Tuesday, November 30, 2010

Hafaz al-Quran di banglo tiga tingkat




BACAAN ayat-ayat suci al-Quran bergema memenuhi ruang dewan di sebuah banglo tiga tingkat yang terletak di sebuah kawasan elit di pinggir ibu kota Kuala Lumpur.

Meskipun dibaca dengan laju, namun bait-bait kalimah yang dilafazkan itu masih boleh difahami oleh mereka yang mendengarnya.

Malah, alunan merdu daripada suara pelajar yang tekun mengadap kitab suci tersebut, menjadi halwa telinga penulis sebaik melangkah masuk ke dalam pusat tahfiz yang diberi nama Darul Quran wal Hadith (DQwH) itu.

Baru sahaja beroperasi awal November lalu, DQwH merupakan sebuah pusat pendidikan bersepadu yang menjadikan hafazan al-Quran dan hadis Nabi SAW sebagai mata pelajaran teras.

Di samping itu, pelajar turut diajar dengan ilmu-ilmu Diniyyah dan bahasa Arab mengikut sukatan pelajaran beberapa maahad yang terdapat di negara Asia Barat seperti Mekah, Yaman, Syria, Mesir dan sebagainya.

Mudir atau Pengetua DQwH, Dzulfadzli Affandi Zulkarnain al-Hafiz, 27, memberitahu pusat itu kini mempunyai lapan pelajar perintis yang telah pun memulakan sesi pengajian mereka di sana.

"Alhamdulillah, setakat ini semua pelajar tersebut menunjukkan komitmen yang sangat tinggi dalam setiap kelas yang diikuti," kata Dzulfadzli sambil menunjuk ke arah sekumpulan pelajar lelaki yang sibuk menghafal bacaan masing-masing dengan al-Quran yang diletakkan di atas rehal.

Ahli huffaz seimbang

Tambah beliau, penubuhan DQwH ini sebenarnya dibuat atas landasan untuk membentuk ahli Quran dan ahli hadis yang alim dalam pelbagai disiplin ilmu melalui sistem pendidikan tradisi Islam.


DENGAN ilmu dunia dan akhirat yang seimbang dapat melahirkan generasi muda Islam yang mampu menegakkan syiar Islam.


Selain itu, ia bertujuan untuk membentuk kecemerlangan minda pelajar melalui al-Quran dan melahirkan kader-kader yang peka dengan isu-isu semasa serta mampu mempertahankan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ) yang menjadi pegangan umat Islam di negara ini.

"Paling penting, kami mahu melahirkan para pendakwah yang mampu menggarap adab dan mesej dakwah Rasulullah SAW secara berhikmah serta memberi peringatan yang baik dalam apa jua situasi," tegas Dzulfadzli.

Dalam usaha ke arah melahirkan huffaz dan ahli hadis yang seimbang dalam semua bidang ilmu, pusat itu juga tidak meminggirkan pembelajaran akademik dalam kalangan pelajar.

Malah, pihak DQwH turut mewajibkan pelajar mereka menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Perkara ini diakui oleh seorang tenaga pengajar DQwH, Wan Mohd. Safuan Wan Salim al-Hafiz, 27, yang merupakan graduan lulusan syariah Universiti Darul Ulum di Yaman dan Tahfiz Darul Ansar di Kelantan.

"Seiring dengan perkembangan zaman yang semakin canggih, barisan pendakwah Islam juga harus dilengkapi dengan ilmu yang seimbang.

"Ini bermakna, mereka bukan sahaja perlu arif dalam jurusan agama, bahkan dalam aspek ilmu duniawi juga. Justeru, amat penting bagi mereka untuk menguasai pelbagai bidang ilmu seperti yang telah dilakukan oleh ulama silam," ujarnya.

Pelajar awal

Bagi Muhammad Amir Naqiuddin Amir Zuhairi, 16, dia bersyukur kerana terpilih menjadi salah seorang pelajar perintis di pusat pendidikan tersebut.


PELAJAR DQwH tekun memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran di hadapan guru.


Berdasarkan syarat-syarat kemasukan yang telah ditetapkan, ternyata ia bukan semudah memasuki sekolah biasa.

"Kami perlu menunjukkan kebolehan dan kemahiran dalam menghafaz al-Quran di samping memperoleh pencapaian akademik terbaik.

"Selain itu, kami juga perlu lulus dalam ujian kemasukan DQwH yang diadakan seperti temuduga untuk bekerja, namun dalam skop yang berbeza.

"Antaranya seperti kepantasan menulis dalam tulisan jawi, membaca kitab-kitab hadis lama yang tidak mempunyai baris dan memperdengarkan bacaan al-Quran di hadapan guru," tutur anak kedua daripada lima adik beradik itu.

Pengajian DQwH

Untuk sukatan pengajian di DQwH, ia terbahagi kepada dua iaitu I'dadi (menengah rendah) selama tiga marhalah atau tiga tahun dan Thanawi (menengah atas) selama dua marhalah.

Bagi setiap marhalah I'dadi, pelajar perlu menghafaz sepuluh juzuk al-Quran selain mengikuti pembelajaran kitab-kitab seperti Jala'al Afham (Tauhid), al-Durr al-Masun fi Tafsir Juzei 'Amma Yatasaalun (Tafsir), Nail al-Raja' (Fikah) dan Syarh al-Arbai'n al-Nawawiyyah (Hadis). Tidak ketinggalan pelajar juga perlu menguasai ilmu Bidayah al-Hidayah (Tasawuf), Fath al-Aqfal Syarh Tuhfah al-Atfal (Tajwid), Nur al'Uyun (Sirah) dan Matan al-Ajrumiyyah (Nahu).


DQwH hanya menetapkan kuota 32 pelajar untuk satu sesi pengajian bagi memberi keselesaan pelajar menuntut ilmu.


Dalam sukatan pelajaran Thanawi, pelajar berpeluang memantapkan ilmu al-Quran dan hadis melalui dua bidang takhassus.

Bagi takhassus al-Quran, kitab yang akan dipelajari seperti Tuhfah al-Murid 'ala Jauharah al-Tauhid, Anwar al-Masalik Syarh 'Umdah al-Salik, al-Hikam Al-Atoiyyah Syarh al-Syarnubi, Mutammimah al-Ajrumiyah dan Fiqh al-Sirah Nabawiyyah.

Sementara itu, bagi takhassus hadis pula, ia ditambah dengan kitab Sahih Bukhari (Hadis Talaqi), Qawaid al-Asasiyyah fi Ulum Quran, Manhal al-Latif fi Mustalah al-Hadith, al-Manzumah al-Baiquniyyah dan Riyadh al-Solihin.

Untuk sesi pengajian Januari 2011, pihak pengurusan DQwH hanya menawarkan kemasukan untuk kuota 32 pelajar sahaja. Permohonan dibuka sehingga 31 Disember 2010.

Kepada mereka yang berminat, sila hubungi Dzulfadzli di talian 013-489 9676, Safuan (017-658 2755) atau Huda (019-384 9676). Anda juga boleh melayari laman web www.darulquranwalhadith.blogspot.com atau e-mel kepada darulhadith@ymail.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: