|
|
TAHUN ini usia Samsudin Lamin 72 tahun. Pada usia emas, penyanyi dan pemuzik lagu-lagu Melayu asli ini sepatutnya banyak berehat di rumah.
Sama ada menghabiskan masa bersama anak-anak ataupun cucu-cucunya. Namun dia yang mula bermain muzik dan menyanyi pada usia 16 tahun seorang yang tidak boleh duduk diam.
Sehingga kini jiwanya dihalakan kepada bidang muzik. Sudah 56 tahun dia mencurahkan bakat dan perjuangannya dalam bidang seni.
Jika tiada undangan menyanyi, Samsudin memang suka duduk di rumah. Cuma jari-jemarinya sukar dipisahkan dengan alat-alat muzik yang berada dalam simpanannya.
Sewaktu mengisi masa lapang, dia setidak-tidaknya membelek-belek alat-alat muzik yang boleh diibaratkan sebagai isteri keduanya.
Menurut penyanyi yang pernah popular dengan lagu berjudul Bukit Malawati ini, alat muzik seperti biola dan akordian merupakan khazanah yang bernilai dalam simpanannya.
“Apabila berada di rumah saya banyak menghabiskan masa berehat. Saya masih bermain muzik sama ada sendirian atau mengajar anak-anak muda dalam bidang ini.
“Kalau tidak ada undangan menyanyi, saya lebih suka membersihkan alat-alat muzik kesayangan saya itu,” katanya kepada S3.
Pada pertemuan di rumahnya di Paya Jaras, Sungai Buloh, Selangor itu, dia kelihatan begitu asyik membersihkan alat-alat muzik yang disimpanannya sejak lebih 30 tahun lalu.
Minat mendalam itu turut mendorongnya menubuhkan Bengkel Seni Samsudin Lamin sejak empat tahun lalu di hadapan rumahnya.
Ekoran itu, boleh dikatakan sepanjang hari dia akan menghabiskan masa di bengkel itu yang sekali gus merangkap tempatnya mengimbau nostalgianya sebagai anak seni.
“Kata orang kalau tidak dapat menyanyi atau bermain muzik sekalipun, dapat memandang dan memegang instrumen itu pun sudah memuaskan jiwa saya.
“Ia mengimbau nostalgia saya menjadi penyanyi dan pemuzik lagu-lagu Melayu asli sejak puluhan tahun lalu. Ada kalanya ia membuatkan saya hiba.
“Semua itu boleh menyebabkan saya menitiskan air mata. Lebih menghibakan apabila perjuangan saya dalam bidang ini mendapat perhatian banyak pihak termasuklah kerajaan,” ujarnya.
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara misalnya, telah melantiknya sebagai jurulatih dalam Kursus Jurulatih Seni Budaya Negara.
Melalui kursus itu, Samsudin diberi kepercayaan mendidik anak-anak muda yang ingin mempelajari persembahan muzik dan lagu-lagu Melayu asli yang kini semakin dilupakan masyarakat.
Justeru, suami kepada Yunetta Yusuf, 53, ini memang berjiwa seni sejati. Lebih lima dekad menjadi orang seni belum memuaskan hatinya.
Paling meninggalkan nostalgia ialah alat-alat muzik dan piala-piala serta sijil-sijil kemenangannya sepanjang terbabit dalam bidang seni juga masih elok dalam simpanan di bengkel beliau itu.
Malah, lantaran keghairahannya yang mendalam terhadap lagu-lagu Melayu asli menyebabkan dia menjadi buruan ramai. Sama ada penganjur persembahan pentas atau murid-murid sekolah.
Ini kerana, meskipun pada usia emas, tetapi bakat dan pengalamannya dalam bidang muzik menjadi tagihan kalangan pemuzik generasi muda.
Sejak Februari lalu, dia diberi kepercayaan melatih murid-murid Sekolah Menengah Tinggi Setapak, Sekolah Menengah Bandar Baru Sungai Buloh dan Sekolah Rendah Sri Pristana, Selangor.
“Apabila ada masa lapang saya akan mengajar anak-anak muda bermain muzik termasuklah yang datang ke bengkel saya ini. Kalau tidak saya yang akan pergi ke sekolah mereka.
“Semua itu saya lakukan kerana mahu memperturunkan ilmu dalam bidang ini dan juga atas kecintaan saya terhadap muzik,” jelasnya.
Pada masa sama Bengkel Seni itu turut menawarkan sesi pengajaran lagu-lagu Melayu asli di bawah bimbingannya dengan kadar bayaran RM39 sejam bagi sebuah kumpulan muzik.
Samsudin kini dalam proses menghasilkan album terbarunya dengan empat buah lagu antaranya berjudul Pengantin Datang dan Putrajaya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: