Friday, April 15, 2011

Seni pisau belati Empayar Mughal


PISAU BELATI hulu dan sarung berhias enamel India abad ke 18-19M/ abad ke 12-13H.


PISAU belati merupakan satu senjata yang kurang digunakan pada hari ini. Belati membawa maksud datang dari negara luar. Pisau belati empayar Islam Mughal di India mempunyai pelbagai bentuk yang menarik dan dihasilkan dengan penuh berseni.

Terdapat dua nama pisau belati yang digunakan dalam empayar Mughal iaitu katar dan khanjar yang merujuk kepada dua jenis pisau belati yang mempunyai reka bentuk berlainan. Khanjar mempunyai lebih banyak pilihan reka bentuk berbanding katar.

Keunikan reka bentuk pisau belati India terletak pada bahagian hulunya. Khanjar mempunyai beberapa jenis hulu yang sering digunakan antaranya yang berbentuk kepala kuda, kuntuman bunga, lurus dan berbentuk 'T'.

Setiap pisau belati mempunyai sarung yang kebanyakannya diperbuat daripada kayu dan kemudiannya di balut dengan kain baldu, kepingan logam dan hiasan lain.

Hulu pisau belati empayar Mughal sering dihias dengan pelbagai jenis hiasan yang terdiri daripada beberapa bahan utama seperti batu jed, kristal, nephrite, kepingan emas, dan sebagainya. Teknik hiasan terdiri daripada ukiran bentuk tiga dimensi seperti kepala kuda, teknik tatahan yang menggunakan batu permata dan juga teknik hiasan enamel. Batu permata yang sering ditatah di atas hulu khanjar ialah seperti batu zamrud dan delima.

Khanjar yang mempunyai hulu berbentuk lurus, silinder dan bersaiz kecil selalunya diikat dengan tali dan di gantung di pinggang. Cara pemakaian pisau belati ini berlainan berbanding khanjar yang lain kerana selalunya ia berbentuk leper dan boleh di selit pada tali pinggang.

Bagi bahagian bilah, khanjar mempunyai dua bentuk bilah yang utama iaitu bilah meleding dan bilah lurus. Bilah khanjar mempunyai saiz yang agak lebar, tirus dan kadang-kadang meleding sedikit di bahagian hujung. Bilah khanjar sering diperbuat daripada keluli dan mempunyai dua mata pisau di bahagian kiri dan kanan bilah.

Satu lagi jenis pisau belati empayar Mughal ialah katar atau jamadhar. Katar mempunyai reka bentuk hulu yang unik. Secara amnya, hulu pisau belati katar berbentuk 'H' yang memerlukan pemegangnya menggenggam di bahagian tengah ketika menggunakannya.

Bentuk 'H' yang dihasilkan berkemungkinan mengikut saiz tangan pemilik kerana ia perlu mempunyai saiz yang sesuai dengan tangan pengguna supaya ia tidak mendatangkan kecederaan. Ia mempunyai sarung yang berbentuk leper dan tirus untuk bilahnya.

Bilah katar bersaiz lebar, leper dan berbentuk tirus. Ia juga diperbuat daripada keluli dan mempunyai dua mata pisau di bahagian kiri dan kanan. Jika dunia Melayu sinonim dengan keris, katar adalah senjata yang sinonim dengan masyarakat Mughal India.

Katar sering dipakai oleh maharaja Mughal, putera raja dan golongan bangsawan seperti yang ditunjukkan dalam kebanyakan lukisan mini India.

Dalam segi hiasan hulu, katar juga menggunakan bahan yang sama dengan khanjar. Batu permata delima dan berlian ditatah di atas hulu yang diperbuat daripada batu jed atau kepingan emas. Hasil kerja tangan seniman empayar Mughal amat terkenal dengan ukiran batu permata dan emas. Batu permata yang ditatah di atas hulu pisau belati diukir halus sama ada menunjukkan kelopak bunga atau urat daun.

Bagi tatahan emas, hulu keluli yang digunakan mempunyai alur ukiran yang dalam mengikut corak yang dikehendaki. Setelah siap diukir, alur hiasan akan diisi dengan cecair emas dan dibiarkan sejuk dan keras sebelum diketuk supaya rata dan dikemaskan hiasannya.

Warna emas yang kuning memberikan perbandingan warna yang menarik di atas keluli yang berwarna hitam. Kadangkala teknik hiasan ini juga digunakan di atas permukaan bilah katar dan khanjar.

Dalam salah sebuah lukisan mini empayar Mughal di galeri India Muzium Kesenian Islam Malaysia menunjukkan Maharaja Shah Jahan memakai katar yang diselitkan dipinggang sewaktu duduk di atas kerusi dan di layan oleh dua orang pembantu istana yang turut memakai katar.

Katar dipakai sewaktu di dalam istana dan jika di luar istana, katar dipakai bersama kelengkapan senjata yang lain seperti pedang dan bekas anak panah. Kelengkapan sebegini sering digunakan untuk persiapan dalam peperangan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: