SAMA ada CCTV mahu pun kamera intip, kedua-duanya mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan yang memerlukannya untuk tujuan keselamatan atau sebaliknya.
Jika tiada permintaan tinggi, masakan hampir setiap premis di Jalan Pasar, Kuala Lumpur menawarkan produk-produk seumpama ini kepada pelanggan-pelanggannya.
Tinjauan Mingguan mStar di kawasan yang sentiasa sibuk ini mendapati para peniaga di sini tidak pernah melepaskan peluang mempromosikan barangan yang dijual kepada pelanggan yang lalu-lalang di sekitar kawasan ini, termasuklah CCTV dan kamera intip.
Di sana, tidak kira siapa pun anda, berapa pun umur anda, apabila peniaga disapa dan ditanya tentang alat yang dapat digunakan untuk mengintip, dengan serta-merta peniaga akan membawanya keluar dari tempat simpanan.
Pendek kata, di Jalan Pasar, dengan hanya bertanya tentang kamera intip, maka si peniaga lantas menunjukkan peralatan berbentuk aneka yang ada kepada pelanggan sambil membuka cerita tentang ciri, fungsi, kelebihan dan kaedah penggunaannya.
Walau pembeli membeli untuk tujuan tidak baik, itu bukan masalah peniaga, yang penting CCTV atau kamera intip dapat dijual sebanyak mungkin.
Nyata, peniaga di sini bijak memainkan peranan mereka. Cara mereka mempromosikan kamera intip cukup mengujakan dan tidak hairanlah jika ramai pelanggan yang akan tertarik untuk membeli setelah melihat demonstrasi penggunaan dilakukan.
Di salah sebuah premis di kawasan tersebut, seorang peniaga wanita berusia kira-kira separuh abad amat teruja apabila kami, menunjukkan minat untuk membeli sebuah kamera kecil dari premisnya bagi membuat intipan.
Berbeza dengan premis yang menjual kamera intip pelbagai bentuk, peniaga ini cuba memenangi hati kami dengan menunjukkan sebuah kamera kecil sebesar syiling 10 sen.
Berikut merupakan dialog antara wartawan Mingguan mStar dengan peniaga tersebut.
Peniaga: Mau cari apa?
M.mStar: Kamera. Saya mau yang paling kecil.
Peniaga: Mari, saya tunjuk awak yang paling kecil dan kualiti paling bagus. (Sambil berlalu ke sebuah rak di dalam premis untuk mengeluarkan kamera yang dimaksudkan)
M.mStar: Berapa harganya ni?
Peniaga: RM250, saya kasi kurang jadi RM230.
M.mStar: Banyak mahallah! Boleh kurang lagi ke?
Peniaga: Tak boleh. Ini kualiti baik punya. Saya punya jerawat pun boleh nampak. Tunggu sekejap saya tunjuk kamera itu sama awak. (Peniaga menyambungkan wayar kamera dengan kabel. Tidak sampai satu minit, kamera siap dipasang dan peniaga meminta supaya kami melihat di sebuah skrin yang diletakkan di hadapan premis. Kamera dihalakan ke seluruh premisnya dan setiap sudut premis dapat dilihat dengan jelas melalui skrin tersebut)
M.mStar: (Terpegun) Wah, banyak bagus! Warna pun terang. Semua boleh nampak.
Peniaga: Saya sudah cakap sama awak. Ini barang baik punya.
M.mStar: Kalau dalam gelap macam mana? Boleh nampak ke?
Peniaga: Boleh. Kalau tak percaya mari ikut saya. (Peniaga membawa kami ke sebuah bilik gelap di belakang premis dan meminta seorang daripada kami masuk ke dalam bilik tersebut manakala seorang lagi menunggu di luar untuk menilai kualiti imej yang dipancarkan dari bilik itu menerusi skrin)
Peniaga: Macam mana? Baik kan? Angkat satulah! Tak rugi punya.
M.mStar: Mahal sangatlah. Kasi kurang lagilah...
Peniaga: Ini sudah banyak murah. Saya bagi awak kabel, siap semua. Balik cuma pasang.
M.mStar: Tak apalah. Kami jalan dulu. Nanti kami datang balik.
Peniaga: (Menggeleng-gelengkan kepala)
Di bawah ini pula dialog Mingguan mStar dengan peniaga kamera intip. Kami singgah di premis peniaga ini setelah mendapati kamera intip yang dipamerkan di hadapan premisnya berbentuk unik.
M.mStar: Apa ini? (Pura-pura tidak tahu dan bertanya tentang fungsi alat-alat yang berbentuk pen, tali leher, pemetik api, rantai kunci, jam tangan dan cermin mata yang dipamerkan)
Peniaga: Spy cam!
M.mStar: Wow! Boleh tengok?
Peniaga: Boleh. Yang mana mau?
M.mStar: Yang itu. (Sambil tunjuk pemetik api)
Peniaga: RM130. (Peniaga kemudiannya menunjukkan lensa halus yang tersembunyi di bawah pemetik api itu)
M.mStar: Berapa lama boleh rekod?
Peniaga: Lebih kurang dua jam. I bagi you memory card 4GB.
M.Star: Boleh tengok yang bentuk pen?
Peniaga: Boleh. Bentuk pen RM120.
M.mStar: Tak boleh kurang?
Peniaga: (Geleng). Sudah banyak murah. You mau guna ini untuk apa?
M.mStar: Ambil gambarlah...
Peniaga: Ambil gambar curi-curi? Kalau curi-curi beli satulah.
M.mStar: Yea, curi-curi. Tapi mahal sangat.
Peniaga: Tak mahal. You jalan banyak-banyak pun tak guna, semua kedai pun harga sama.
M.mStar: Tak apa. Kami jalan dulu, nanti kami datang lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: