Monday, November 29, 2010

Kereta dipandu dibaling batu

BERBAKAT...Wan fokus pada lakonan.
BERBAKAT...Wan fokus pada lakonan.

BARU setahun bergelar janda, pelakon yang dikenali dalam drama Tari Tirana, Wan Sharmila Wan Mohamed, 29, mula merasai keperitannya.

Jika dulu dia ada suami untuk tempat bergantung, tetapi kini semuanya perlu dilakukan sendiri.

  • Foto

    MANTAP...Wan dan Shahz Jazlee dalam drama Tari Tirana.

  • Foto

    WAN...tawaran berlakon bertali arus.

Akuinya, sejak bercerai, terpaksa belajar hidup berdikari dan ini begitu sukar dirasakannya kerana sebelum ini sudah biasa hidup berumah tangga.

“Memang ada masalah sedikit bila kita hidup sendiri. Sebelum ini, ke mana-mana lokasi penggambaran memang suami yang menghantar saya. Kini saya memandu sendiri ke lokasi dan tidak ditemani sesiapa.“Masalahnya saya fobia memandu kereta sendirian sekarang. Semuanya bermula apabila saya terbabit dalam satu insiden di jalan raya lebih sebulan lalu.


“Saya masih ingat lagi ketika itu saya memandu jam 4 pagi untuk ke lokasi penggambaran drama bersiri Dendam Maya. Drama arahan Bade Azmi untuk Astro ini menjalani penggambaran di sekitar Kuala Selangor.

“Saya memang pergi lebih awal ke lokasi kerana saya bimbang sesat dan tidak berjumpa dengan tempat itu. Ketika saya memandu di kawasan hutan yang sunyi menjelang solat Subuh, saya ternampak ada lori yang memberi isyarat dengan lampu suluh. Saya hanya memperlahankan kereta apabila melihat isyarat lampu itu.

“Tiba-tiba saya ternampak sekumpulan lelaki (lebih dari empat orang) yang tidak dikenali menghampiri kereta. Saya lihat ada orang baling batu dan terkena kereta saya,” katanya.

Wan Sharmila yang mesra disapa Wan berkata, ketika itu, apa yang terus terlintas di fikirannya ialah pembunuhan kejam ahli perniagaan terkenal, Datuk Sosilawati Lawiya di mana mayatnya dibakar dalam ladang kelapa sawit dan abunya dibuang ke sungai.

“Saya pun terus memecut kereta dengan laju kerana bimbang akan berlaku kejadian tidak diingini yang boleh mengancam keselamatan saya.

“Saya menangis apabila mengenangkan nasib diri dan tubuh pun menggigil ketika itu. Saya pun terus memandu menuju ke kawasan masjid berhampiran untuk menenangkan fikiran.

“Terus-terang, saya berasa fobia untuk memandu kereta sendirian di kawasan sunyi seperti itu pada waktu malam. Barulah saya sedar betapa sukarnya hidup tanpa suami di sisi,” katanya.

Wan dan bekas suaminya, penerbit Radius One Sdn Bhd, Fazli Baharom, 38, sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Johor Bahru pada 23 Oktober 2009.

Perkahwinan dibina selama tiga tahun, tidak dikurniakan cahaya mata.

Kata Wan, hubungannya dengan bekas suami masih baik sampai sekarang kerana mereka berpisah secara baik.

“Saya dapat tahu bekas suami juga belum bertemu pengganti lagi. Saya juga tidak terfikir untuk kami berbaik semula kerana kami memang ditakdirkan untuk menjadi kawan saja.

“Saya juga bebas untuk berkawan dengan siapa yang saya suka begitu juga dengannya. Kalau boleh, saya tidak mahu mencari calon suami bukan daripada kalangan artis,” katanya.

Akui Wan, dia masih belum bertemu pengganti untuk mengisi kekosongan hidupnya. Apabila berkawan dengan seseorang, hatinya masih berasa takut jika orang itu benar-benar serius atau tidak hendak berkahwin dengannya.

“Mungkin sebab saya bimbang pisang berbuah dua kali. Apapun, saya memang sudah bersedia hendak kahwin lagi kerana memikirkan usia yang akan mencecah 30 tahun pada tahun depan,” katanya.

Wan Sharmila sibuk berlakon

MENGENAI perkembangan karier seni pula, Wan yang sudah tiga tahun berlakon mengakui tawaran berlakon tidak pernah putus sejak dia bercerai.

“Saya bersyukur kerana orang masih beri kepercayaan sampai sekarang. Sebenarnya, bukan saya yang hendak tampil dengan imej seksi dalam drama sebaliknya pengarah yang minta saya tampil dengan imej seperti itu. Kalau boleh saya tidak mahu tampil seksi sangat,” katanya.

lakonan terbarunya dapat disaksikan melalui telefilem Aku, Kau, dan Dia untuk TV9.

Katanya, siri itu mencabar dirinya kerana ceritanya mengisahkan cinta tiga segi antara Borhan, Ayu dan Fariz. Telefilem arahan M Hitler ini turut dibintangi Wan Elyas dan Ryzal Jaffar.

“Cabarannya ialah saya perlu bawa watak Ayu yang berusia 17 tahun. Saya perlu patah balik ke zaman 10 tahun lalu dan menjadi budak sekolah.

“Bagi menunjukkan imej budak sekolah, saya pastikan aspek penampilan dari segi pakaian. Pengarah drama ini juga beritahu saya tidak perlu buat-buat untuk menjadi budak sekolah dan hanya menjadi diri sendiri. Mungkin kerana fizikal saya yang kecil saya mudah untuk nampak seperti budak sekolah,” katanya.

Selain itu, kata Wan, wataknya dalam telefilem Teh O Ais Limau arahan Along Kamaludin juga memberi pengalaman berbeza buatnya.

Teh O Ais Limau menceritakan remaja iaitu Nurul yang bekerja di kedai DVD. Nurul menunggu keputusan STPM dan bercita-cita melanjutkan pelajaran di universiti.

Kamal dan Nurul sering berjumpa di kedai Rahman dan kebetulan pula minuman kesukaan mereka adalah Teh O Ais Limau. Telefilem komedi ini dibintangi Zul Huzaimy, Almy Nadia, Roy Azman dan Zaryn Min.

Drama lakonannya, Tipah Vavavoom pula disiarkan di Slot Senda pagi di TV3.
Sharmila juga menjadi pengacara program dokumentari klik Klik Asean untuk RTM.

PROFIL
NAMA PENUH: Wan Sharmila Wan Mohamed
NAMA KOMERSIAL: Wan Sharmila
TARIKH LAHIR: 12 Oktober 1981
UMUR: 29 tahun
ASAL: Johor Bahru, Johor
KERJAYA: Pelakon dan pengacara
STATUS: Janda
DRAMA BERSIRI: Riang Tirana, Sindarela, Kisah Kaisara 1 & 2, Tipah Vavavoom, Emil Emilda, Bujang Antik, Sutun, Kembali Lagi, Rona Roni Makaroni, Rebab Tak Bertali, Dendam Maya

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: