KUALA LUMPUR: Demi komitmennya terhadap tugas pengacaraan program terbaru Astro Ria iaitu Astana, penyanyi serba boleh Anita Sarawak sanggup menghentikan bidang nyanyian seketika bagi memberi tumpuan pada tugas tersebut.
Ujar Anita yang ditemui pada sidang media program Astana di ibu kota, Isnin, sejak pulang daripada bercuti di Eropah bersama suaminya Mahathir, fokusnya hanya tertumpu pada persiapan program yang memaparkan gaya hidup dan kediaman para pemilik rumah mewah di Malaysia itu sahaja.
"Selepas pulang daripada bercuti kira-kira pada selepas Aidilfitri lalu, saya mula sibuk dengan komitmen terbaru terhadap program Astana ini.
"Memang saya terpaksa tolak sebarang tawaran dan kerja lain termasuk bidang nyanyian buat seketika demi komitmen terhadap program ini.
"Pendek kata, segala persiapan mengenai program ini termasuklah menghubungi dan mendekati para pemilik rumah, persiapan skrip program dan proses suntingan dilakukan oleh saya selain daripada tugas pengacaraan," katanya.
Mengulas tentang pemilihan penyanyi yang pernah mengacarakan program Kwek Mambo Anita itu, Pengurus Saluran Astro Ria Azlin Reza Azmi berkata, Anita dipilih berdasarkan pada dua kriteria utama iaitu karisma yang dimilikinya serta hubungan baik penyanyi itu dengan orang-orang berpengaruh di Malaysia.
Katanya, sejak saluran itu mula merencanakan idea untuk menerbitkan program berdurasi 30 minit itu, pihak penerbitan berdepan dengan kesulitan ekoran keengganan para pemilik rumah untuk mempamerkan rumah mewah mereka di kaca televisyen.
Justeru, apabila Astro Ria berbincang dengan Anita mengenai projek tersebut, penyanyi itu bukan saja meyakinkan pihak penerbitan untuk menghubungi dan memujuk sendiri kesemua pemilik rumah daripada pelbagai status dan latar belakang itu, malah turut komited dalam proses penerbitan dan rakaman program Astana.
"Pada awalnya, memang pihak kami berdepan kesukaran untuk mendapatkan rumah mewah bagi tujuan program ini. Rata-rata pemilik-pemilik rumah mewah enggan memaparkan rumah mereka di televisyen kerana mereka bimbang akan disalahanggap ingin menunjuk-nunjuk kemewahan hidup atau riak.
"Namun, semuanya berjalan dengan lancar apabila kami memanjatkan cadangan itu kepada Anita. Karisma Anita yang elegan dan eksklusif selain hubungan baiknya dengan para pemilik rumah agam ini berjaya meyakinkan mereka untuk memaparkan rumah mewah masing-masing dalam program ini.
"Kerjasama dan komitmen yang Anita menjadikan proses rakaman Astana berjalan mengikut perancangan. Kami sememangnya berterima kasih kepada Anita atas bantuannya," katanya.
Menerusi program tersebut, Anita selaku pengacara bakal mengunjungi beberapa rumah mewah yang didiami oleh rakan-rakanya seperti ahli perniagaan, kerabat diraja, anak seni dan chef selebriti.
Antara rumah mewah yang bakal dipaparkan dalam program sebanyak 13 episod itu termasuk rumah penyampai radio Linda Onn, penerbit dan pengarah filem Datuk Yusof Haslam, Chef Wan dan ramai lagi.
Program yang terbahagi kepada tiga segmen itu akan mula bersiaran pada 12 Disember 2010 pada setiap Ahad pukul 7.30 malam di Astro Ria (Saluran 104).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: