![]() |
| YOON Eun Hye memegang watak tomboy dalam 1st Shop of Coffee Prince. |
Sebagai Do Hyun, peguam yang sanggup berbuat apa sahaja untuk berjaya dalam kariernya, Jang Hyuk tampil segak dan mewah serta yang pastinya bersih. Ini berbeza dengan wajah kasar dan selekeh ketika melakonkan watak Dae Gil dalam Chuno, malah pernah dilaporkan dia sanggup tidak mandi selama seminggu untuk kekal dalam karakter sebagai pemburu hamba.
Jika dalam Successful Story of A Bright Girl, lakonannya sebagai tuan muda tidak matang dibayangi heroinnya Jang Nara, namun dalam Chuno - Jang Hyuk cukup menjiwai watak Dae Gil sehinggakan penonton dapat merasai kekecewaan dan perasaan cinta yang dipendamnya.
Mengubah wajah dan penampilan untuk filem atau drama bagaikan satu kemestian bagi pelakon Korea.
Selain Jang Hyuk, artis paling mahal, Yoon Eun Hye juga berubah wajah dalam setiap drama yang dibintanginya.
Nampak manis dan nakal dalam Princess Hours, dia bertukar menjadi seorang tomboy dengan rambut pendek tanpa mekap ketika melakonkan watak Goh Eun Chan dalam 1st Shop of Coffee Prince, sebelum berubah gemerlap dengan pakaian dan aksesori sarat berjenama sebagai anak gadis hartawan angkuh dalam My Fair Lady.
Artis tinggi lampai, Han Eun Jung yang tampil bergaya sebagai pereka fesyen dalam drama popular Full House misalnya sanggup berwajah garang dengan taring dan mata merah dalam Revenge of The Gumiho.
Pokoknya mereka sanggup bermati-matian untuk menyesuaikan penampilan diri dengan watak yang dibawa. Justeru hampir tidak mungkin kita lihat artisnya tampil cantik jika melakonkan watak gadis kampung yang miskin.
Masing-masing mahu mencabar diri dengan melakonkan watak yang lain daripada diri mereka sendiri di luar layar.
Namun menjadi pelakon berkarakter juga ada buruknya kerana watak seterusnya akan menjadi lebih sukar dan mencabar. Ini kerana, penonton akan membandingkan dengan gaya lakonan dan penampilan hebat dalam karya sebelumnya.
Jang Hyuk misalnya, selepas tampil hebat dengan karakter Dae Gil yang agak berlebih-lebihan, penonton merasakan dia tidak cukup melakonkan watak seorang peguam dalam Midas. Apabila Do Hyun berkeras dalam Midas, penonton melihat Dae Gil si pemburu hamba dalam karakternya.
Hakikatnya, menjadi pelakon mungkin mudah namun bukan semua yang mampu tampil sebagai pelakon berwatak!

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: