Thursday, April 21, 2011

Cabaran Calon Imam Muda 2

KUALA LUMPUR: Bermulanya musim kedua Imam Muda memberi pelbagai cabaran kepada calon-calon yang berjaya dipilih dalam program realiti yang disiarkan di Astro Oasis (saluran 106).

Antara 10 calon tersebut, empat daripada mereka iaitu Fakhrul, Azlan, Ali dan Mujahid menceritakan tentang pengalaman yang ditempuhi sebelum memasuki program tersebut.

Keempat-empatnya mempunyai latar profesion yang berbeza di mana Fakhrul merupakan seorang imam di Masjid Al-Munawarrah, Seksyen 27, Shah Alam, Azlan (jurutera Petronas), Ali (guru Kafa) dan Mujahid (pelajar).

Isteri berat melepaskan Azlan

Mohd Azlan Zulkarnain (Azlan), 25, agak bertuah apabila terus diterima memasuki program tersebut setelah kali pertama menyertai sesi ujibakat yang dilakukan di Kuala Lumpur.

Azlan.

Bagaimanapun, dia yang telah mendirikan rumah tangga kira-kira dua bulan lalu menghadapi cabaran untuk berpisah sementara dengan isterinya.

“Isteri saya bimbang sekiranya saya dikenali ramai selepas ini dan berubah perangai. Namun, dia akhirnya mengizinkan saya menyertai program ini setelah merasakan penyertaan saya merupakan sesuatu perjuangan dan dakwah ke jalan Allah.

“Selain itu, saya turut bersemangat untuk menyertai program ini setelah mendapat sokongan daripada keluarga walaupun saya sebenarnya seorang yang pemalu dan pendiam,” ujarnya yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Teknologi Petronas.

Ali tercabar dengan calon lain

Beralih kepada Ali Khairudin Abdul Marif (Ali), 26, dia agak tercabar dengan calon lain walaupun bekerja sebagai guru Kafa.

Ali.

Kata anak ke-13 dari 17 beradik ini, semasa menjalani sesi uji bakat, dia hanya membuat persediaan dengan menghafal surah yang terkandung dalam al-Quran.

“Saya hanya bertawakal dengan membaca beberapa surah dan cuba menjawab soalan pengetahuan am yang diberikan walaupun saya tidak membuat persediaan yang baik.

“Alhamdulillah, saya tidak menyangka terpilih dalam program ini. Saya ingin memasuki program ini kerana ia merupakan wadah ilmu yang mampu membentuk seseorang itu menjadi seorang imam dan mempelajari cara untuk mendekati masyarakat daripada golongan remaja, dewasa dan warga emas,” katanya yang berkhidmat sebagai guru Kafa sejak tahun 2006.

Mujahid mahu menjadi imam di Singapura

Mujahid.

Sementara Mujahid Suhaimi (Mujahid), 20, yang berasal dari Singapura mencabar dirinya untuk menjadi imam di masjid atau surau di negaranya.

Pernah menyertai sukan gimnastik, anak muda ini sebenarnya memiliki Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dari Maahad Pontian, Johor dan pernah menuntut di sekolah tahfiz di Kelantan.

“Saya mula melatih diri untuk bergelar imam sejak berusia 15 tahun dan pernah menjadi imam di Masjid Beijing di Rantau Panjang, Kelantan.

“Apabila wujudnya program ini, saya tertarik untuk menyertainya untuk menimba ilmu dan mengembangkan ilmu dakwah sebelum menjadi imam di negara sendiri,” katanya penuh bangga.

Fakhrul.

Fakhrul mahu dalami pengurusan jenazah

Bagi Mohd Fakhrurrazi Hussin (Fakhrul), 27, jawatan sebagai imam yang sedang digalasnya sekarang menguatkan lagi keyakinannya untuk memasuki program tersebut.

Biarpun memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dari Universiti Sains & Teknologi Yaman, lelaki yang berasal dari Terengganu ini mahu mencabar dirinya untuk merasai pengalaman dalam pengurusan jenazah.

“Saya gemar mencuba sesuatu yang baru dan mendedahkan diri dalam banyak perkara termasuk lebih mendekati para remaja dan orang tua. Itulah sebenarnya peranan seorang imam.

“Insya-Allah, saya sudah bersedia untuk menyertai program ini dengan ilmu dan pengalaman yang ada,” beritahunya yang menjadikan Imam Muda Asyraf, juara Imam Muda musim pertama sebagai rujukan.

Calon lain yang turut menyertai program tersebut adalah Zulfadli Awang, 24, (Brunei-pegawai masjid), Mohd Hassan Adli Yahaya @ Yahuza, 26, (Perak-pensyarah), Nazrul Izwan Zolkiflee, 26, (Johor-guru besar), Wan Najdi Wan Mohd Noh, 20, (Kelantan-guru tarannum), Ammar Wan Harun, 27, (Kuala Lumpur-mahasiswa) dan Abdul Fattah Riddzwan, 21, (Negeri Sembilan-fasilitator).

Kapsul IM2 akan disiarkan pada 25 April ini, setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 7.55 malam, Mimbar IM2 (Jumaat, 6.30 petang, 29 April), Medan IM2 (Jumaat, 9 malam).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: