Friday, April 15, 2011

Cara tangani kerenah anak

SOALAN:
Anak sulung saya berumur 19 tahun dan kini belajar di kolej. Dia tidak bertegur sapa langsung dengan saya sejak kebelakangan ini walaupun kami sekeluarga telah berbincang.

Kami sudah pun meminta maaf atas segala kesilapan yang telah kami lakukan seperti memarahi dan memukulnya semasa kecil dahulu (pukulan biasa dan tidak memudaratkan).

Sejak tingkatan satu, dia memang tidak bertegur sapa dengan adiknya yang kedua kerana sedikit salah faham.

Sekarang, dia tidak bertegur sapa pula dengan dua lagi adiknya yang lain. Saya telah menasihatinya dan bertanya apa masalah sebenarnya namun dia membisu dan menggelengkan kepala. Apa yang patut saya lakukan?

JAWAPAN:

Inilah kerenah anak namanya. Setiap kita akan berhadapan dengan situasi sebegini dalam membesarkan anak-anak. Bukan senang untuk membesarkan anak-anak ini. Mereka adalah anugerah Allah SWT yang sangat bernilai. Mereka adalah pewaris kita di dunia ini.

Doa mereka sangat diperlukan ketika kita berada di alam barzakh. Kiriman doa setulus hati daripada anak-anak yang soleh adalah penawar di alam kubur.

Kehadiran mereka ke dunia ini di sambut dengan tangisan riang gembira oleh si ayah, si ibu hilang perit sakit melahirkannya hanya dengan menatap wajah si kecil yang masih kemerahan. Di benak ayah macam-macam yang terlintas daripada mula memberi nama hinggalah berkahwin dan mendapat cucu.

Beberapa minit itu ayah dapat membayangkan apa yang terbaik untuk warisnya itu. Nah, semua ini adalah gambaran kemeriahan awal dalam menyambut ahli baru dalam keluarga mereka.

Namun saya berpendapat sebelum menyalahkan anak-anak, eloklah kita lihat kelemahan kita terlebih dahulu.

Saya yakin tidak ada seorang pun di antara kita yang mahu anaknya menjadi kurang ajar, tidak menghormati ibu bapa, adik-beradik, sahabat handai dan selainnya.

Pun begitu, ada yang sudah mengajar anaknya tapi tetap menjadi anak yang nakal kenapa? Persoalannya mungkin ada kesilapan dalam mendidik anak. Mungkin juga sumber rezeki ada unsur syubhat dan sebagainya.

Sesungguhnya setiap anak itu lahir ke dunia ini dalam keadaan suci bersih. Fitrahnya belum dicemari. Tetapi apa yang berlaku selepas itu? Siapa yang benar-benar menjaga kesucian fitrah anak kita yang lahir bersama dengannya sebagai satu anugerah?

Bukankah kita yang tanpa sedari telah mencemarkannya? Anak-anak kita degil mesti ada sebab, mesti ada punca, cuba cari. Gunakan mata hati untuk mengenal mana kelemahan kita terhadap mereka. Saya yakin kita akan menemui jalan untuk membantu anak-anak.

Inilah yang disebut fitnah awlad ujian anak-anak. Manusia boleh sabar bila diuji dengan harta benda, kedudukan dan kemewahan. Tetapi belum tentu boleh sabar dan tabah menghadapi ujian anak-anak.

Dalam al-Quran, Allah SWT memberitahu manusia bahawa anak-anak itu adalah ujian, firman-Nya yang bermaksud: Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar. (al-Anfal: 28).

Firman-Nya lagi yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. (al-Munafiqun: 9)

Didik akidah anak

Ramai ibu bapa lupa kepentingan mendidik akidah kepada anak-anak. Kadang-kadang sengaja tidak diendahkan kerana sudah sekolah agama mengajar anak kita, atau beranggapan bahawa cukup dengan apa diajar di sekolah.

Sebenarnya mengikut Islam, ayah bertanggungjawab sepenuhnya dalam pendidikan anak-anak. Kemudian barulah difikirkan bersama isteri untuk mendidik anak-anak.

Apabila anak tidak mengenal Allah SWT selaku pencipta sekelian alam, ayahlah orang yang pertama yang seharusnya dipersalahkan. Ini kerana tanggungjawab ahli keluarga secara mutlak di atas bahu si ayah.

Tanggungjawab ini Allah SWT perintahkan di dalam al-Quran, firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala)....(al-Tahrim: 6 )

Kebanyakan ahli tafsir berpendapat konsep menyelamatkan ahli keluarga daripada seksaan api neraka bermula di dunia lagi dengan mengajar mereka perintah-perintah Allah SWT.

Sebab itu tanggungjawab ayah adalah ajar anak-anak dan isteri mengenal Allah. Ajar mereka ibadat, ajar mereka membaca al-Quran serta ajar mereka halal dan haram dalam Islam.

Saya yakin anak-anak yang bermasalah adalah anak-anak yang kosong jiwanya. Jiwa mereka tidak diisi dengan iman dan takwa. Didik akhlaknya, didik ibadatnya, didik jiwanya, didik kemasyarakatannya, didik ilmunya, didik perkembangan jati dirinya.

Di bawah ini ada beberapa perkara yang saya nukilkan untuk kita sama-sama bertindak sebagai ibu ayah yang prihatin, antaranya:

nIbu bapa semestinya bersangka baik dengan Allah SWT dalam menjalankan usaha tarbiyah anak-anak mereka.

nBersikap lemah lembut dan prihatin terhadap anak-anak yang bermasalah.

nSabar dalam menghadapi kerenah mereka.

nKonsisten dan berterusan dalam mengasuh mereka.

nPeruntukkan masa untuk bermain dengan mereka.

nBanyakkan bercerita kisah-kisah teladan anak-anak soleh atau kisah-kisah Nabi a.s.

nBerbicara dengan mereka mengenai kenikmatan syurga, seksa azab neraka, malaikat dan syaitan.

nSentiasa menunjukkan contoh yang baik kepada mereka.

nSentiasa bersangka baik dengan mereka.

nBanyakkan berdoa kepada Allah SWT.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: