Tuesday, November 30, 2010

Tiga pengedar dadah tumpas di parkir pusat beli-belah

RAMPAS...Pegawai Penyiasat Narkotik IPD Dang Wangi, Inspektor Nur Rafida Mustapah menunjukkan dadah yang dirampas.
RAMPAS...Pegawai Penyiasat Narkotik IPD Dang Wangi, Inspektor Nur Rafida Mustapah menunjukkan dadah yang dirampas.

KUALA LUMPUR: Tiga pengedar dadah tidak sempat menyerahkan bekalan dadah dibawa kepada pelanggan apabila kegiatan mereka dihidu sebelum dicekup polis di kawasan letak kereta sebuah pusat membeli-belah terkemuka di sini, Khamis lalu.

Kegiatan jenayah itu terbongkar dalam serbuan khas dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Dang Wangi, kira-kira jam 7 petang.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh, berkata berdasarkan hasil maklumat awam, pihaknya menyerbu sebuah Perodua Myvi berwarna hitam di kawasan letak kereta kompleks membeli-belah itu untuk pemeriksaan lanjut.

“Sejurus diserbu, kami menahan tiga lelaki berusia 26 hingga 40 tahun yang menyatakan mereka hanya melepak di dalam kereta berkenaan.“Hasil pemeriksaan di bahagian penumpang menemui 10,000 pil Eramin 5, 50 pil Ecstasy, tujuh peket syabu seberat sembilan gram dan satu peket ganja seberat satu gram disorokkan dalam kotak bijirin.


“Mengikut harga pasaran, nilai dadah itu kira-kira RM165,000 dan ia dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, semalam.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek terbabit masing-masing bekerja sebagai eksekutif pemasaran, jurujual dan pemandu bas itu direman tujuh hari sehingga lusa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

“Polis turut menjalankan ujian saringan air kencing terhadap ketiga-tiga suspek dan mendapati mereka positif dadah syabu, malah seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau atas kesalahan mengambil dadah,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat pembabitan tiga lelaki berkenaan dengan rangkaian sindiket pengedaran dadah yang bergiat aktif sekitar Lembah Klang sejak enam bulan lalu.

“Polis tidak menolak kemungkinan bekalan dadah berkenaan untuk pasaran pusat hiburan di Lembah Klang,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: