Friday, November 5, 2010

UUM lahirkan 91 graduan Ph.D


Dr. Mohamed Mustafa Ishak (dua dari kanan) bersama pegurusan kanan universiti menunjukkan risalah promosi Pesta Konvo UUM Ke-23 di Alor Setar, Kedah, semalam.


ALOR SETAR 28 Okt. - Universiti Utara Malaysia (UUM) mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya melahirkan seramai 91 graduan Doktor Falsafah (Ph.D) pada tahun ini yang merupakan peningkatan enam kali ganda berbanding tahun lalu.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, peningkatan itu adalah sumbangan universiti berkenaan bagi menjayakan hasrat kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melahirkan lebih ramai graduan Ph.D termasuk menerusi program MyBrain15.

"Pencapaian itu membanggakan kerana hanya 15 graduan Ph.D dilahirkan pada tahun lalu dan graduan sarjana juga mencatatkan kenaikan sebanyak 50 peratus berbanding 897 orang pada tahun lalu," katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Konvokesyen Ke-23, Sidang Kedua yang akan berlangsung pada 31 Oktober hingga 2 November ini di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor UUM (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Rosna Awang Hashim; Timbalan Naib Canselor UUM (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Abdul Razak Saleh dan Pengarah Jabatan Canselori UUM, Baharudin Yaacob.

Beliau memberitahu, dalam konvokesyen kali ini, UUM juga akan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Kerja Sosial) kepada puteri Sultan Kedah, Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

"Anugerah tersebut berdasarkan sumbangan beliau dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kerja-kerja sosial dan kebajikan," katanya.

Menurutnya, sepanjang majlis konvokesyen tersebut, pelbagai acara lain turut diadakan menerusi penganjuran Pesta Konvokesyen yang bermula pada 29 Oktober dari pukul 9 pagi hingga 11 malam di Tapak Ekspo, Padang Kawad Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) UUM dan sekitar universiti itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: