Tuesday, November 30, 2010

PM lancar skim AHB RM1b


Najib Tun Razak menerima sijil Amanah Hartanah Bumiputera daripada Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar selepas melancarkan skim tersebut di Kuala Lumpur, semalam. Turut memerhati, Muhyiddin Yassin.


KUALA LUMPUR 29 Nov. - Pelaburan Hartanah Bhd. (PHB) hari ini melancarkan skim Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) dengan saiz RM1 bilion yang dibuka jualannya kepada para pelabur bumiputera berusia mulai tiga bulan ke atas.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, unit amanah itu memberi peluang kepada bumiputera termasuk di Sabah dan Sarawak memiliki pegangan dalam sektor hartanah komersial bernilai tinggi dengan pelaburan minimum RM500 sehingga RM200,000.

''Dengan pelaburan ini, para pelabur bumiputera mampu mempunyai pegangan hartanah yang sukar mereka miliki secara langsung,'' katanya yang juga Pengerusi Yayasan AHB pada majlis pelancaran AHB hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut hadir dalam majlis itu.

PHB yang ditubuhkan pada Mei 2006 bertujuan mengekalkan pertumbuhan jangka pendek menerusi pengurusan, pelaburan dan peluasan perniagaan syarikat dalam sektor pelaburan hartanah komersial utama.

Najib berkata, unit-unit AHB ditawarkan pada harga tetap RM1 seunit juga bersandarkan prinsip patuh syariah, sekali gus membantu Malaysia mengembangkan lagi instrumen perbankan dan kewangan Islam.

''Ini bertepatan dengan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa,'' ujarnya.

Unit amanah itu boleh dikeluarkan pada bila-bila masa tetapi sekali sebulan

Perdana Menteri juga menyarankan unit amanah itu dipertimbangkan supaya dijadikan hadiah kepada pesara-pesara kerana agihan pendapatannya dijangka lebih lumayan berbanding deposit tetap.

''AHB ini akan memberikan pulangan yang lebih besar dan lumayan, dan lebih baik daripada deposit tetap,'' katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Kamalul Arifin Othman dalam sidang akhbar berasingan berkata, skim amanah itu dijangka mampu memberi pulangan tidak kurang daripada enam peratus berdasarkan pasaran semasa hartanah.

Pembayaran dividen akan dibuat dua kali setahun iaitu setiap enam bulan.

Menurutnya, AHB itu mempunyai lima hartanah yang bernilai RM1 bilion iaitu CP Tower di Damansara, Wisma Consplant di Subang Jaya, bangunan Tesco di Setia Alam, Kompleks Industri di Shah Alam dan Menara SPRM dekat Putrajaya.

Dua lagi hartanahnya, bangunan Bumiputera-Commerce di Jalan Raja Laut dan ibu pejabatnya di Saujana Resort tidak dapat dimasukkan dalam unit itu memandangkan ia tidak mematuhi syariah.

PHB akan menambah lebih banyak hartanah miliknya pada masa depan untuk memaksimumkan pulangan kepada pelabur.

PHB menjangka menambah nilai hartanahnya sebanyak RM500 juta melalui beberapa cadangan pembelian hartanah di sekitar Lembah Klang pada tahun depan, tambah beliau.

Ditanya mengenai langganan minimum sebanyak RM500, Kamalul Arifin berkata, kadar itu adalah munasabah kerana ia membabitkan pelaburan hartanah dan sasarannya adalah kepada pelabur yang serius.

Beliau menetapkan sasaran selama setahun untuk menjual AHB.

Semua langganan AHB boleh dibuat di 400 cawangan Mayban seluruh negara.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: