Saturday, April 9, 2011

Meneropong laut dari kamar beradu


PEMANDANGAN hadapan pintu masuk Kuantan Tembeling Resort.


SETIAP pengunjung yang melangkah ke pekarangan Kuantan Tembeling Resort berhampiran pantai peranginan terkemuka Teluk Chempedak di Kuantan, Pahang pasti teruja dengan keindahan alamnya.

Mungkin tidak sepopular resort antarabangsa bertaraf lima bintang yang lain, tetapi dengan berlatarbelakangkan lautan biru ia ada tarikan tersendiri.

Beroperasi sejak 1998, resort terletak di atas bukit dan menghadap Laut China Selatan yang membiru dengan suasananya nyaman, amat menarik perhatian pengunjung.

Pandangan pengunjung pasti tertumpu kepada keindahan alam yang terbentang di hadapan mereka sambil melihat ombak menderu dan kemudian mendesir menghempas pantai melalui jendela kamar.

Terletak hanya kira-kira 200 meter dari pesisiran pantai, Kuantan Tembeling Resort berkonsepkan apartmen juga berjiran dengan Hutan Simpan Beserah yang kaya dengan flora dan fauna.

Di samping menikmati kecantikan laut yang mempesona, pengunjung juga boleh menikmati keindahan dan kehijauan hutan dara yang masih dijaga dengan baik.

Dengan melalui perjalanan kira-kira lapan kilometer dari bandar Kuantan, pengunjung hanya mengambil masa lima minit untuk sampai ke sini.

Sebaik sahaja melepasi Kelab Golf Diraja Pahang, pengunjung mula merasai suasana rimba yang damai dengan bunyi-bunyian unggas di kiri kanan jalan, sebelum masuk ke resort itu yang dikelilingi pohon-pohon menghijau.

Kuantan Tembeling Resort menyediakan pelbagai pakej menarik termasuk bilik pada harga berpatutan di samping aktiviti-aktiviti menarik juga disediakan.

Menurut Penolong Pengurusnya, Nazri Idris, daripada 403 unit kediaman di apartmen itu, 40 unit apartmen lengkap dengan perabot disediakan kepada orang ramai yang ingin menginap di situ termasuk untuk disewa secara jangka masa panjang.

Selebihnya, 360 unit telah dibeli oleh orang perseorangan termasuk pelancong asing yang memiliki kediaman di resort itu antaranya dari Singapura, Jepun dan Australia.

"Di sini kami menyediakan apartmen daripada satu bilik hingga tiga bilik yang bersesuaian untuk pelancong dengan kadar sewa berpatutan," katanya.

Penyewa juga boleh membuat pilihan sama ada memilih pemandangan laut biru yang tenang atau menikmati kehijauan hutan simpan bergantung kepada cita rasa masing-masing.

"Terdapat pelbagai kemudahan rekreasi seperti kolam renang, sauna, jakuzi, gimnasium, gelanggang tenis, skuasy, ping pong dan snuker disediakan untuk pengunjung menghabiskan masa bersama keluarga dan rakan-rakan," katanya.

Bagi syarikat atau organisasi yang ingin menganjurkan seminar atau mesyuarat, Kuantan Tembeling Resort juga menyediakan bilik seminar yang boleh memuatkan 100 orang pada satu-satu masa, selain restoran menyediakan masakan panas dan Barat.

"Kemudahan itu sekali gus membolehkan program latihan dan sesi melampas otak dijalankan dalam suasana penuh ketenangan dan dapat menghilangkan tekanan kerja bagi setiap peserta," katanya.

Selain itu, lokasinya juga strategik kerana pengunjung cuma mengambil masa lima minit untuk ke Zoo Mini Teruntum yang menempatkan beberapa jenis haiwan serta Kelab Golf Diraja Pahang.

Resort ini menyediakan kawalan keselamatan 24 jam untuk pengunjung tidak berasa bimbangkan keselamatan barangan kerana orang luar tidak dibenarkan masuk kecuali mempunyai urusan kerja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: