INSTITUT Penyelidikan Sosial Malaysia (MSRI) adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tampil ke hadapan membantu komuniti pelarian merasai keselesaan sepanjang mereka berada di negara ini apabila memperkenalkan inisiatif Program Mentor Pelarian Sahabat.
Pengarah Eksekutifnya, Lia Syed berkata, program itu merupakan pertemuan antara mentor di kalangan sukarelawan dengan pelarian bagi mencapai matlamat khusus.
“Ia bertujuan memecahkan tembok yang menjurangkan antara komuniti pelarian dengan rakyat Malaysia serta menyelesaikan kerumitan yang dihadapi golongan itu.
“Mereka tidak mempunyai komuniti yang besar, sukar berhubung dengan dunia luar dan lebih bersendiri seolah-olah menjalani kehidupan ‘tergantung’,” katanya kepada Mingguan mStar.
Kebanyakan pelarian begitu takut untuk keluar bertemu masyarakat kerana bimbang akan ditahan oleh pihak berkuasa serta tidak mahu menjadi mangsa jenayah.
Pada masa sama, segelintir masyarakat Malaysia masih mempunyai persepsi buruk tentang kedudukan pelarian sedangkan tujuan mereka ke negara ini untuk mendapatkan perlindungan ekoran masalah atau pergelutan yang berlaku di negara asal.
Lia berkata, Malaysia sebuah negara aman dan terdapat banyak cara untuk memberikan keselesaan kepada mereka sepanjang menetap sementara di negara ini.
“Sampai ke satu tahap antara mereka pernah berkata; jika saya mati, tiada siapa akan tahu, tiada siapa akan ambil peduli.
“Ini menunjukkan bahawa mereka berasa ‘tiada hubungan langsung’ dengan masyarakat mahu pun persekitaran sehingga menyentuh isu kemanusiaan,” ujarnya.
Menerusi program itu, pelarian mampu menjadi manusia normal, belajar banyak perkara mengenai kemanusian dan berasa selamat apabila berada di tempat awamBagi mentor pula, beliau berkata, mereka berperanan sebagai penyumbang kepada penambahbaikan kehidupan orang lain serta kesan positif lain jangka panjang.
“Tidak salah memberikan hak asasi manusia kepada pelarian sepanjang mereka menetap sementara di negara ini sebelum dipindahkan ke negara lain.
“Mereka seharusnya diberikan peluang untuk mendapat pendidikan, perlindungan dan keselamatan serta akses kepada kemudahan perubatan lebih baik,” katanya.
Setakat ini, program berkenaan mempunyai 15 mentor yang berfikiran terbuka, memahami situasi pelarian dan ikhlas memberi sumbangan kepada kehidupan orang lain.
Lia berkata, cabaran yang dihadapai adalah untuk menyesuaipadan antara mentor dan pelarian kerana masing-masing daripada latar belakang yang berbeza.
“Bagaimanapun, saya percaya mentor-mentor ini dapat mengatasi perkara itu sekiranya mereka komited, bersabar dan bersedia menjadi pendengar yang baik,” katanya.
“Kami mahu berkawan seperti manusia lain”
KHALID, 49, tiba di Malaysia pada tahun 2007 apabila mengambil keputusan untuk berhijrah menyelamatkan diri daripada kemelut peperangan di Iraq.
Namun ia bukan negara pertama dijejakinya bersama lapan ahli keluarga lain untuk mendapatkan perlindungan kerana sebelum itu mereka telah pun menetap di Syria selama enam bulan.
Malaysia dijadikan negara ketiga apabila dia mendapati Syria terlalu padat dengan pelarian senegaranya yang dianggarkan seramai 2.5 juta orang.
“Seorang rakan menasihatkan saya supaya berhijrah ke Malaysia kerana negara itu lebih baik dan selamat untuk penempatan pelarian,” katanya.
Hari ini, Khalid menetap di Ampang bersama isteri, ibu dan lima anaknya serta seorang cucu dalam satu kehidupan lebih baik berbanding lima tahun dahulu.
Malangnya, kedatangannya ke negara ini tidak semudah seperti yang digambarkan kerana banyak dugaan, cabaran dan masalah terpaksa dihadapi sepanjang tempoh itu.
“Apabila kali pertama tiba ke sini, bagaikan satu kejutan besar kerana sukar untuk mencari tempat untuk berteduh dan mendapatkan pekerjaan kerana tiada dokumen lengkap.
“Lebih menyedihkan apabila saya sekeluarga pada awalnya begitu terasing daripada masyarakat sedangkan perhubungan antara satu sama lain sepatutnya menjadi ubat paling mujarab untuk kami sebagai pelarian,” katanya.
Sehingga ke satu tahap, isteri Khalid iaitu Fatin, 42, ‘memberontak’ disebabkan tertekan akibat terlalu bosan dan nekad mahu merasai kehidupan seperti rakyat Malaysia lain.
Suatu hari, Fatin mengambil keputusan untuk mengetuk pintu rumah jirannya dan memberi hadiah kemudian memperkenalkan diri.
Ternyata tindakan tersebut membuahkan hasil apabila suri rumah sepenuh masa itu diterima baik oleh jirannya dan masing-masing menjalinkan hubungan rapat bagaikan sebuah keluarga.
“Saya akui amat memerlukan teman untuk berkongsi cerita tetapi persepsi buruk segelintir masyarakat terhadap pelarian seperti kami memisahkan antara kedua-duanya.
“Namun selepas kami dan jiran mengenali antara satu sama lain, barulah mereka faham tentang keadaan kami dan kenapa kami berada di negara ini,” katanya.
Walaupun Fatin tidak boleh bertutur dalam bahasa Inggeris namun dia sanggup menggunakan apa saja cara untuk berkomunikasi dengan jirannya meskipun menggunakan bahasa isyarat.
“Bagi saya, kefasihan untuk berbahasa itu soal kedua. Saya sanggup belajar satu persatu. Paling penting adalah keinginan saya untuk berkawan seperti manusia lain.
“Saya tidak mahukan wang. Apa yang saya mahu adalah sokongan rakyat Malaysia supaya menerima kami pelarian sebagai tetamu, itulah paling berharga,” katanya.
Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi warga Afghanistan, Ali, 36 kerana sehingga ke hari ini kehidupannya sekeluarga hanya dikelilingi komuniti senegara.
Bekerja sebagai sukarelawan bagi penjagaan kesihatan untuk pelarian Afghanistan di Kuala Lumpur telah membataskan pergaulannya dengan rakyat tempatan.
Namun Ali menjelaskan, apa yang dibimbangi apabila isterinya mengalami kemurungn apabila terpaksa meninggalkan ibu bapanya sejak dua tahun lalu.
“Pada awal ketibaan kami di Malaysia pada tahun 2008, dia sering bersedih kerana sentiasa merindui ibu bapanya yang masih berada di Afghanistan.
“Kehidupan kami begitu terasing dengan masyarakat luar memburukkan lagi keadaan. Kerja saya sebagai sukarelawan membataskan waktu untuk bersamanya di rumah.
“Sudah tiba masanya untuk kami mencari kawan rakyat Malaysia bagi merasai kehidupan seperti manusia lain. Tetapi adakah yang mahu berkawan dengan kami?,” ujarnya yang merupakan antara 520 pelarian Afghanistan yang berada di negara ini.
Bagi pelarian dari Baghdad, Hamad, 34, kesukaran masyarakat setempat untuk menerima pelarian sepertinya membuatkan kehidupannya di Malaysia terbatas.
Apa yang paling dikhuatirinya sejak tiga tahun lalu tiba di Malaysia adalah tahap keselamatan bagi isteri dan dua anaknya.
Hamad yang mengambil upah membaiki penyaman udara berkata, anaknya berusia lima tahun tidak boleh berbahasa Melayu menyukarkannya untuk bersekolah di negara ini.
“Tak kan saya hendak dia menghabiskan masa di rumah sahaja. Sudah tentu membosankannya. Dia juga perlu belajar dan bermain seperti kanak-kanak lain.
“Saya pula agak keberatan untuk membiarkannya merasai dunia luar seperti kanak-kanak lain kerana bimbang dengan keselamatannya apabila berada di tempat awam.
“Saya lebih mengutamakan keadaan isteri dan anak-anak. Bagaimana dengan nasib mereka? Mereka memerlukan kawan dan perkara itu pastinya bukan mudah bagi kami yang sekadar pelarian dan hanya menetap sementara di negara ini,” katanya.
Apa kata mentor?
“Program ini melibatkan hak asasi manusia bagi memastikan pelarian diterima di negara ini sekali gus mengubah persepsi buruk mengenai golongan itu. Ia memberi sinar harapan kepada mereka yang disisihkan daripada dunia luar dan masyarakat.” - Mohamad Fairudz Mohd Hanif, 26, Peguam
“Kami mendengar masalah pelarian. Masalah utama adalah komunikasi yang membataskan hubungan mereka dengan masyarakat. Ini adalah proses pembelajaran sebagai persediaan mereka untuk lebih berdikari apabila dihantar ke negara ketiga.” - Mas Ayu Mohd Yusof, 30, Peguam
“Mentor dan pelarian akan membina persahabatan bagi mencapai matlamat khusus berdasarkan keperluan dan kehendak. Kaedah tersebut membantu memberi keselesaan dan kehidupan lebih baik kepada pelarian yang menetap sementara di negara ini.” - Henry Martinus, 60, Sukarelawan
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: