan pementasan dengan meluahkan gejolak perasaan pak yong tua yang merintih kerana semakin hari semakin terpinggir bila semakin kurang pementasan dan semakin pupus juga generasi yang mewarisi seni itu.

Pak yong itu juga berdepan dengan kemelut apabila menghantar anak keduanya mendalami ilmu agama dan kini menjadi seorang ustaz. Statusnya sebagai orang agama merenggangkan hubungan mereka kerana dua pandangan berbeza pasal halal haram permainan mak yong.

Kerinduan pak yong kepada anak sulungnya juga turut diluahkan. Apakan daya anaknya yang kini popular sebagai showgirl di kota enggan pulang kerana tidak mahu kepulangannya bakal menambahkan pandangan buruk masyarakat terhadap keluarganya.

Walaupun rindu kepada bapa yang sudah uzur, tapi kaki Mimi berat untuk pulang ke kampung. Watak Mimi sebagai showgirl yang dibawakan pada akhir persembahan membuatkan pentas itu dipenuhi hilai tawa.

Di dalam tawa ria membuat pementasan, emosi dalaman Mimi juga penuh duka apabila tidak diberi peluang menjalani hidup sempurna macam orang lain. Malah semasa zaman kanak-kanaknya juga, dia disisihkan oleh kawan-kawan kerana kelainannya.

Rosnan berjaya membawa keempat-empat watak dengan baik sekali. Watak Mimi diselitkan dengan sedikit undur komedi kerana dia tidak mahu penonton terus dibuai rasa sedih mendengar rintihan pak yong yang penuh duka.

"Kita membuat pementasan sendirian ini tak ada masalah untuk menokok tambah mengikut keadaan penonton kerana kita tak ganggu pelakon lain. Setiap malam mungkin ada lawak berbeza bergantung kepada mood hari itu," kata Rosnan.

Kisah duka pak yong itu memang boleh membuatkan penonton menangis. Malah rakan sebelah saya juga awal-awal lagi dah menangis bila mendengar rintihan lelaki tua itu.

Saya sendiri memang mahu mendalami isi hati pak yong kerana rebab sangat dekat dengan diri saya. Kebetulan arwah datuk saya, Mustapha Senik seorang pemain rebab semasa hayatnya. Pada tahun 1980-an kerjayanya sudah terpinggir bila semakin hari seni selampik yang disertainya dilupakan. Apatah lagi nasib yang dilalui penglipur lara pada hari ini.

Beramal kepada yang tua

Pada pementasan Ahad lalu pihak penerbit bersama beberapa penaja turut menyampaikan sumbangan kepada empat tokoh mak yong dari negeri Kelantan yang sudah uzur. Sumbangan disampaikan oleh adinda Sultan Kelantan, Tengku Amalin A'ishah Putri Tengku Ismail Petra.

"Kami mencari aktivis mak yong yang uzur untuk menerima sumbangan ini," kata Rosnan yang juga seorang aktivis mak yong generasi baru.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: