![]() |
| Linda Onn belajar menunggang motosikal berkuasa tinggi kerana ingin mengatasi masalah bosan. |
SEBELUM ini penyampai radio Suria FM, Linda Onn, 34, tidak gemar menunggang motosikal gara-gara dimarahi oleh ibunya kerana jatuh ketika menunggang motosikal secara 'curi-curi' sewaktu berusia 13 tahun.
Kini keinginan menunggang motosikal kembali menyerap dalam jiwa Linda dan kali ini beliau menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Ducati 696cc sejak Mac 2010.
“Sebenarnya, waktu itu Linda bosan dan beritahu kawan yang Linda perlukan satu aktiviti. Kebetulan Linda sedang membaca majalah Motokar dan terpandang gambar motosikal berkuasa tinggi.
“Keesokannya Linda terus pergi showroom untuk melihat motor yang berkenan di hati dan jurujual itu nasihatkan Linda ambil lesen penuh (B Full). Selepas itulah baru Linda belajar menunggang motosikal berkuasa besar. Kira-kira dua bulan Linda belajar menunggang motor.
“Ada beberapa kali Linda terjatuh di simpang sebab tidak pandai kawal motor terutamanya gear dan brek. Sekarang ini pun Linda masih belajar cara-cara untuk mengawal motor sebab motosikal berkuasa tinggi ini kalau kena dengan caranya, ia mudah ditunggang,” ceritanya yang menggunakan topi keledar jenama X-lite.
Linda yang lahir pada 26 November 1977 membeli motosikal berkuasa tinggi itu tahun lalu sempena ulang tahunnya yang ke-33.
Katanya, sewaktu membawa balik motosikal tersebut ke rumah, ibunya terkejut kerana sebelum itu Linda tidak pernah menyuarakan hasratnya untuk memiliki motosikal.
“Setelah Linda berjanji pada ibu yang Linda akan menunggang motosikal itu dengan berhati-hati, barulah dia lega dan ibu pun tahu aktiviti Linda bersama kawan-kawan motor,” katanya yang mendapat hadiah jaket kulit daripada kakak iparnya.
Sejak boleh mengendalikan motosikal berkuasa besar, Linda bersama rakan-rakannya pernah mengikuti konvoi 300 penunggang motosikal ke Cherating, Pahang dan Sepang, Selangor.
Pemilik kedai makan My Mom’s Chicken Rice dan My Asam Pedas itu berkata, setakat ini beliau tidak berani untuk menunggang sendirian melainkan bersama rakan-rakan.
Malah katanya, setelah berkawan dengan geng motosikal barulah beliau tahu bahawa ramai wanita Malaysia yang mempunyai motosikal berkuasa tinggi termasuk penyanyi Fauziah Latiff yang sekarang ini sudah menjadi rakan motornya.
“Tahulah motosikal berkuasa tinggi ini perlu perhatian lebih, Linda pula masih belajar jadi tidak berani lagi untuk bergerak solo melainkan berkawan.
“Selalunya rakan-rakan motor akan lepak di kedai Linda atau kami akan konvoi ke Melaka atau Port Dickson, semata-mata untuk pergi makan. Selepas itu balik ke Kuala Lumpur,” katanya yang tidak lupa menghantar motosikal kesayangannya ke kedai untuk servis.
Paling menggembirakan Linda, selepas menyertai aktiviti bermotosikal, beliau dilantik sebagai wakil selebriti jelajah 1Malaysia mulai 14 sehingga 21 Mei ini.
Dia turut menyertai kempen penjelajahan bermotor ‘Jelajah 1Malaysia siri ke-tiga’ dengan membawa tema Kami Prihatin Membanteras Pembuangan Bayi 2011.
Setelah memiliki motosikal Ducati, Linda menyimpan hasrat untuk memiliki motosikal easy rider seperti Harley Davidson.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: