MENIKMATI pemandangan indah Gunung Fuji, gunung tertinggi di Jepun dan gemerlapan cahaya lampu Menara Tokyo persis Menara Eiffel Paris tidak memadai.
Tumpuan ikon fesyen terkenal di Shibuya dan Ginza juga masih belum memuaskan senarai pengembaraan penulis ke Tokyo, Jepun baru-baru ini.
Memikirkan perkara itu membuatkan penulis kerut dahi seperti orang yang makan Sushi, makanan terkenal Jepun dengan Wasabi iaitu sejenis perisa beraroma harum tetapi rasanya tajam menusuk ke hidung tetapi bukan pedas seperti cili.
Kenapa tidak melihat pasar ikan di Tokyo di mana kesemuanya menghimpunkan hasil laut segar untuk dijadikan sebagai makanan, masakan juga pelbagai jenis Sushi?
Itu cadangan rakan penulis yang sebelum ini pernah mengunjungi ke sana sewaktu dia mengikuti pengajian jangka pendek di Universiti Bunkyo, Tokyo.
Lebih mengujakan apabila diberitahu bahawa tarikan utama pelancong yang dikenali sebagai Pasar Tsukiji itu merupakan pasar borong ikan terbesar di dunia.
Mengambil nama kawasan di tengah kota metropolitan itu, ia boleh dikunjungi dengan menaiki transit menerusi Laluan Tokyo Metro Hibiya ke Stesen Tsukiji atau Laluan Toei Oedo bagi Stesen Tsukijishijo.
Pasar Tsukiji terbahagi kepada dua iaitu ‘pasar dalaman’ di mana tempat lelongan ikan dilakukan termasuk kira-kira 900 gerai kecil pemborong dan penjual ikan.
Bagi ‘pasar luaran’ pula terdiri daripada deretan kedai yang menjual barangan runcit, makanan laut dan peralatan dapur serta beberapa restoran Sushi.
Meneroka kawasan itu bukan perkara mudah kerana Pasar Tsukiji begitu sibuk pada waktu puncaknya antara pukul 5 pagi sehingga 7 pagi.
Pun begitu, pasar itu sudah mula beroperasi seawal pukul 3 pagi apabila menerima semua hasil makanan laut terutama ikan tuna dari seluruh dunia yang dihantar menerusi pengangkutan darat, laut dan udara.
Penulis juga seperti pelancong lain antara mereka yang terpaksa bangun awal pagi demi menyaksikan ‘kemeriahan’ operasi borong dan jualan ikan.
Waktu bidaan sahaja dilakukan sekitar pukul 5 pagi yang hanya mengambil tempoh singkat antara 30 sehingga 40 minit bergantung kepada permintaan.
Suasananya riuh-rendah dengan teriakan pemborong di sana sini umpama dalam bursa saham apabila masing-masing sibuk membuat tawaran.
Pemborong dikenali sebagai oroshi gyosha berkumpul di tempat bidaan yang ketuai oleh penyelia bagi menentukan tawaran siapa paling menarik.
Selain pemborong, mereka yang berdaftar turut membina merupakan di kalangan ejen untuk restoran, syarikat memproses makanan dan peruncit besar.
Difahamkan, seekor ikan tuna bersaiz 1 kilogram yang dibida boleh mencecah sehingga lebih 10,000 yen bersamaan RM375.91.
Selesai sesi bidaan, ikan yang dibeli termasuk hasil laut lain akan dihantar ke destinasi seterusnya menggunakan trak atau diedarkan di gerai masing-masing.
Dianggarkan kira-kira 700,000 tan metrik makanan laut dikendalikan oleh Pasar Tsukiji setiap tahun dengan nilai melebihi 600 bilion yen (RM22.54 bilion).
Lebih 65,000 kakitangan bertugas di pasar berkenaan yang merupakan pemborong dan penjual ikan serta akauntan, pembida, pegawai rasmi dan pengedar.
Penulis berpeluang melihat ikan tuna bersaiz agak besar yang mungkin tidak dapat dilihat di mana-mana pasar ikan di Malaysia.
Semua ikan tuna keras membeku tidak mudah dipotong dengan pisau namun menggunakan mesin pemotong khas yang dimiliki hampir setiap penjual ikan di situ.
Bukan sekadar menumpukan spesis ikan semata-mata kerana penulis turut meneroka sumber laut lain seperti udang, ketam, udang dan siput.
Namun awas kerana para pekerja aktif ‘merempit’ dengan motor khas untuk mengangkut barang menyebabkan pelancong perlu sentiasa berwaspada dan berhati-hati apabila berjalan-jalan di dalam ‘pusat membeli-belah ikan’ itu.
Kunjungan penulis ke Pasar Tsukiji tidak lengkap tanpa berkunjung ke restoran Sushi berhampiran yang mendapatkan bekalan secara langsung dari pasar itu.
Ikan tuna sebenarnya menjadi bahan utama kepada restoran itu maka tidak hairanlah ia dibida di pasar tersebut kerana permintaannya amat tinggi.
Jujurnya, penulis sebelum ini tidak menggemari Sushi namun pengalaman bernilai di Pasar Tsukiji kebanggaan negara matahari terbit itu ternyata mengubah selera penulis.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: