Tuesday, November 30, 2010

Ibu rentung

REMUK...kereta yang terbabit kemalangan, semalam.
REMUK...kereta yang terbabit kemalangan, semalam.
TUTUP...mayat mangsa dibawa ke HTAA.
TUTUP...mayat mangsa dibawa ke HTAA.

KUANTAN: Kegembiraan seorang ibu untuk menyambut menantu berakhir tragedi menyayat hati apabila dia rentung selepas terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan pulang selepas mengedar kad kahwin anak perempuannya yang dijadualkan berlangsung pada 11 Disember ini.

Dalam kejadian jam 1.45 tengah hari di Kilometer 35, Jalan Kuantan-Kemaman, di sini, semalam, mangsa, Senik Osman, 69, rentung selepas kereta Proton Iswara dinaiki bersama suaminya, Abdul Ghani Ahmad, 72, dirempuh sebuah Toyota Vios dipandu seorang lelaki, Patrick Chai Yew Fai, 22.


Mangsa yang berasal dari Bukit Kuin, di sini, tidak sempat diselamatkan apabila kenderaan mereka terbakar selepas dirempuh kereta dipandu Patrick yang berasal dari Kubang Buaya, di sini.

Suami mangsa yang juga seorang mekanik dan Patrick dilaporkan parah dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.


Difahamkan, pasangan warga emas berkenaan dalam perjalanan pulang dari Kemaman selepas mengedarkan kad undangan perkahwinan anak keempat mereka, Fauziah Abd Ghani, 30, yang dijadualkan berlangsung bulan depan di rumah mereka kepada saudara-mara di Kemaman.


Adik mangsa, Mohamad Abdul Rahman, berkata kakaknya keluar dari rumah kira-kira jam 8 pagi semalam dan tidak menunjukkan sebarang tanda pelik.Katanya, kakaknya gembira kerana Fauziah akan melangsungkan perkahwinan dan segala persiapan untuk menyambut ‘orang baru’ dalam keluarga berjalan lancar.


“Saya sedih apabila mengenangkan peristiwa ini. Kali terakhir saya berbual dengannya kira-kira jam 12 tengah hari tadi (semalam) dan dimaklumkan mereka berdua dalam perjalanan balik ke rumah.

“Dia hanya memaklumkan sudah mengedarkan kad undangan itu di sana (Kemaman),” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkifli Taha, berkata siasatan awal mendapati kereta Vios dipandu Patrick dalam perjalanan dari Kuantan ke Kemaman cuba memotong sebuah kenderaan di depannya sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung kereta dipandu Abdul Ghani.


Katanya, akibat pertembungan itu, pemandu kereta Proton Iswara yang parah sempat keluar dari kenderaan, namun seorang lagi penumpang di tempat duduk depan dipercayai tersepit gagal keluar sebelum kenderaan itu terbakar.


“Mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.


Menurutnya, sepasukan anggota daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Gebeng, dekat sini, tiba di tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran sebelum mayat Senik dikeluarkan dan dihantar ke bilik mayat HTAA.


Zulkifli berkata, kedua-dua mangsa yang parah dihantar ke HTAA untuk rawatan dan siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: