Wednesday, April 20, 2011

Inspire inspirasi Zulkifli


ZULKIFLI mengakui menghasilkan ramuan haruman untuk wanita lebih susah dan kompleks berbanding wangian untuk lelaki.


PENGALAMAN diminta untuk melepaskan jawatan sebagai pengurus besar di sebuah syarikat multi level sememangnya sukar bagi dirinya malah, sesiapa sahaja pasti berdepan dengan situasi serupa tatkala selesa menjadi seorang nakhoda bisnes.

Putus asa dan tertekan membelenggu diri apabila punca rezeki daripada makan gaji berjumlah kira-kira belasan ribu ringgit hilang begitu sahaja dalam sekelip mata.

Semuanya gara-gara keadaan ekonomi dan polisi syarikat yang berpangkalan di Australia waktu itu mahu mengurangkan kos operasi perniagaan mereka dengan mengecilkan skop operasi syarikat kepada suatu kaedah yang menguntungkan mereka.

Zulkifli Tajuddin masih ingat lagi kisah yang berlaku kira-kira 10 tahun lalu itu, seterusnya memberi banyak pengajaran dalam hidupnya kini sehingga dirinya seperti sekarang.

Berkat tawakal dan yakin dengan rezeki Allah, Zulkifli menggunakan pengalaman bekerja selama 20 tahun dalam bidang peruncitan dan penjualan barangan kosmetik dengan membuka perniagaan sendiri.

Berikutan itu, dalam keadaan dirinya tiada sumber pendapatan beliau mengambil risiko menjual rumahnya pada harga RM500,000 untuk dijadikan modal bagi perniagaan yang bakal dijalankan.

Selain itu, langkah yang dilakukannya turut didorong daripada galakan rakan-rakan. Kata-kata mereka terngiang-ngiang di telinga dan bermain-main difikiran.

“Kenapa kau tidak buka perniagaan sendiri sebab dengan kemahiran yang kau ada membantu syarikat baru dari luar negara itu untuk bertapak dan berdaya saing di negara ini.

“Aku percaya jika kau buka perniagaan sendiri kau pasti mampu bertahan lama dan pergi lebih maju seperti syarikat-syarikat besar yang kau kerja sekarang ini,” itu kata-kata yang masih bermain di minda sehingga kini.

Menurutnya, bidang perniagaan kosmetik merupakan segmen perniagaan yang menawarkan peluang yang mudah dan pantas berkembang. Malah, ia memberi pulangan keuntungan yang lumayan terutama segmen minyak wangi.

“Saya mula berkecimpung dalam perniagaan minyak wangi ini pada tahun 2001 sehingga sekarang. Saya memilih minyak wangi kerana ia umpama aroma terapi kepada sesiapa sahaja yang memakai bauan ini.

“Ia berperanan memberi keyakinan diri kepada orang yang memakainya untuk berhadapan dengan masyarakat sekeliling,” katanya.

Ujian awal perniagaan

Menurut Zulkifli, pada awal perniagaannya pelbagai cabaran yang terpaksa diharungi antaranya produk minyak wangi yang dihasilkan tidak berkotak dan berpenutup.

Semuanya gara-gara masalah teknikal dan kelewatan pihak ketiga dalam memenuhi permintaan syarikat untuk mematuhi tarikh pengeluaran seperti yang dipersetujui.

“Sesuatu di luar jangkaan berlaku. Kami teruskan juga penjualan minyak wangi di pasaran seperti dijadualkan tanpa kotak dan penutup. Pengguna yang berminat terhadap minyak wangi yang dijual tetap membeli minyak wangi pilihan itu. Mereka kata ‘saya nak guna bau haruman minyak wangi ini dan tidak perlukan kotak dan penutup,” katanya sambil tersenyum lucu dan menyatakan dia turut memberi potongan harga ketika kejadian itu berlaku.

Bagaimanapun, Zulkifli yang mengakui suka membuat orang lain berbau harum mendakwa bauan haruman minyak wangi merupakan sesuatu yang subjektif dan individualistik.

Untuk memilih minyak wangi bagi lelaki lebih senang berbanding minyak wangi wanita yang mempunyai banyak pilihan dan terdiri daripada pelbagai jenis.

Zulkifli yang gemar menggunakan nama penanya Zuliano Umberto Ligarti atau Zul sahaja, mendedahkan bahawa sesuatu jenis minyak wangi dipilih kerana ketahanan baunya yang lama apabila dipakai.

Ia merupakan pandangan umum kebanyakan orang, pengalaman diri dan kajian yang dilakukan Zul mengenai minyak wangi.

Bukan jenama yang menjadi pilihan sekarang ini tetapi baunya yang menambat hati.

Jika 10 tahun lalu minyak wangi berjenama dilihat berkualiti tinggi dan hanya mampu dimiliki masyarakat kelas elit sahaja, tetapi kini minyak wangi dihasilkan untuk semua peringkat golongan masyarakat dari kelas bawahan sehingga orang kenamaan.

“Minyak wangi yang saya pasarkan menggunakan jenama Inspire dengan 20 jenis bauan berinspirasi daripada jenama popular dipasaran.

“Keistimewaan minyak wangi saya adalah kualiti yang diberikan kepada pelanggan. Minyak wangi saya berada dalam kelas esprit de parfum (ESdP) dengan kandungan pati minyak wangi sebanyak 25 peratus lebih baik daripada yang ada di pasaran,” katanya yang tidak berniat memburukkan minyak wangi berjenama yang ada di pasaran.

Zulkifli kini sudah mempunyai tiga buah kedai di seluruh Malaysia dan kilang serta mampu bersaing dengan jenama-jenama tempatan yang ada di pasaran ketika ini.

Untuk sebarang tempahan minyak wangi beliau boleh dihubungi di nombor telefon 012-3206859 atau e-mel inspireparfum@yahoo.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: