Wednesday, April 20, 2011

Gaya hidup sihat PDRM


ANGGOTA keselamatan juga perlu menjaga tahap kesihatan yang optimum demi memenuhi tuntutan tugas yang mencabar.


MENGEKALKAN kesihatan yang baik sepanjang masa pastinya menjadi keinginan setiap individu dan ia sangat penting dalam kehidupan seharian.

Namun, kebanyakan daripada kita kurang mengendahkan aspek itu. Bukan setakat orang awam, pasukan keselamatan turut dikesan jarang mengamalkan gaya hidup sihat.

Keadaan tersebut boleh membahayakan mereka kerana tuntutan tugas mereka memerlukan status kecergasan dan kesihatan yang tinggi sekali gus untuk menghindari pelbagai penyakit kronik.

Hasil semakan Cawangan Kebajikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Januari hingga Disember tahun lalu, seramai 111 kakitangan PDRM pelbagai pangkat yang berumur di antara 40 hingga 55 tahun meninggal dunia berpunca daripada penyakit kronik.

Justeru, bagi mencapai piawaian kesihatan dan kecergasan yang optimum, PDRM melancarkan program Gaya Hidup Sihat PDRM pada Mac lalu.

Ia sejajar dengan harapan bagi mencapai wawasan Polis Sihat, Masyarakat Selamat melalui konsep amalan membudayakan gaya hidup sihat dan cergas dalam kalangan warga PDRM.

Menerangkan lebih lanjut mengenai program berkenaan, Pegawai Kebajikan Pasukan PDRM, Supritendan Azizi Mat Aris memberitahu, PDRM turut melancarkan buku Garis Panduan Gaya Hidup Sihat PDRM agar warga PDRM memperoleh panduan yang lebih berkesan.

Menurut beliau, program gaya hidup sihat itu merupakan penganjuran kali pertama dan ia adalah inisiatif Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar bersama Kementerian Kesihatan dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

"Selain buku garis panduan, kita juga memperkenalkan buku rekod kesihatan kepada warga PDRM sehingga ke peringkat bawahan.

"Program ini dilaksanakan kerana kita dapati kebanyakan anggota PDRM bertugas di luar untuk menjaga keselamatan orang awam," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Azizi, perubahan ke arah gaya hidup yang lebih sihat sangat diperlukan kerana kini ramai anggota PDRM menghidap pelbagai penyakit kronik seperti serangan jantung, diabetes, darah tinggi dan barah.

"Ada juga daripada mereka tidak cukup tidur dan ini boleh menjadi faktor mereka menghidap penyakit dan boleh menjejaskan mutu kerja mereka," ujarnya.

Buku panduan setebal 103 muka surat itu mengandungi pelbagai maklumat berguna bagi membantu warga PDRM merangka dan melaksanakan program Gaya Hidup Sihat di tempat kerja.

Di samping itu, ia membolehkan warga PDRM mengetahui empat risiko utama penyebab kepada penyakit kronik seperti amalan pemakanan tidak sihat, gangguan stres, gaya hidup sedentari dan merokok.

Manual itu juga terdiri daripada empat bahagian iaitu informasi kesihatan, saringan tahap kesihatan, program dan kaedah intervensi serta penilaian susulan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: