Tuesday, April 19, 2011

Celcom labur RM168j

PERJANJIAN...Shazalli (dua dari kanan) dan Abang Jemat bertukar dokumen perjanjian antara Celcom dengan Sacofa di Menara Celcom, semalam.
PERJANJIAN...Shazalli (dua dari kanan) dan Abang Jemat bertukar dokumen perjanjian antara Celcom dengan Sacofa di Menara Celcom, semalam.

PENDUDUK Sarawak bakal mendapat liputan selular lebih baik pada masa depan apabila Celcom Axiata Bhd (Celcom) menandatangani perjanjian penukaran gelombang mikro kepada gentian optik dengan syarikat Sacofa Sdn Bhd (Sacofa) bernilai RM168 juta.

Perjanjian terbabit membolehkan Sacofa yang berpangkalan di Sarawak mengukuhkan rangkaian Celcom bagi penggunaan suara dan Internet mudah alihnya.


Kedua-dua pihak menetapkan masa pemasangan prasarana untuk 10 tahun, namun projek pertama dijangka siap dalam tempoh dua tahun di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Datuk Seri Shazalli Ramly berkata, syarikatnya komited dalam menyediakan pengalaman rangkaian yang stabil kepada penduduk Sarawak dan tidak teragak-agak melabur untuk menyediakan prasarana lebih mantap.


“Melalui perjanjian terbabit, pelanggan Celcom di Sarawak akan menikmati kandungan suara dan video definisi tinggi (HD) serta kelajuan ketika melayari Internet,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian dengan Sacofa di Kuala Lumpur, semalam.


Turut hadir Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sacofa, Abang Jemat Abang Bujang.Sementara itu, Abang Jemat berkata, penukaran membabitkan gentian 400 Celcom Node-B dan stesen dasar di Sarawak melalui peruntukan kapasiti saluran di negeri terbabit serta kapasiti bawah laut.


“Sacofa adalah pusat sehenti yang menyediakan prasarana telekomunikasi kepada penyedia perkhidmatan di Sarawak dan ketika ini mempunyai kira-kira 500 menara dengan liputan sehingga 70 peratus di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, syarikat itu mempunyai sistem gentian optik sepanjang kira-kira 3,000 kilometer dan bakal ditambah sebanyak 1,500 kilometer lagi melalui perjanjian dengan Celcom.


Ketika ini, Sarawak menyumbang kira-kira 15 peratus kepada pendapatan Celcom dengan liputan rangkaian 85 peratus bagi 3G dan 95 peratus bagi 2G.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: