Friday, April 15, 2011

100% lulus kursus sembelihan BKUM-Jawi


ROSLAN Bahari menunjukkan cara yang betul menyembelih ayam kepada peserta kursus penyembelihan halal di pekarangan ibu pejabat Utusan Melayu, Kuala Lumpur baru-baru ini.


UMAT Islam dituntut mencari rezeki yang halal dalam apa jua aspek kehidupan, bermula daripada pemakanan hingga memperoleh pendapatan untuk menyara keluarga.

Namun kelalaian mengikut hawa nafsu dan kejahilan diri menyebabkan kita tidak menitikberatkan soal halal dan haram. Sedangkan, hakikatnya makanan itu akan menjadi darah daging.

Justeru, Badan Keluarga Utusan Melayu (BKUM) melalui biro Utusanita mengambil inisiatif menganjurkan kursus asas Penyembelihan dan Pemakanan Halal.

Ia dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) di ibu pejabat Kumpulan Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini. Seramai 70 peserta mengambil bahagian.

Alhamdulillah, kesemua mereka lulus dalam ujian praktikal menyembelih ayam.

Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada ahli-ahli BKUM mengenai kaedah penyembelihan yang menepati hukum syarak .

Yang Dipertua BKUM, Kamsari Nor berkata, penganjuran program itu wajar memandangkan tidak ramai generasi muda berpengetahuan melakukan sembelihan ternakan mengikut kaedah yang menepati tuntutan Islam.

"Kita kerap dikejutkan dengan kegagalan pusat penyembelihan ayam mematuhi peraturan yang ditetapkan, bukan sahaja dari segi sembelihan tetapi juga kebersihan dan sebagainya.

"Apa yang membimbangkan kita ialah masalah sembelihan ayam yang diragui kehalalannya selain berkait rapat dengan faktor kesihatan," katanya semasa berucap merasmikan program tersebut.

Para peserta diberi pendedahan teori dan praktikal oleh penceramah jemputan JAWI, Abdul Halim Zakaria dari Persatuan Ulama Malaysia.

Ceramah bertajuk 'Halal haram dalam pemakanan umat Islam' dan 'Penyembelihan Haiwan dalam Islam' banyak memberi input berguna kepada para peserta.

Praktikal penyembelihan dilakukan dan dipantau oleh pegawai Jawi, Roslan Bahari bersama lima pembantu.

Sempena program itu juga, sebanyak 120 ekor ayam dan seekor kambing disediakan untuk tujuan praktikal.

Peserta yang lulus praktikal penyembelihan diberi sijil asas kelayakan sebagai penyembelih yang diiktiraf oleh pihak Jawi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: