Friday, November 5, 2010

Saintis gigih cipta paparan video 3D


Satu babak dalam filem Star Wars terbitan 1977 memaparkan teknologi 3D yang giat diusahakan oleh saintis hari ini.


NEW YORK 4 Nov. – Saintis telah mengambil langkah besar ke arah paparan video secara langsung dalam format tiga dimensi (3D), satu teknologi yang jauh mendahului filem-filem 3D dan babak filem ‘Star Wars’, semasa imej bayangan Princess Leia meminta tolong kepada Obi-Wan Kenobi.

Dalam filem klasik tersebut, penonton menyaksikan bahagian belakang imej Princess Leia sebelum sebuah kamera daripada pandangan depan menunjukkan wajahnya. Babak pandangan imej bergerak itu hanyalah satu fantasi teknik bagi filem pada 1977 itu, tetapi kini?

“Ia sebenarnya semakin hampir menjadi kenyataan. Kami telah membuktikan konsep itu berhasil. Ia bukan lagi suatu sains fiksyen,” kata Nasser Peyghambarian dari Universiti Arizona.

Sebenarnya, keputusan yang disiarkan di jurnal Nature pada Khamis lalu itu, lebih kelihatan seperti persembahan slaid berbanding video.

Dalam eksperimen yang dijalankan, teknologi itu hanya memaparkan satu imej baru setiap dua saat. Keadaan itu hanya satu per 60 saat laju seperti yang dilakukan sistem untuk menerbitkan video sebenar.

Sebagai tambahan, imej tersebut hanya membenarkan sudut pandangan dalam julat 45 darjah berdasarkan cara eksperimen dijalankan. Para penyelidik sedang berusaha memberikan pandangan penuh 360 darjah.

Peyghambarian dan kumpulan penyelidik sebenarnya berharap untuk mencipta skrin video 3D yang boleh ditonton di ruang-ruang tamu dalam tempoh 10 tahun lagi. Teknologi itu tidak memerlukan pengguna memakai cermin 3D bagi menikmati tontonan.

Selain untuk tujuan hiburan, Peyghambarian berkata, teknologi itu juga membolehkan para doktor di seluruh dunia bekerjasama dalam menjalankan pembedahan secara langsung.

Jika skrin tersebut diletakkan pada permukaan rata di atas meja, mereka boleh melihat dengan pandangan 360 darjah, sama seperti melihat seorang pesakit baring di depan mata.

Tambah Peyghambarian, video secara langsung 3D boleh digunakan dalam penerbitan iklan-iklan yang menarik di kompleks membeli-belah selain boleh membantu melatih tentera.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: