Sunday, April 24, 2011

Berjalan kaki di Notting Hill…

SABTU mungkin waktu yang paling indah untuk bersiar-siar di kota London.

Tidak. Penulis yakin dengan keputusan pada hari kedua di London. Kalau tidak mengambil peluang pada hari ini penulis terpaksa pula menunggu seminggu lagi.

Notting Hill. Tagline filemnya iaitu ‘Bolehkah bintang filem paling terkenal di dunia jatuh hati pada seorang jejaka biasa?’ berjaya menarik orang ramai ke panggung.

Ia juga menjadi magnet kepada lokasi sebenar sebuah filem komedi romantik pada 1999 arahan Roger Michell yang dilakonkan oleh Julia Robert dan Hugh Grant.

Lonjak populariti

Filem ini ternyata memberi impak kepada tajuknya yang diangkat daripada nama sebuah wilayah bagi The Royal Borough of Kensington dan Chelsea di barat London.

Notting Hill mengisahkan kehidupan biasa seorang pengusaha kedai buku William Thacker (Hugh Grant) namun berubah selepas bertemu dengan bintang filem terkenal Anna Scott (Julia Robert).

Filem berkenaan secara tidak langsung telah melonjakkan lagi populariti destinasi ini yang sudah pun terkenal sebagai tumpuan pelancong.

Kebanyakan penggambaran bagi adegan percintaan William Thacker dan Anna Scott dilakukan di sini menyerlahkan lagi keistimewaan Notting Hill.

Titik fokus sudah tentu Portobello Road kerana terdapat pasar minggu yang membariskan pelbagai jenis gerai di sepanjang jalan pada setiap Sabtu.

Pasar berkenaan yang dikenali sebagai Portobello Market itu menjual barangan antik, kraftangan, buah-buahan dan sayur-sayuran serta barangan terpakai.

Lautan manusia

Penulis pernah ke sini sewaktu kembara Eropah musim panas 2009 namun tidak bernasib baik kerana ketika itu adalah hari biasa jadi sepanjang jalan Portobello lengang saja.

Masih teringat mengenai adik kepada rakan penulis sanggup datang ke sini dari Nottingham utara United Kingdom semata-mata untuk merasai kek cawan.

Katanya, kedai bakeri Hummingbird di Portobello Road adalah pembuat kek cawan paling popular di London. Hebat sangatkah sampai begitu sekali penangannya?

‘Pengiktirafan’ itu bagaimanapun diakui penulis selepas melihat sendiri keadaan luar dan dalam kedai yang begitu sesak tidak putus-putus menerima kunjungan ramai pelanggan.

Begitulah juga dengan Portobello Road yang sesak dibanjiri lautan manusia yang datang tidak semestinya untuk membeli-belah tetapi cukuplah untuk berjalan-jalan saja.

Bukan pedalaman

Semuanya kerana tarikan filem Notting Hill, senyuman menggoda Julia Robert, suara jantan Hugh Grant dan Portobello Road sebagai senarai ‘wajib melawat’ di London.

Pada pandangan penulis, Notting Hill bukanlah sebuah kawasan pedalaman di pinggir kota London seperti yang digambarkan dalam lakon layar tulisan Richard Curtis yang juga pernah menghasilkan karya bagi filem Four Weddings and a Funeral.

Kebanyakan bangunan kedai dan rumah pula tidak dipenuhi batu-bata seperti yang sering menjadi kebiasaan bagi tema pembinaan di London.

Dari Stesen Tube di Notting Hill Gate, penulis berjalan kaki seperti kebanyakan pengunjung yang lain melalui Portobello Road menuruni bukit melawati gerai-gerai.

Ada peniaga yang membuat kain rentang, bersorak dan memberikan sampel, pendek kata pelbagai cara yang digunakan mereka untuk memancing pembeli.

Ikon dunia

Menariknya, kedai pakaian jenama AllSaints mempunyai caranya tersendiri apabila menghiasi setiap sudut tingkap kaca dengan begitu banyak mesin jahit lama.

Penulis tidak dapat menganggarkan jumlah keseluruhannya tetapi mungkin lebih 50 buah dan pastinya penggemar barangan antik akan gigit jari melihat dekorasi kedai ini.

Selain itu, terdapat sebuah kedai yang terletak betul-betul di salah satu persimpangan di Portobello Road mengingatkan penulis kepada kembara ke Venice di Itali pada 2009.

Manakan tidak apabila satu sudut dinding di dalam kedai itu menggantung begitu banyak topeng yang pernah digunakan pada Karnival Venice berabad-abad tahun dahulu.

Sesuai dengan nama kedainya iaitu Portobello Market ‘The World Famous’ yang menjual pelbagai barangan yang menjadi ikon banyak negara dunia terutama dari Eropah.

Komuniti setempat

Tidak dinafikan sebahagian pengunjung juga seperti penulis yang datang ke sini pada mulanya mahu merasai syahdunya kisah cinta William Thacker dan Anna Scott.

Namun tarikan Notting Hill bukan sekadar pada magis filemnya pecah panggung dan memenangi banyak anugerah semata-mata tetapi juga kerana kekuatan pada komuniti setempat.

Buktinya, Karnival Notting Hill pada Ogos setiap tahun saja mampu menarik sehingga 1.5 juta pengunjung menjadikannya sebagai antara festival jalanan terbesar di Eropah.

Acara tahunan yang berlangsung selama dua hari sejak 1964 itu dianjurkan oleh sebahagian daripada kumpulan etnik Trinidadian dan Tobagonian British yang merupakan warganegara atau penduduk di United Kingdom.

Alamak. Sudah separuh hari di Portobello Market. Penulis harus ke Oxford Street untuk bertemu dengan rakan yang sama-sama menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) beberapa tahun dulu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: