Friday, April 8, 2011

Buat kek kerana anak-anak


Najah Farahin bersama hasil karyanya.


APABILA kek hasil tangan sendiri menjadi santapan keluarga diraja, sudah tentu berbunga rasa bangga di hati kerana bukan mudah untuk menambat cita rasa golongan istana.

Itu yang dirasai Najah Farahin, 32, apabila kek yang dihasilkan selalu ditempah oleh kerabat diraja.

‘‘Mereka adalah antara pelanggan tetap saya selain penduduk Perlis lain yang menyokong usaha saya untuk menjalankan perniagaan kek halal,’’ katanya ketika ditemui di Najah Bakery di 2550, Kilometer 2, Jalan Padang Nyu, Arau, Perlis, baru-baru ini.

Lulusan Ijazah Sains Pemakanan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) ini menceritakan bidang yang diterokai sekarang memang berbeza dengan apa yang dipelajari di universiti.

Beliau mengakui cuma sempat bekerja selama enam bulan di sebuah syarikat di Kuala Lumpur selepas tamat pengajian sebelum melepaskan jawatan kerana tidak serasi dengan jiwa.

Selepas itu wanita kelahiran bukit Mertajam, Pulau Pinang ini, mengikut suami berpindah ke Arau dan sempat menjadi guru di taman asuhan kanak-kanak selama dua tahun.

Jelas Najah minatnya untuk mempelajari cara membuat kek juga gara-gara anak-anaknya yang suka makan kek.

Tambahan pula, kata Najah, kebanyakan kedai kek yang terdapat di Perlis dimonopoli oleh bukan Islam.

‘‘Saya menyahut cabaran itu dengan berusaha mempelajari cara membuat kek dan juga teknik hiasan menggunakan aising fondant dan krim mentega sehingga ke Kuala Lumpur dan Seremban,’’ katanya.

Najah akui bernasib baik kerana minatnya itu mendapat sokongan suami yang sanggup menghantarnya menghadiri kelas hingga di luar Perlis.

Ketekunannya mengikuti kelas supaya tidak ketinggalan dalam teknik terbaru dalam seni hiasan kek.

Ini kerana, katanya, dunia kek juga seperti dunia fesyen yang sentiasa berubah khususnya dari segi hiasan dan penting untuk dipelajari supaya pelanggan tidak jemu.

‘‘Jangan tak tahu pelanggan hari ini juga mempunyai cita rasa hebat kerana kalangan mereka banyak terdedah melalui kepakaran yang dilihat menerusi Internet khususnya dari Barat,’’ katanya.

Pada peringkat awal Najah cuma menjual kek kepada rakan-rakan yang kemudiannya disebar dari mulut ke mulut.

Katanya, Najah Bakery cuma beroperasi di rumah bagi memudahkannya menyiapkan tempahan sambil menunaikan tanggungjawab sebagai ibu kepada tiga anak.

Ditanya cara membahagi masa antara anak dan membuat tempahan kek, jelas Najah seawal pukul 5 pagi lagi beliau sudah melakukan kerja-kerja menghias kek.

Manakala waktu membakar kek pula dilakukan selepas Zohor di mana ketika itu lebih selesa kerana anak-anaknya tidur.

‘‘Selain kek coklat, keju, mentega, lobak merah dan mentega untuk majlis hari jadi atau perkahwinan, saya juga menerima tempahan kek cawan, brownies dan tart,’’ katanya.

Biasanya kata Najah, beliau sendiri akan menghantar tempahan kek untuk pelanggan di sekitar Perlis.

Jelasnya memandangkan rakyat negara ini dilihat semakin gemar membeli-belah secara online maka beliau memulakan langkah mempromosi kek di blog sejak tahun 2009.

‘‘Baru-baru ini saya telah naikkan taraf di mana sesiapa sahaja boleh mengetahui lebih lanjut mengenai kek ciptaan saya menerusi laman web www.najahbakery.com atau terus menghubungi saya menerusi talian 012-5735856,’’ katanya.

Selain itu, Najah memberitahu dia juga menganjurkan kelas membuat kek dan teknik menghias yang mendapat sambutan yang menggalakkan.

Malah ibu muda yang gigih ini juga bercita-cita untuk menghasilkan buku seni hiasan kek supaya hasil karya nanti dapat dilihat oleh anak-anak dan generasi muda pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: