Monday, November 29, 2010

Sifat ceria Aarif dan Janice




KEMESRAAN mereka berdua begitu menyerlah. Malah, pada sesi temu ramah bersama pihak media dari Malaysia, Hong Kong dan Singapura, pada petang itu, kelihatan Aarif Lee dan Janice Man, gemar usik-mengusik sesama sendiri.

Terutamanya Aarif yang dilihat begitu ligat menyakat si Janice yang sedang didandan oleh jurusolek peribadinya.

Melihat kenakalan Aarif terhadap Janice yang bersifat pemalu itu, terpacul soalan nakal daripada kami yang bertanyakan, adakah mereka berdua sedang hangat menjalinkan hubungan istimewa?

"Oh semestinya tidak. Hubungan kami sekadar rakan sesama artis saja. Tetapi sejak dilantik sebagai duta untuk kempen Be Happy Me, jenama Bossini, hubungan kami menjadi semakin akrab seperti adik-beradik dan bertambah serasi. Sebagai individu yang kelakar dan ceria, ada saja lawak dan gelagatnya yang mencuit hati.

"Saya pula jenis individu yang periang dan suka tergelak. Rasanya sebab itu hubungan kami tampak mesra. Lagipun, keceriaan kami secara tidak langsung menepati imej dan konsep, Be Happy Me Bossini," ujar pelakon remaja Hong Kong, Janice, 21, yang ditemui pada majlis pelancaran kempen tersebut di gedung terbesar Bossini di Mongkok, Hong Kong.

Benar, kedua-dua selebriti begitu ceria dan comel. Jadi, tidak mustahil jika sifat periang tersebut berjaya memikat hati pihak Bossini untuk melantik mereka menceriakan kempen tersebut.


SIFAT ceria dan wajah comel yang dimiliki Janice telah memikat hati jenama Bossini.


Bicara Janice dipersetujui Aarif, 23, yang duduk bersebelahannya. Biarpun masing-masing mencipta nama dalam cabang seni berbeza tetapi ia langsung tidak menghalang mereka untuk bekerjasama.

Terharu

Menjelas lanjut mengenai penglibatannya dalam kempen berkenaan, Janice yang memiliki ketinggian 168 sentimeter itu melahirkan rasa terharu dan teruja.

Dia sama sekali tidak menyangka terpilih dalam projek milik jenama pakaian yang sudah dua dekad bertapak dalam industri fesyen Hong Kong dan Asia.

"Sebelum bergelar pelakon, saya terlebih dahulu aktif dalam bidang peragaan sejak usia 14 tahun. Sepanjang tempoh itu saya sering memperagakan pakaian Bossini bagi ruangan fesyen dalam pelbagai majalah.

"Sebab itu, saya tak mengambil masa yang panjang untuk mempertimbangkan tawaran menjayakan kempen Be Happy Me," terangnya.

Sesi fotografi untuk katalog Be Happy Me merupakan momen yang paling manis buat Janice. Dia tidak sukar untuk tampil ceria di depan kamera kerana pihak Bossini memintanya beraksi bersama beg-beg beli-belah.

"Jadi, ia memudahkan saya berimaginasi karakter gembira membeli-belah produk Bossini," tutur Janice yang memberitahu aktiviti membeli-belah dan berkumpul bersama keluarga adalah antara aktiviti yang sentiasa membuatkannya berasa gembira.

Namun, sedang asyik menceritakan keseronokan di sebalik tabir fotografi katalog, Janice sedikit kecewa kerana sesi fotografi pernah tergendala seketika. Ia berpunca gara-gara sikapnya yang terlalu optimis dalam menyempurnakan tugasan kariernya.

Kata penggemar kek keju itu: "Jadual kerja terlalu padat. Selain sibuk dengan sesi fotografi bersama Bossini, saya juga terpaksa bergegas ke set penggambaran.


AARIF LEE menyifatkan dunia muzik dan fesyen saling memerlukan.


"Dek kurang rehat dan tidur saya mendapat jangkitan mata dan gelung hitam bawah mata. Tetapi, sembuh saja daripada sakit saya segera menamatkan sesi fotografi katalog yang diamanahkan."

Suatu penghormatan

Sementara itu, Aarif Lee, 23, menganggap perlantikannya sebagai duta Be Happy Me sebagai suatu penghormatan. Personaliti yang mempertaruhkan bakat nyanyian dalam dunia hiburan Hong Kong itu tidak menyangka dirinya menjadi pilihan sedangkan ramai selebriti dan model yang terlebih dahulu mencipta nama di negara pulau itu.

"Bagi saya kempen ini cukup serasi dengan diri saya yang periang dan suka menggembirakan hati orang lain. Tak salah bekerjasama dengan Bossini.

"Bagi saya, dunia muzik dan fesyen sememangnya saling memerlukan.

"Selain menceriakan hari-hari peminat dengan genre muzik yang saya bawakan, pada masa yang sama saya ingin mengajak mereka mendapatkan mood gembira melalui fesyen.

"Semestinya saya menyarankan koleksi fesyen Bossini kerana ia menawarkan rangkaian busana dan aksesori menarik untuk lelaki dan wanita," terang Aarif ketika ditemui Stailo.

Bersesuaian dengan imejnya sebagai penyanyi, Aarif mengambil inisiatif untuk menggunakan gitar dan radio retro ketika menjayakan sesi fotografi katalog kempen.


ANTARA aksi Aarif dalam babak filem Bruce Lee, My Brother yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.


Bagi menyerlahkan gaya remaja aktif, pihak Bossini turut mengarahkan agar Aarif memperbanyakkan aksi lasak berbanding pose segak.

Sehubungan itu, Aarif yang bakal muncul dengan filem terbaru Bruce Lee, My Brother, berusaha menampilkan aksi tinju, melompat, 'terbang' dan berlawan.

Menyentuh mengenai pemilihan Janice dan Aarif, Pengurus Besar Bossini Malaysia, Barbara Chan, memberitahu, kedua-dua selebriti itu berdasarkan rekod dan kecemerlangan mereka dalam bidang masing-masing.

"Mereka berdua sedang mencipta nama di Hong Kong dan mempunyai bilangan peminat yang ramai. Paling penting mereka memiliki imej dan kriteria ceria yang bertepatan dengan konsep kami. Ekspresi ceria yang dipamerkan oleh mereka begitu natural.

"Selain itu, kami rasakan penglibatan artis dalam kempen ini dapat membantu mempromosikan produk Bossini. Memandangkan para peminat kini lebih gemar bergaya seperti selebriti kesayangan mereka," jelas Barbara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: