Monday, November 29, 2010

Maya kagumi Remy

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Aktres simpan hasrat berduet satu album dengan Lelaki Melayu Terakhir

RISIKO berlakon bersama yang sering dilalui pelakon terutama sebagai watak hero dan heroin ialah kemungkinan untuk terjebak dalam cinta lokasi. Atau pendeknya ‘cinlok’. Benar atau tidak, kepastiannya hanya yang empunya diri saja tahu setiap inci kebenarannya. Sedangkan orang luar bebas meletakkan persepsi dan menjatuhkan hukuman terhadap itu dan ini.Gandingan serasi yang dilabel perkara sama ialah dua nama besar yang sedang pantas mencipta kredibiliti tersendiri di arena seni iaitu Maya Karin dan Remy Ishak. Ia kononnya dihidu sewaktu mereka buat pertama kali digandingkan dalam teater Natrah arahan Erma Fatima hujung tahun lalu yang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya.
Teater yang mendapat sambutan hebat termasuk dihimpit kontroversi itu sedikit sebanyak memberi tempias kepada sisi hubungan baik Maya dan Remy. Keakraban jelas tidak boleh diselindungi lagi. Kronologi seterusnya, Remy juga menyertai syarikat pengurusan Satu Entertainment yang disertai Maya.

Ironinya, sebelum Natrah, mereka pernah berlakon sama dalam filem Anak Halal arahan Osman Ali beberapa tahun dulu. Namun tiada watak intim atau romantik membabitkan mereka. Sejurus selesai memberi komitmen terhadap teater terbabit, mereka sekali lagi dipertemukan pengarah yang sama menerusi filem Cun yang dijangka tayangannya pada tahun depan.

Sejak 25 November lalu hingga 5 Disember depan, jodoh kembali menyatukan mereka bagi pementasan Natrah untuk musim kedua. Ia dipentaskan di lokasi sama.
‘Cinta lokasi’ antara mereka menerusi Natrah 2 bertaut semula atas paksi sebuah persembahan teater. Cinta di alam realiti bagaimana pula? Klise bunyinya. Masing-masing sudah pun berkali-kali menafikannya.
“Sepatutnya ada satu filem yang menyatukan kami lagi. Bagaimanapun, ia masih bergantung sampai sekarang. Lalu, jalan terbaik, masing-masing meneruskan projek lain yang ditawarkan,” kata Maya yang menekankan dirinya masih belum bertemu pengganti ketika B*POP bertemunya di Istana Budaya ketika sesi fotografi bersama Remy.

Keserasian antara mereka memang tiada syak lagi. Buktinya, jelas kelihatan ketika fotografi ini dijalankan. Masing-masing tidak kekok berpandangan sesama sendiri sekali gus memberi mood yang diingini B*POP. Sekali pandang, macam pasangan kekasih. Kata duta L’oreal itu, keserasian dan ion positif yang pernah mengalir sebelum ini dipanjangkan lagi buat kesekian kalinya demi tuntutan watak teater Natrah 2.

“Soal keserasian itu bukan sesuatu yang dibuat-buat. Adakalanya ia sukar untuk dijelaskan dengan perkataan. Bayangkan sepanjang tempoh berlatih, kami perlu meletakkan tembok atau jurang ke tepi demi memberi kelancaran terhadap watak yang dipegang. Dalam teater ini, babak saya memang banyak dengan Remy dan Umie Aida.

“Dulu masa Natrah musim pertama, kami memang rapat. Selesai Natrah dan Cun, kami seperti membawa haluan masing-masing. Bayangkan sebelum bersambung untuk Natrah kali ini, ada masanya kami tak jumpa langsung dalam dua tiga bulan. Sekarang, hampir setiap hari bersua. Bila putus hubungan, nak tanyakan sudah makan atau minum pun tak sempat.

“Tapi sekalipun sudah lama tak bersua, persahabatan kami masih mekar. Apabila dapat bertemu kembali masih tetap OK.... malah ada orang yang hari-hari jumpa pun masih janggal saat bersua. Remy boleh dikatakan antara hero pujaan saya dan saya selesa berlakon dengannya,” kata Maya sambil memberitahu dia juga pantas mencipta keserasian dengan Rusdi Ramli dan Aaron Aaziz (gandingannya dalam filem Ombak Rindu).

Perbualan dengan Maya pagi itu turut menyelami persepsinya terhadap jejaka kegilaan ramai itu yang pernah diberi jolokan sebagai Lelaki Malaya Terakhir oleh Erma Fatima sendiri. Sambil berseloroh, Maya juga tidak menolak peluang andai suatu hari nanti, dia dan Remy berduet dalam lagu pula. Umum pastinya tahu, bakat Remy sebagai penyanyi turut mendapat pujian komposer popular.

“Kalau ada ruang sebegitu, kenapa tidak kami mencubanya. Kena pada lagu yang sedap, siapa tahu kolaborasi kami boleh menarik perhatian ramai. Sebagai rakan seperjuangan, saya sendiri yakin dengan bakat Remy. Bakatnya luar biasa dan perjalanan seninya masih jauh. Dia juga mampu terbang tinggi jika kena pada gayanya. Ada lagi aspek yang boleh ditonjolkannya.

“Mengenalinya secara peribadi, dia boleh saya katakan seorang yang rumit. Kadang-kadang terlebih serius dalam bekerja. Kadang-kadang terlalu tekun bekerja hingga mengabaikan soal makan, minum, persekitaran dan kawan. Sampai angkat telefon pun susah jadinya. Tetapi secara keseluruhannya, dia seorang lelaki jujur lagi baik,” kata Maya yang kembali mewarnakan rambutnya dengan warna coklat keperangan.

'Terima jika Maya jodoh saya'

BERALIH cerita kepada Remy, berbanding Maya yang sudah hampir sedekad meneruskan legasi seninya, Remy pula bakal menginjak tahun kelima pembabitan seninya menjelang tahun depan. Sepanjang tempoh pembabitan seni mereka, masing-masing juga pernah mencipta nama menerusi pengiktirafan menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).

Adat bergelar selebriti, kebiasaannya sering menjadi tumpuan diserang gosip dan kontroversi. Remy sendiri akui, dia semakin cuba membiasakan diri dengan elemen itu kerana semuanya terjadi tanpa diundang. Begitu juga gosipnya dikatakan bercinta, tidak langsung menjadi ancaman atau penghalang baginya meneruskan kerjaya termasuk melunaskan komitmen teater Natrah 2.

“Sejujurnya, Remy tidak terlalu memikirkan gosip. Tak ambil berat sangat hal sebegitu. Soal itu diletak ke tepi. Sebab jika terlalu difikirkan, ia pada akhirnya berkesudahan dengan memberi masalah pada diri sendiri. Remy lebih senang mengekalkan situasi bekerja dan profesional. Apa yang penting, keserasian antara Maya semakin baik di dalam teater Natrah.

“Banyak cara boleh kita lakukan untuk memastikan keserasian itu berada di posisinya. Di luar bidang kerjaya, kami masih mencuri peluang untuk berjumpa dan lepak bersama. Itupun kalau masing-masing tak sibuk. Remy memang tak nafikan baik dengan Maya. Ukhuwah itu berjalan lancar. Rapat itu juga tidak semestinya kami bercinta.

“Tapi bab cinta atau jodoh dengan Maya atau sekalipun dengan mana-mana wanita lain, bukan kuasa Remy untuk menentukan. Kalau ditakdirkan suatu hari nanti bertemu jodoh dengan Maya, Remy terima ketentuan-Nya. Yang jelas, keserasian yang terjalin antara pelakon menjadi nilai tambah atau tarikan untuk penggiat seni ‘mengambil kesempatan’ memberi tawaran berlakon,” kata duta jenama Dashing itu.

Ditanya lanjut mengenai Maya, dia yang bakal ke set penggambaran filem Bara Jiwa (asalnya judul Akuarium Cinta) arahan Osman Ali mulai 12 Disember ini berkata, Aktres Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-49 itu cukup sempurna sebagai wanita dambaan lelaki. Kata Remy lagi, wanita bermata cantik itu mempunyai kriteria yang dicari ramai lelaki di luar sana.

“Bukan saja luaran, peribadi (dalaman) dia juga sangat baik. Apa yang boleh saya katakan lagi, dia mempunyai sedikit sifat keanak-anakan. Bukan di tahap gedik atau menggelitis tetapi boleh dianggap manis. Ia tak dibuat-buat. Susah sebenarnya Remy nak terangkan. Ia terjadi secara spontan malah tidak disedari langsung empunya badan,” katanya yang turut menantikan tayangan filem Nur Kasih.

Kebelakangan ini, nama Remy juga mula dilabel sebagai seorang playboy. Selepas dikaitkan dengan Ummi Nazeera dan Maya Karin, nama teman seperjuangannya, Tiz Zaqyah pula mula dikaitkan dengannya. Gelaran itu tidak langsung membuatkan Remy melenting, sebaliknya dia tidak melayan sangat tuduhan negatif itu. Akui Remy, dia bebas berkawan dengan sesiapa dan itu tidak bererti dirinya dengan mudah dikelaskan sebagai playboy.

“Buat masa ini, Remy selesa berkawan dengan Maya, hal sama juga jadinya dengan Tiz. Bagi Remy... itu perkara biasa, jika hubungan baik di set penggambaran dipanjangkan ke alam realiti. Tak kiralah pelakon lelaki atau perempuan, Remy tak nafikan hubungan itu secara automatik terbawa-bawa hingga ke luar set penggambaran. Tak bermakna bila habis penggambaran bererti hubungan dengan pelakon yang terbabit turut berakhir.

“Tapi biasalah, dalam dunia hiburan ini, yang sering menjadi perhatian dan cakap-cakap orang, apabila ia membabitkan hubungan dengan artis perempuan. Ia berpanjangan menjadi gosip yang ada kalanya membebankan kepala otak. Ikutkan, Remy rapat juga dengan pelakon seperti Bront Palarae, Farid Kamil, Ady Putra dan pelakon drama Arjuna. Tapi biasalah kalau dengan artis lelaki ia tidak diperbesarkan,” ungkapnya.

Menarik Maya Karin

• Pandangannya terhadap skeptikal kepada seseorang bergelar janda, Maya akui menerusi pengamatan dan pemerhatian, dia tidak terlalu tertekan mengenai status dirinya. Ia dilalui dengan hati terbuka dan menganggapnya seperti penukaran fasa hidup yang terpaksa ditelan.

• Mengenai Natrah 2, Maya semakin merasai emosi yang pernah ditanggung watak Natrah. Roh Natrah seakan sudah menyerap ke dalam dirinya. Pementasan kali ini membuatkan Maya lebih mendalami wataknya.

• Dalam perkembangan lain, Maya juga teruja menantikan kehadiran album ketiganya yang kini sudah 80 peratus siap. Berkonsepkan pop progresif, pembikinan album itu bermula sejak dua tahun setengah yang lalu. Kali terakhir Maya muncul dengan album ialah pada 2003. Lapan lagu sudah siap dan dijangka 10 lagu bakal dimuatkan dalam album terbarunya. Antara komposer yang terbabit ialah Audi Mok, Azlan & The Typewriter dan Omar K.

• Selepas mengacarakan Nona, Maya kini difahamkan sedang menunggu lampu hijau untuk mengacarakan program berkaitan Alam Sekitar. Bagaimanapun semuanya masih dalam peringkat perancangan.

Menarik mengenai Remy Ishak

• Remy akui sebenarnya sukar menjadi pelakon. Baginya, tugas sebagai pelakon ialah menjual jiwa dan perasaan demi melahirkan mood terbaik seperti yang diingini pengarah untuk dikongsi dengan penonton.

• Sebagai manusia biasa, Remy tidak mampu menghalang pandangan sesetengah orang yang pantas melabelkan dia bercinta dengan si polan itu atau ini biarpun ia tak lebih sekadar berkawan.

• Dalam Natrah 2, Remy membawakan watak sebagai Mansor Adabi

• Akui Remy, tidak banyak perubahan dilakukan dalam pementasan teater Natrah 2. Perkembangan watak sama saja seperti terdahulu, cuma pengisian dalaman terhadap watak boleh dicantikkan lagi. Pengalaman lalu banyak mengajarnya.

  • Tiket menyaksikan Natrah 2 boleh dibeli pada harga RM30, RM50, RM70, RM100 atau RM150. Untuk pertanyaan, hubungi box-office (03-40265558) atau layari www.ticket2u.biz atau www.istanabudaya.gov.my.


    Info Maya Karin

    NAMA PENUH: Maya Karin Roelcke
    TARIKH LAHIR: 29 Oktober 1979
    TEMPAT LAHIR: Bayreuth, Jerman
    KELUARGA: Anak sulung daripada tiga beradik
    PENGACARA: Wavelength, Ratu Sehari, Channel [V], Beauty Secret From The East dan Nona


    Info Remy Ishak

    NAMA PENUH: Mohammad Zalimei Ishak
    TARIKH LAHIR: 11 April 1982
    TEMPAT LAHIR: Negeri Sembilan
    HOBI: Mengembara dan seni fotografi
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: