Saturday, April 9, 2011

Auckland destinasi unik


PADANG golf berlatarbelakangkan laut menjadikan Auckland sebagai syurga untuk pemain golf dari seluruh dunia.


Seperti yang diketahui, Auckland terkenal dengan iklimnya yang nyaman dengan latar belakang budaya Polinesia, makanan yang enak dan pusat membeli belah. Itulah gambaran awal mengenainya.

Jika diteliti, Auckland dibangunkan daripada campuran pulau-pulau, hutan rimba purba, budaya Polinesia, pelabuhan dan persekitaran bandar moden yang menghasilkan satu gaya kehidupan global luar biasa.

Keunikan yang terdapat di lokasi tersebut ialah di bahagian pulau yang terletak bersebelahan dengan Hauraki Gulf yang merangkumi lebih daripada 50 buah pulau yang menjanjikan pengalaman yang unik dan menyeronokkan sewaktu melawat ke New Zealand.

Pusat bandar Auckland ialah Pulau Waiheke yang terkenal dengan pantai-pantai hebat dan juadah makan malam Pacific Rim.

Jika pengunjung mendaki selama sejam, mereka boleh melihat pemandangan kemuncak di gunung berapi, Pulau Rangitoto.

Ia menyajikan pemandangan menakjubkan berlatar belakangkan Hauraki Gulf dan Auckland, manakala pelancong boleh menaiki penerbangan selama 30 minit untuk ke Kepulauan Great Barrier.

Great Barrier merupakan sebuah destinasi paling jarang dikunjungi pelancong dan terkenal dengan pasir pantainya yang berwarna keemasan, air yang jernih bak kristal dan hutan asli yang luas terbentang merupakan kelebihan yang terdapat pada pulau tersebut.

Pengunjung boleh menjelajah dengan berkayak di lautan dan juga pelbagai lagi cara untuk menerokai syurga dunia itu.

Di bahagian bandarnya pula, pengunjung boleh menikmati gaya kehidupan moden dan bertenaga dengan jumlah penduduk melebihi sejuta orang.

Auckland juga dikenali sebagai bandar raya Polinesia terbesar di dunia dengan kemegahan menara tertinggi dalam hemisfera selatan iaitu Sky Tower yang merupakan kompleks beli-belah terbesar dalam Australasia.

Campuran kebudayaan yang terdapat di Auckland, teater, fesyen, seni dan lebih daripada seribu restoran menyediakan pelbagai juadah enak dan pengalaman bandaraya kosmopolitan yang tersendiri.

Menariknya, buat pelancong yang beragama Islam, mereka tidak perlu bimbang mengenai soal makanan kerana di sana terdapat juga pelbagai pilihan restoran yang menyajikan makanan halal seperti yang terdapat di Auckland dan Wellington.

Malah di dalam kawasan bandarnya juga terdapat beberapa buah pasar raya khusus yang menjual barang makanan halal, masakan Asia dan lain-lain.

Selain itu, pasar raya tempatan yang lain juga menjual pelbagai produk halal terutama jika terdapat bilangan orang Islam yang tinggal di sekitar kawasan tersebut.

Antara restoran halal yang terdapat di sana ialah seperti Rasa Malaysian dan Restoran India Selatan di pinggir Wellington.

Selain itu, gunung berapi yang terdapat di sekitar Auckland juga jelas kelihatan dan terdapat lebih daripada 48 gunung berapi bertaburan sepanjang rantau tersebut mencipta satu persekitaran menawan untuk diterokai.

Hunua Ranges yang berada di bahagian tenggara merupakan hutan tropika Waitakere Ranges barat sesuai dilawati buat mereka yang suka kepada pengembaraan berlandskapkan alam semulajadi.

Lokasi itu juga sesuai untuk aktiviti seperti rentas desa, mountain biking, berkayak dan berlayar.

Buat mereka yang minat bersukan, Auckland juga terkenal dengan pelbagai acara-acara bertemakan kesukanan pada setiap minggu dan yang terbesarnya ialah Rugby World Cup 2011.

Untuk maklumat lanjut sila layari www.aucklandnz.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: