Friday, April 8, 2011

Gula tambahan punca anak obes


David Ross (tengah) bersama selebriti, Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot dan Jeann Wong (kanan) pada pelancaran susu Anmum Essential Baru Tanpa Gula Tambahan di Kuala Lumpur baru-baru ini.


GOLONGAN kanak-kanak memerlukan pemakanan untuk tujuan iaitu tenaga, pertumbuhan fizikal yang sempurna dan perkembangan mental.

Justeru, piramid panduan pemakanan menyarankan seorang kanak-kanak berusia antara dua hingga 10 tahun perlu menikmati lima kumpulan hidangan iaitu bijian, buah-buahan dan sayur-sayuran, daging dan protein, tenusu serta minyak, gula dan garam dalam kadar tepat, seimbang serta dipelbagaikan.

Bagaimanapun, Perunding Pakar Diet, Indra Balaratnam berkata, trend pemakanan semasa kanak-kanak di negara ini menunjukkan masalah kegemukan atau obesiti di kalangan golongan kecil itu semakin bertambah iaitu 5.4 peratus daripada kira-kira 21,249 orang kanak-kanak yang direkodkan.

Masalah itu, katanya, berpunca daripada amalan pemakanan kanak-kanak yang lebih gemar sajian mengandungi kadar gula dan lemak tinggi seperti aiskrim, donut manis, agar-agar, mufin, burger, coklat, roti krim, gula-gula, bijirin sarapan, biskut serta minuman berkarbonat.

Jelasnya, seseorang kanak-kanak sepatutnya diberi lebih banyak hidangan mengandungi sumber gula semulajadi yang turut dikenali sebagai glukosa, fruktosa dan laktosa seperti susu segar, buah-buahan dan sayur-sayuran.

"Namun, kebanyakan ibu bapa di negara ini dilihat membiarkan anak-anak menikmati hidangan mengandungi gula tambahan atau turut dikenali Sirap Jagung Solid, Sukrosa dan Sirap Glukosa Solid dalam kadar tinggi.

"Keadaan negatif ini bukan sahaja mengakibatkan anak-anak mengalami obesiti tetapi juga gigi rosak, kekurangan nutrien dan lebih teruk, penyakit kencing manis.

"Setiap hari kanak-kanak hanya memerlukan lima hingga enam sudu teh gula manakala dewasa, tidak melebihi 10 sudu teh gula.

"Namun kebanyakan individu bagi kedua-dua golongan itu didapati mengambil sehingga 24 sudu teh gula," kata Indra.

Beliau memberitahu demikian ketika membentangkan kertas kerjanya bertajuk Generasi Sihat, Kesedaran Pengambilan Gula dalam Nutrisi Kanak-Kanak sempena Pelancaran Anmum Essential Tanpa Gula Tambahan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Indra, bagi mengatasi dan membendung obesiti kanak-kanak, ibu bapa adalah golongan utama yang perlu memainkan peranan mengawal dan menentukan jenis hidangan dinikmati anak-anak

Katanya, ibu bapa harus mempunyai maklumat mendalam bagi membantu mereka mengetahui sajian terbaik untuk anak-anak.

Pada masa sama ibu bapa sendiri perlu menikmati atau menyediakan hidangan berkhasiat di rumah supaya ia turut dimakan anak-anak.

Bukan itu sahaja, ibu bapa perlu menerangkan secara terperinci kepada anak-anak mengapa sesuatu makanan itu perlu atau tidak perlu dimakan.

Sementara itu Pengurus Besar Fonterra Brands Malaysia, David Ross, memberitahu, Anmum Essential Tanpa Gula Tambahan adalah hasil usaha syarikat berkenaan yang sentiasa mencari jalan untuk memperbaiki dan mempertingkatkan rumusan keluarannya.

Produk terbaru keluaran Fonterra itu adalah susu untuk tumbesaran kanak-kanak yang pertama tanpa gula tambahan diperkenalkan di pasaran negara ini.

Ia mengandungi lebih 100 peratus nutrien penting untuk otak iaitu Asid Dokosaheksanoik (DHA) dan Gangliosida (GA) yang mampu membantu memaksimumkan hubungan sel-sel otak bagi mempercepatkan pembelajaran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: