Tuesday, November 30, 2010

Rahsia kebahagiaan Lisdawati, Fauzi




KISAH keretakan rumah tangga atau penceraian di kalangan artis sudah menjadi lumrah dalam industri hiburan tempatan. Lebih buruk lagi, terdapat juga artis yang berpisah dengan pasangan meskipun usia perkahwinan boleh dikatakan masih baru lagi.

Bagaimanapun, bagi pasangan Fauzi Nawawi dan Lisdawati, situasi yang berlaku itu nyata tidak pernah menghantui kehidupan mereka sebagai pasangan suami isteri yang menjalani kehidupan bahagia di samping dua orang cahaya mata.

Biarpun ada beberapa gosip pernah melanda pasangan berkenaan sebelum ini, namun ia langsung tidak menjejaskan keutuhan rumah tangga yang telah dibina atas dasar cinta sejak tiga tahun yang lalu.

Menurut Lisdawati, dalam menjalani kehidupan berumah tangga, setiap pasangan perlu bijak dalam menyelesaikan sesuatu masalah dan tidak memperbesarkan sesuatu hal yang remeh.

“Mustahil kalau tidak berlaku perselisihan faham dalam kehidupan berumah tangga. Sekiranya timbul sebarang masalah, saya dan suami biasanya akan duduk berbincang dan selesaikannya dengan sebaik mungkin.

“Pada kami, itu adalah langkah yang terbaik daripada terus menyalahkan diri masing-masing. Selain itu, kami juga tidak sesekali memperbesarkan perkara remeh yang boleh menjadi perselisihan yang lebih besar,” ujarnya.


MAJLIS kesyukuran sempena rumah baru dilakukan serentak dengan majlis potong jambul.


Sepanjang berkahwin selama tiga tahun sejak 2007, Lisdawati dan Fauzi telah dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan iaitu Nur Aini Farhana dan Nur Aina Faznesya yang masing-masing berusia dua tahun dan setahun.

Ujarnya lagi, apa yang paling penting dalam melayari kehidupan berumah tangga adalah mengamalkan sikap bertolak ansur. Malah, dia sangat bersyukur kerana Fauzi bukan jenis suami yang terlalu mengongkong memandangkan kerjaya masing-masing sebagai pelakon.

“Fauzi seorang ayah yang cukup tegas terhadap anak-anak kerana tidak mahu mereka menjadi terlalu manja. Namun, dia sebenarnya seorang lelaki yang sangat penyayang dan kelakar,” ujarnya lagi.

Pada masa yang sama, Lisdawati juga turut menasihati pasangan artis yang baru berkahwin supaya menanamkan sifat kepercayaan terhadap pasangan masing-masing dan tidak terburu-buru dalam membuat sebarang keputusan.

Rumah Baru

Melalui hasil titik peluh mereka selama ini dalam bidang lakonan, kini hasrat untuk memiliki dan menetap di rumah sendiri akhirnya tercapai setelah berhasil membeli sebuah rumah yang terletak di Sunway Cheras.

Menurut Lisdawati, dia dan suami sebenarnya sudah merancang untuk membeli rumah ketika mula-mula berkahwin dahulu. Kemudian mereka membuat simpanan selama tiga tahun sebelum berhasil memiliki rumah yang dikatakan berharga RM500,000.

“Mula-mula kami mahu menyewa rumah sahaja, tetapi bila difikirkan semula adalah lebih baik wang sewaan itu dikumpulkan untuk membeli rumah sendiri. Lalu kami ambil keputusan untuk menetap sahaja di rumah ibu saya di samping membuat simpanan.


FAUZI dan Lisda bahagia di samping dua cahayamata mereka, Nur Aini Farhana dan Nur Aina Faznesya.


“Pada masa yang sama, kami telah membuat tinjauan di beberapa buah kawasan perumahan seperti di Ampang dan Setapak. Namun akhirnya kami bersetuju untuk membeli rumah di sini,” ujarnya.

Tambah Lisdawati lagi, mereka sepakat untuk membeli rumah berkenaan berdasarkan kepada kawasannya yang agak strategik serta mahukan sebuah tempat yang tenang dan jauh daripada hiruk-pikuk kesibukan kota.

Mengenai majlis yang dianjurkan pada Hari Raya Aidiladha baru-baru, Lisdawati menjelaskan ia adalah sebuah majlis kenduri kesyukuran sempena menetap di rumah baru.

Biarpun sudah empat bulan mereka menetap di situ, namun disebabkan kesibukan, mereka tidak sempat untuk membuat sebarang kenduri sebelum ini.

“Pada sebelah petang selepas solat Asar, suami menjemput jemaah surau di situ untuk majlis kenduri kesyukuran. Pada malamnya pula diadakan acara berzanji dan majlis potong jambul anak-anak kami,” ujarnya.

1 comment:

  1. Semoga mereka berkekalan begini, cuma jangan terlalu banyak publisiti tentang kebahagian dan kemesraan rumahtangga mereka, akan ada pihak lain yang akan ambil kesempatan. Kita taknak seperti mana berlaku ke atas pasangan Nurul dan Ajai. Dugaan berumahtangga masih banyak yg perlu ditempuhi

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: