Saturday, April 9, 2011

Aiskrim sumber ilham Ainul


AINUL Aishah peruntukan masa sekurang-kurangnya tiga jam untuk menggubah lagu.


Kegemarannya bermain gitar dan menghasilkan lagu sendiri antara hobinya sejak belasan tahun lagi.

Di samping menghabiskan masa di premis perniagaan aiskrim Tutti Frutti yang terletak di Bandar Baru Bangi, dia yang mesra disapa sebagai Ain itu akan mencipta beberapa buah lagu sebagai koleksi simpanannya.

Menurut Ain, sekurang-kurangnya, dia akan menghasilkan sebuah lagu jika pelanggan di kedainya tidak ramai terutama pada waktu tengah hari.

"Inilah aktiviti yang sering saya lakukan jikalau mempunyai masa lapang. Selain sibuk membantu ibu bapa saya menguruskan perniagaan, saya juga akan mencipta lagu di sini.

"Sambil makan aiskrim, saya akan petik gitar kapok saya untuk menghasilkan melodi yang diinginkan.

"Ia sesuatu yang cukup mengujakan saya apabila dua perkara yang saya minati iaitu makan aiskrim dan menggubah lagu dilakukan serentak," kata Ain yang popular dengan lagu Don't Worry Honey itu.

Bagaimanapun, menurut Ain, lazimnya, jumlah pelanggan kurang pada waktu tengah hari.

"Selalunya, saya akan peruntukkan dua atau tiga jam untuk menyiapkan sebuah lagu.

"Sekiranya saya sedang sedih, proses gubahan lagu itu lebih cepat kerana ia adalah masa yang amat sesuai," katanya yang cenderung menghasilkan lagu cinta berbahasa Inggeris.

Namun menurut Ain, dia bukanlah seorang pemain gitar yang baik. Disebabkan itu, gubahan muzik yang diciptanya adalah untuk simpanannya sendiri dan bukannya untuk dinyanyikan secara profesional.

"Dalam 10 ciptaan saya, hanya beberapa lagu yang saya akan nyanyikan kepada orang lain jika saya rasakan ia berkualiti.

"Selebihnya saya akan simpan. Jika ada masa, saya akan dengar semula dan cuba perbaiki supaya ia jadi lebih menarik," tambah pelakon siri Begitukah Cinta itu.

Tambah Ain, penguasaan bahasa ibunda yang lemah membuatkannya kekok untuk menghasilkan lagu dalam bahasa Melayu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: