Sunday, April 24, 2011

Kutipan tiket bukan segala-galanya


Remy


BENARKAH isu kutipan tiket merupakan hal terbesar dalam menentukan hidup mati sesebuah filem? Adakah dakwaan yang mengatakan pencapaian pengarah itu berlandaskan hasil jualan tiket yang mampu dikenang sebagai legenda pada masa hadapan?

Jika kita lihat fenomena kebanyakan filem sebelum ini, kebanyakan pembikin membuat filem atas dasar kecintaan terhadap seni. Jika diselak satu persatu filem terdahulu, membikin filem merupakan air tangan seniman yang mahu mengangkat falsafah filem ke aras tertinggi.

Namun kini fenomena filem seni itu sendiri semakin pudar lantas memperlihatkan filem menjadi mangsa dagangan. Orang membikin filem untuk mengaut keuntungan besar, lantas menggadai nilai-nilai estetika yang seharusnya ada dalam sesebuah hasil seni.

Jika melihatkan trend terkini, kebanyakan pembikin filem lebih gemar menjual cerita kutipan tiket berbanding nilai yang termuat dalam filem tersebut. Ramai yang melihat kejayaan filem tersebut terletak pada angka ringgit yang berjaya dikutip sedangkan mutu filem tersebut masih terlalu jauh untuk dibanggakan.

Tempias hal ini turut terkena kepada beberapa filem yang sudahpun masuk ke panggung sejak awal tahun ini. Hampir setiap minggu ada sahaja filem baru yang ditayangkan sehingga ia kata memberikan impak kepada kutipan tiket.

Siapa yang seharusnya meletakkan filem itu berjaya atau gagal? Adakah benar kutipan sesebuah filem itu hanya diukur melalui jumlah jualan semata-mata?

Bermula dengan filem Khurafat pada awal tahun ini, sudah pasti Shamsul Yusuf boleh berbangga dengan kutipan sebanyak RM8.08 juta. Filem genre seram nampaknya masih menjadi trend terkini untuk menarik minat orang ramai ke panggung.

Memetik jumlah kutipan yang tertera pada laman web Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas), sehingga 20 April lalu, filem Haq mengutip RM0.80 juta, Sini Ada Hantu (RM1.3 juta), Kembar Siang (RM1.21 juta), Hikayat Merong Mahawangsa (RM6.82 juta) dan Ratu The Movie (RM 0.2 juta).

Manakala filem ... Dalam Botol sekadar RM 0.57 juta, Cun (R1.08 juta), Dilarang Masuk (RM 0.68 juta) dan Senjakala (RM0.52 juta). Jumlah filem Cun, Dilarang Masuk dan Senjakala mungkin bertambah memandangkan ia masih ditayangkan sehingga hari ini.

Trend itu jelas menunjukkan kemerosotan jumlah kutipan berdasarkan jualan di panggung dari semasa ke semasa. Sedangkan sehingga hari ini industri sudah memiliki 98 buah panggung, 566 skrin dan 109,691 jumlah tempat duduk.

Bukan gagal

“BILA filem tak mencapai kutipan yang memberangsangkan, tak bermakna filem itu gagal!” sangkal Remy tatkala ditanya polemik yang melanda industri perfileman hari ini.

Bagi Remy soal untung rugi, soal jualan tiket adalah di luar bidang kuasanya. Sebagai pelakon dia berhak untuk ambil tahu tetapi tidak mahu mengulas lanjut memandangkan dia bukan orang yang cukup arif untuk memberikan penjelasan.

“Tidak adil untuk kata filem itu gagal atau tidak. Saya bercakap atas sebagai pelakon dan pastinya saya hanya menjalankan amanah yang diberikan. Bila saya memberikan yang terbaik buat produksi, semestinya saya mahu orang suka dengan lakonan saya.

“Kalau tidakpun cukuplah kalau ia berjaya memberikan kepuasan kepada peminat-peminat yang membayar untuk menonton. Selagi produksi puas hati, peminat nampak saya berjaya sebagai pelakon, itu sudah memadai.

“Saya tidak pasti apa trend terkini. Cuma kadangkala nasib juga memainkan peranan yang penting. Ada filem yang benar-benar bagus tapi tak mencapai kutipan baik, ada filem yang kurang sedap tapi berjaya. Semua itu adalah permainan industri sebenarnya,” jelas Remy lagi.

Tidak pernah mahu lari dari polemik yang tak berkesudahan itu, sudah pasti sebagai pelakon yang cukup dikenali ramai dia mahu mencari kelainan dalam setiap filem yang menggunakan khidmatnya.

Untuk itu dia cukup memahami apa kehendak penerbit yang mahukan keuntungan tetapi dalam masa yang sama Remy juga cukup selektif dalam memilih apa yang dia mahukan.

Melihatkan lambakan skrip yang diterima oleh pelakon yang cukup popular dengan drama Nur Kasih itu, Remy cukup terkesan apabila kebanyakan skrip yang diterima cukup baik selama ini.

Bukan prejudis terhadap mutu skrip seperti mana yang didakwa oleh segelintir artis, jelas Remy penghasilan skrip hari ini cukup hebat apatah lagi kebanyakan penulis skrip hari ini dilihat cukup bijak.

“Kalau nak kata kebanyakan skrip kita tak bagus tak juga. Lagipun siapalah saya nak hentam skrip orang lain tak bagus. Sejujurnya semua masih okey.

“Sebagai pelakon kepelbagaian skrip dan kejayaan sesebuah filem itu sangat penting. Semua orang nak filem mereka berjaya, sama juga hal dengan saya.

“Cun merupakan filem pertama yang mengangkat saya ke panggung sebagai hero. Apa-apa pun terjadi pada Cun saya cukup berpuas hati sebab dah memberikan yang terbaik. Jadi untuk Nur Kasih The Movie yang akan masuk panggung tak lama lama lagi sudah pasti saya mengharapkan keajaiban.

“Setidak-tidaknya saya mahu peminat saya hadir dan memberikan sokongan. Itu sudah cukup memadai,” kata Remy.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: