BERMULA sebagai hobi akhirnya aktiviti meluncur ais yang dilakukan setiap minggu sejak berumur enam tahun telah melakarkan nama Ryan Yee sebagai peluncur air termuda sekali gus mencatatkan namanya dalam Malaysia Book of Records (MBOR) tahun lalu.
Ryan sememangnya bertuah kerana penglibatannya dalam sukan ini mendapat sepenuhnya sokongan daripada kedua orang tuanya, Yee Weng Kai (bapa) dan ibunya yang juga merupakan Pengarah Pertandingan Antarabangsa, Irene Cheow.
Malah lebih membanggakan lagi, Ryan bukan keseorangan dalam kariernya ini tetapi abangnya, Ian Yee dan adiknya Julian Yee turut aktif dalam sukan ini.
Irene, 50, berkata, sejak kecil lagi dia memang membawa anak-anaknya ini ke tempat luncur ais dan tidak pernah memaksakan mereka untuk menceburi sukan ini secara serius.
“Sebelum ini saya juga turut bermain luncur ais yang dijadikan sebagai hobi dan minat itu terus melekat kepada anak-anak saya. Mereka telah menunjukkan kesungguhan untuk mempelajari lebih mendalam mengenai sukan ini dan saya pastinya tidak menghalang, malah turut berbangga kerana Ryan telah meraih kejayaannya tersendiri.
“Bukan Ryan sahaja yang aktif dalam sukan ini tetapi abangnya, Ian merupakan jurulatih di Sunway Pyramid Ice sebelum melanjutkan pelajaran ke University RMIT, Melbourne, Australia, manakala adiknya Julian, 14, turut berjinak-jinak dalam sukan ini.
“Dalam pada masa yang sama, saya juga merupakan ahli dalam Persatuan Meluncur Ais Malaysia (ISAM) sekali gus dapat memantau perkembangan Ryan di kejohanan tempatan mahupun antarabangsa,” katanya kepada Mingguan Mstar.
Sementara itu, nama Ryan dalam sukan meluncur ais di Malaysia sememangnya sudah terkenal, lebih-lebih lagi dia merupakan juara lima tahun berturut-turut pada kejohanan peringkat kebangsaan dalam kategori senior.
Dengan kejayaan itu juga dia telah terpilih menjadi atlet Malaysia pertama yang layak beraksi pada Kejohanan Antarabangsa Pertubuhan Luncur Antarabangsa (ISU).
“Tahun lalu merupakan detik kemuncak kerier saya kerana terpilih beraksi dalam dua kejohanan peringkat antarabangsa di Perancis dan Jepun. Walaupun pertama kali beraksi di sana, saya sangat teruja beraksi dengan peluncur ais dunia yang lain.
“Bagi tahun ini saya yakin akan melakukan yang terbaik dan cuba mengutip mata. Dengan tunjuk ajar jurulatih Chan Wei Kin, saya pasti semuanya akan berjalan lancar. Saya juga akan turut menjalani latihan di Amerika Syarikat awal Jun ini selama dua minggu bagi persiapan ke kejohanan antarabangsa lebih kurang empat hingga lima bulan lagi,” katanya.
Menurut Ryan, 16, yang beraksi dalam kategori junior pada kejohanan antarabangsa, penglibatan dalam sukan ini bukan sekadar untuk mencipta nama, tetapi apa yang menjadi sasarannya ialah layak beraksi pada Sukan Olimpik Musim Sejuk pada 2018.
“Saya meletakkan sasaran layak ke Olimpik tujuh tahun lagi kerana saya yakin dalam tempoh saya boleh memantapkan aksi saya kerana sedar untuk layak ke kejohanan berprestij itu bukan mudah. Kejohanan antarabangsa memainkan peranan penting kerana ia mempengaruhi persembahan saya untuk ke Olimpik,” katanya.
Sementara itu, Ryan berkata walaupun sibuk menjalani latihan lima kali seminggu, ia sedikit pun tidak menjejaskan pembelajarannya serta aktiviti riadah bersama keluarga dan kawan-kawannya.
“Saya bukan sahaja aktif dalam sukan meluncur ais ini, tetapi turut meluangkan masa bermain futsal, bola keranjang dan olahraga. Malah kesibukan ini juga tidak menjejaskan untuk melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti di sekolah.
“Tanggungjawab sebagai atlet negara tidak menjejaskan aktiviti saya kerana apa yang penting ialah kita perlu bijak membahagikan masa agar semuanya berjalan lancar,” katanya yang meraih tempat ketujuh pada Sukan Musim Sejuk Asia di Astana, Kazakhstan pada Januari lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: