Tuesday, April 12, 2011

Elak kontroversi

pix_gal0
Eina bersyukur rezeki berlakon tetap kencang walaupun dihimpit cerita sensasi

DIA antara bakat baru dalam bidang seni yang harus diberi perhatian. Hadir dengan pakej lengkap iaitu cantik, tinggi dan berbakat, membuatkan pemilik nama penuh Ainur Syakina Azman atau Eina semakin mekar dan mewangi dalam taman industri hiburan.

Siapa yang tidak mengenali gadis berusia 16 tahun ini? Selain berkebolehan dalam bidang lakonan, nyanyian dan pengacaraan, kontroversi yang menimpa dirinya sedikit masa lalu turut memberikan tempias populariti kepadanya.Menyebut soal kontroversi, tentunya ramai yang sedia maklum terhadap apa yang sudah berlaku ke atas Eina sebelum ini. Hanya kerana meluahkan perasaan tidak puas hati, langkahnya diheret ke lembah kontroversi. Berbulan-bulan juga namanya menjadi sebutan dan dipaparkan dalam ruang gosip. Namun kerana tidak mahu perkara itu menjadi lebih rumit, Eina lebih selesa jika perkara itu tidak dibangkitkan lagi.
“Cukuplah dengan segala cerita yang tersiar. Eina tidak mahu perkara ini diungkit lagi kerana Eina dan keluarga mempunyai cara tersendiri untuk menangani masalah ini. Sekarang ini Eina mahu menumpukan sepenuh perhatian Eina terhadap kerjaya seni yang baru hendak bermula,” pintanya sewaktu hadir ke Balai Berita, baru-baru ini.

Tidak berseorangan, sebaliknya anak bongsu daripada lima adik-beradik ini ditemani ibu tersayang.

Meskipun masih bersekolah di tingkatan empat, namun tutur bicara Eina semakin menampakkan kematangan. Setiap ayat yang terpacul daripada bibirnya dilafazkan dengan penuh hati-hati. Mungkin tidak mahu pisang berbuah dua kali.

“Pengalaman masa lalu banyak mengajar Eina untuk lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan. Eina tidak mahu masyarakat menganggap Eina sengaja mencari kontroversi demi mengejar populariti. Terus terang bukan konflik atau kontroversi yang Eina mahukan apabila memilih untuk berada dalam dunia ini.
"Apabila cerita pertelingkahan Eina dengan pihak Lineclear tersebar, Eina akui emosi Eina sedikit terganggu. Eina juga bimbang apakah kontroversi itu bakal menjejaskan kerjaya seni Eina. Namun kebimbangan itu nyata tidak berasas.
Alhamdulillah, tawaran berlakon tidak pernah putus dan sekarang ini Eina terbabit dalam penggambaran drama bersiri, yang menjalani penggambaran di Melaka.

"Eina juga mendapat tawaran berlakon dalam drama seram arahan Rashid Sibir. Sekarang ini memang fokus Eina pada dunia lakonan saja. Apa yang berlaku tidak lama dulu itu, Eina serahkan pada peguam. Eina tak mahu pening kepala memikirkannya,” tuturnya yang kelihatan anggun mengenakan gaun labuh rekaan pemenang anugerah pereka popular kategori selebriti lelaki Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009, Anizam Yusof.

Walaupun si empunya diri tidak mahu lagi mengulas isu yang mencalit kontroversi pada dirinya, namun dia tidak berupaya untuk mengelak persoalan berkaitan dengannya. Sebagai pelakon filem Ratu, apakah perasaannya apabila dia ‘diharamkan’ daripada menghadiri sesi pratonton dan juga siri promosi filem sulungnya itu? Bagaimanapun, jawapan yang diterima daripada pelakon yang mula dikenali menerusi drama 5 Jingga ini cukup memeranjatkan.

“Terus terang saya tak kisah dan tak rasa apa-apa pun. Eina anggap apa yang berlaku bukan rezeki Eina. Cukuplah, Eina tidak mahu mengingatnya lagi. Eina mahu tutup buku lama dan buka lembaran baru. Apa yang Eina harapkan, kemelut ini akan segera berakhir,” balasnya yang hanya mahu mengambil sikap tunggu dan lihat.

Memasak bagaikan terapi

MUNGKIN ada yang beranggapan, Eina sama seperti gadis remaja lain yang gemar menghabiskan masanya dengan bersuka ria bersama teman sebaya. Apatah lagi status selebriti yang dipegangnya membuatkan orang akan salah anggap terhadap dirinya.

Namun bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Sebelum membuat tanggapan melulu, Eina meminta supaya khalayak mengenal siapa dirinya terlebih dulu.
“Eina sebenarnya lebih gemar menghabiskan masa di rumah jika tidak terbabit dalam sebarang penggambaran. Mungkin ramai yang tak percaya, tetapi itulah hakikat sebenarnya.

"Di rumah Eina lebih gemar memasak, dan makanan yang paling Eina suka sediakan ialah masak lemak cili api. Bagi Eina, memasak itu bagaikan satu terapi. Semua masalah akan hilang bila Eina berada di dapur,” katanya sambil mempelawa penulis merasa masakannya satu hari nanti.

Selain memasak, Eina juga berkebolehan menyanyi. Di mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi? Bakat nyanyiannya itu mengalir daripada tubuh ibunya, Amy Roshaida, yang juga seorang penyanyi suatu ketika dulu.

“Sebenarnya, Eina memang lebih suka menyanyi dan memang pun pada awal-awalnya bercita-cita hendak menjadi penyanyi. Tapi nampaknya rezeki Eina terlebih dulu dalam bidang lakonan. Namun itu tidak mematahkan hasrat Eina untuk meneruskan cita-cita bergelar artis rakaman. Insya-Allah, selepas habis belajar nanti Eina akan rakamkan single terlebih dulu, sebagai salam pengenalan Eina dalam bidang nyanyian,” katanya dalam nada teruja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: