Tuesday, April 12, 2011

Hasil jual Avon besarkan anak

KENANGAN...sebahagian peserta bergambar kenangan ketika lawatan Vietnam.
KENANGAN...sebahagian peserta bergambar kenangan ketika lawatan Vietnam.

KEPAYAHAN mengharungi hidup bersama dua anak kecil selepas kematian suami, mendorong Shariah Salimin, 58, menceburi bidang jualan bersama syarikat antarabangsa, Avon Cosmetics (M) Sdn Bhd (Avon) pada usia 26 tahun demi mencari rezeki bagi menampung kehidupan keluarga yang susah ketika itu.

Kini selepas lebih 30 tahun, Shariah atau lebih mesra dikenali sebagai Kak Azah di kalangan pelanggannya yang setia bersama Avon, masih ingat susah-payahnya mengayuh basikal ketika mengandung semata-mata mahu menjual barangan Avon kepada pelanggannya.


Hasil usaha gigihnya selama tiga abad, Shariah yang berasal dari Klang, Selangor kini hidup selesa di rumah milik sendiri, selain memiliki rumah sewa dengan pendapatan bulanan yang dijana hasil jualan pelbagai produk Avon.


  • Foto

    GEMBIRA... peserta abadi kenangan ketika baru tiba di Ho Chi Minh.

  • Foto

    MENARIK...sebahagian peserta rombongan bergambar di Cu Chi.

  • Foto

    SIBUK... penduduk Ho Chi Minh lebih gemar menaiki motosikal.

Menurut Shariah, dia mula tertarik untuk menjadi ahli seterusnya menjual barangan syarikat itu selepas melihat sendiri seorang rakannya berjaya melalui Avon hingga mencetuskan minat di hatinya untuk mencuba.


Katanya, hasil jualan produk itu membantunya membesarkan anak-anak selain memberi peluang kepadanya meningkatkan taraf hidup ke tahap lebih selesa tanpa mengharapkan bantuan atau simpati mana-mana pihak.


"Mula-mula saya hanya bermula secara kecil-kecilan tetapi selepas melihat produknya mudah dijual dan ramai yang sukakannya, saya lebih serius dan hingga kini sudah mempunyai ramai pelanggan tetap yang memudahkan saya menjual dan meraih pendapatan bulanan.

"Apa yang menarik mengenai Avon adalah selain pendapatan hasil jualan, ia turut menyediakan pelbagai insentif dan bonus termasuk hadiah percutian kepada wakil pengedar yang berjaya mencapai sasaran jualan ditetapkan syarikat.


"Selama saya bersama Avon, sudah lebih 20 kali saya dibawa bercuti dan melancong ke pelbagai tempat seluruh dunia kerana mencapai sasaran ditetapkan. Saya amat berpuas hati dan rasa bertuah terbabit dengan Avon sejak sekian lama," katanya ketika ditemui pada majlis makan malam meraikan wakil pengedar Avon di bandar Ho Chi Minh, Vietnam, baru-baru ini.Shariah berkata, walaupun anak-anaknya kurang berminat untuk mengikut jejak langkahnya, namun seorang cucu lelakinya yang baru berusia 14 tahun mula berjinak-jinak dalam perniagaan dengan menyertai Avon selepas melihat pelbagai insentif terutama pakej pelancongan diberikan syarikat antarabangsa itu kepada wakil pengedarnya yang berjaya.


Seorang lagi wakil pengedar Avon, Marsitah Basirun, 56, mula membabitkan diri dengan Avon secara serius sejak 15 tahun lalu selepas bermula sebagai pelanggan dan mencuba sendiri produk keluaran syarikat itu.


Marsitah berkata, selain barisan produk berkualiti, semangat kekeluargaan yang ditunjukkan Avon menjadi antara faktor yang menyebabkannya terus setia dan tidak bercadang berhenti daripada menjalankan jualan barangan Avon.


Katanya, Avon adalah syarikat yang terbuka dan mesra malah ketika dia menghadiri mesyuarat syarikat sekali pun, tiada halangan untuknya membawa bersama anak yang masih kecil.


"Sikap tolak-ansur dan harmoni yang ditunjukkan Avon menjadikan saya dan rakan-rakan yang turut menjadi ahli berasa sayang dengan syarikat ini. Istilah berhenti daripada menjadi wakil Avon tidak ada dalam hidup kami. Malah saya turut melatih anak untuk menyertai syarikat dan menjadi wakil pengedar," katanya.


Marsitah turut menggalakkan golongan suri rumah seluruh negara mengambil peluang menjana pendapatan sampingan dengan menyertai Avon daripada hanya duduk menjaga anak di rumah tanpa mempunyai sebarang sumber kewangan.


Katanya, golongan suri rumah yang baru hendak bermula tidak perlu risau jika mereka tidak mempunyai wang yang cukup untuk menjual produk Avon kerana syarikat itu turut menyediakan kredit bagi memudahkan wakil pengedarnya membuat jualan kepada pelanggan.


"Saya pernah mencuba menjual produk syarikat lain sebelum menyertai Avon tetapi syarikat ini adalah yang terbaik dan benar-benar memuaskan hati kerana kita nampak insentif yang diberikan selain pelbagai penghargaan yang diterima sekiranya mencapai sasaran jualan ditetapkan.


"Produknya mudah dijual dan sudah terkenal. Jadi kita tidak perlu perlu bersusah-payah hendak memperkenalkannya dan apabila sudah ada pelanggan tetap, kita akan sentiasa mendapat tempahan dari masa ke masa," katanya.


Suri rumah sepenuh masa, Roshayati Mat Jusoh, 43, yang aktif sebagai wakil pengedar Avon sejak lima tahun lalu berkata, produk berkualiti dijual pada harga berpatutan dan mampu dimiliki segenap lapisan masyarakat, menjadi antara daya penarik kuat syarikat itu.


Katanya, produk Avon mempunyai tarikan menyeluruh kerana semua golongan dari suri rumah hingga pekerja pejabat mampu membeli barangan Avon dan sesiapa saja boleh menjadi wakil pengedar untuk menjual produk berkenaan sama ada secara sepenuh atau separuh masa.


"Mereka yang berminat terutama suri rumah boleh membuat jualan bagi mengukuhkan kedudukan kewangan masing-masing dan berdikari tanpa hanya mengharapkan duit suami.


"Saya turut membuka gerai di pasar malam secara separuh masa bagi menarik lebih ramai pelanggan dan sambil menjual saya juga mendapatkan ahli baru sekali gus menambah sumber pendapatan," katanya.


Roshayati berkata, pembabitannya dengan Avon sejak lima tahun lalu dianggap sebagai pengalaman sangat berbaloi kerana ia membuka peluang kepadanya meraih pendapatan mengikut hasil jualan selain menikmati pelbagai insentif yang diberikan terutama percutian ke luar negara.


Dia berkata, banyak kelebihan diperolehnya melalui pembabitan bersama Avon antaranya pelbagai bonus yang semuanya akan dimasukkan terus ke dalam akaunnya.


Resipi kejayaannya juga mudah - iaitu mengamalkan sikap jujur dan memberi penerangan lengkap kepada pelanggan yang mahu membeli produk Avon.


"Saya juga tidak terlalu berkira dan akan memberikan harga lebih murah mengikut budi bicara kepada pelanggan sekiranya mereka meminta diskaun kerana wakil pengedar sendiri sudah mendapat potongan harga antara lima hingga 35 peratus mengikut kategori produk," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: