Tuesday, November 30, 2010

Pasar Queen Victoria Gamit Perasaan

Salah satu mercu tanda Melbourne, Pasar Queen Victoria.

BERMULA dari sebuah penempatan kecil pada 1840, Melbourne kini merupakan bandar raya kedua terbesar Australia selepas Sydney. Ia adalah antara destinasi tarikan utama pelancong dari dalam mahupun luar negara.

Segalanya ada di sini. Bermula dari bangunan pencakar langit, deretan restoran, bistro dan bar, kafe, Pasar Queen Victoria sehinggalah butik funky di Brunswick Street, anda akan melalui perjalanan mengujakan dengan menyelusuri lorong-lorong sempit di sekitar bandar raya ini.

Mengikuti rombongan media meninjau latihan skuad berbasikal trek dan lebuh raya negara yang menjalani latihan di Melbourne baru-baru ini memberi peluang berharga kepada penulis untuk menerokai keindahan semula jadi dan kesan sosio-budaya masyarakat di bandar raya itu.

Bangunan pencakar langit tersergam indah di sepanjang Sungai Yarra.

Selepas menempuh perjalanan selama lapan jam dari Terminal Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) di Sepang, Kuala Lumpur, pesawat AirAsia D72724 selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne, kira-kira pada jam 8.30 pagi waktu tempatan.

Mengintai ke luar tingkap pesawat, cuaca kelihatan panas. Namun sebaik saja meninggalkan balai ketibaan, angin sejuk menyelubungi tubuh seolah-olah mengalu-alukan kehadiran kami yang rata-ratanya menjejak kaki buat pertama kali ke sini.

Memandangkan Malaysia beriklim Khatulistiwa iaitu panas dan lembap sepanjang tahun, perbezaan suhu dan cuaca sudah tentu dirasai penulis. Bacaan suhu di sana pada waktu itu adalah kira-kira 10 darjah Celsius.

Meskipun jadual padat dan kunjungan yang singkat, penulis tidak melepaskan peluang singgah seketika di pasar terbuka terkenal di Melbourne yang beroperasi sejak 130 tahun lalu iaitu Pasar Queen Victoria.

Pantai St.Kilda, lokasi yang sesuai dikunjungi bersama keluarga mahupun insan tersayang.

Penulis terpegun dengan reka bentuk bangunan lama yang dijadikan restoran, butik pakaian, kedai kopi dan wain, gerai buah-buahan, sayur-sayuran dan cenderamata.

Betapa uniknya! Pasar terbuka itu tetap mengekalkan identiti tersendiri untuk tatapan pelancong.

Pasar itu sedikit sebanyak mengingatkan penulis dengan pasar malam ‘Uptown’ di Malaysia. Corak perniagaan hampir sama tetapi aktiviti jual beli di sana hanya dijalankan pada waktu siang saja.

Bukan saja terkenal dengan keunikannya, Pasar Queen Victoria menawarkan pelbagai pilihan kepada pengunjung. Hampir 50 peratus daripada kawasan pasar terbuka itu dikhaskan untuk tapak penjualan produk segar termasuk buah-buahan, sayur-sayuran, daging, ayam dan makanan laut manakala selebihnya untuk produk pelbagai guna.

Hari Ahad merupakan hari paling sibuk di pasar tersebut. Pada waktu itu, Queen Street akan ditutup dan ia akan digunakan sebagai kawasan kafe terbuka di mana kanak-kanak melakukan aktiviti riadah seperti berbasikal.

Bagi mereka yang gemar membeli-belah, pelbagai pilihan barangan di sini pastinya akan membuat anda rambang mata. Jika anda bijak tawar-menawar, tidak mustahil barangan yang anda ingini berada dalam genggaman. Kebanyakan peniaga di sini berasal dari Indonesia dan China.

Setelah seharian suntuk berjalan sudah tentulah kepenatan mula terasa. Penulis dan rakan media lain berehat seketika sambil menikmati kopi. Jiwa kami begitu tersentuh dengan alunan muzik dan nyanyian penghibur jalanan yang mengasyikkan.

Soal makanan pula, tiada apa yang perlu dirisaukan. Melbourne ibarat syurga makanan bagi sesiapa saja. Menu yang terdapat di sini menghimpunkan hidangan dari pelbagai budaya seperti makanan klasik Itali di Charlton, sajian dari Vietnam dengan harga yang berpatutan di Richmond dan snek Sepanyol di Fitzroy.

Bagi yang ingin menenangkan fikiran sambil menikmati keindahan semula jadi, anda boleh menaiki bas shutle percuma atau Trem City Circle. Untuk perjalanan yang lebih mengujakan, anda disarankan menggunakan Trem kerana ia menghubungkan tempat-tempat menarik seperti Docklands, restoran di sekitar Lygon Street, Universiti Melbourne, Pantai St Kilda dan Box Hill.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: