PANAS...kumpulan selebriti terpaksa menyesuaikan diri dengan cuaca panas gurun pasir.
BEKAS bintang siri drama televisyen 'EastEnders', Kara Tointon menjadi dambaan peminat apabila dia memenangi program tarian 'Strictly Come Dancing' terbitan BBC tahun lalu - namun, kini Kara meninggalkan populariti program glamor untuk mengasah bakat dalam rancangan berunsur kebajikan 'Comic Relief'.
Jelitawan itu dan sekumpulan selebriti lain baru selesai menjalani penggambaran cukup sukar merentasi gurun pasir di Kenya untuk program BT Red Nose Desert Trek.
Kara, 27, meninggalkan bekas teman lelaki dan juga pasangan tariannya, Artem Chigvintsev selepas penjelajahan program Strictly Come Dancing bagi menyertai rakan selebriti Ronni Ancona, Craig David, Lorraine Kelly, Scott Mills, Olly Murs, Dermot O'Leary, Nadia Sawalha dan Peter White menghadapi cabaran kecergasan fizikal merentasi gurun pasir Kaisut.
Kumpulan sembilan selebriti itu tiba di Nairobi minggu lalu sebelum menaiki pesawat ringan merentasi Kenya untuk memulakan cabaran di utara negara berkenaan.
Kumpulan itu menghabiskan masa seharian menyesuaikan diri dengan bahang cuaca panas sebelum merangka pelan untuk menyelesaikan perjalanan sejauh 100 kilometer dalam tempoh lima hari di bawah suhu 38 darjah Celcius.
Bukan saja suhu panas yang membimbangkan mereka tetapi kawasan padang pasir itu turut menjadi habitat ular paling berbahaya di Afrika termasuk black mamba dan puff adder.
Sembilan selebriti terbabit akan ditemani sekumpulan unta yang akan membawa barangan mereka sepanjang perjalanan yang bertujuan mengutip dana untuk masyarakat kurang bernasib baik di Britain dan Afrika.
Cabaran itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap golongan cacat penglihatan apabila White, pengacara buta BBC turut menyertai perjalanan sebagai tanda sokongan.
White akan membantu memberi penjelasan mengenai masalah dihadapi individu yang kehilangan deria penglihatan atau mereka yang memerlukan rawatan mata apabila bertemu golongan itu sepanjang perjalanan mereka.
Program dokumentari mengenai perjalanan kumpulan selebriti itu akan disiarkan di saluran BBC1 sempena hari Red Nose pada 18 Mac ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: