Monday, November 29, 2010

Sasar 3,000 tauke Sudut Ayamas

SERAH...Naib Presiden Eksekutif Pembangunan dan Perniagaan JCorp, Abdul Rahman Sulaiman (kiri) menyampaikan set Ayamas kepada  Usahawan Bistari Ayamas dalam program Usahawan Bistari di Sungai Petani, kelmarin.
SERAH...Naib Presiden Eksekutif Pembangunan dan Perniagaan JCorp, Abdul Rahman Sulaiman (kiri) menyampaikan set Ayamas kepada Usahawan Bistari Ayamas dalam program Usahawan Bistari di Sungai Petani, kelmarin.

KFC Holdings (Malaysia) Berhad menyasar melahirkan sekurang-kurangnya 3,000 pengusaha melalui model perniagaan Sudut Ayamas yang dikhaskan untuk ibu tunggal dan suri rumah berpendapatan rendah menjelang 2014.

Pengurus Besar KFC Marketing Sdn Bhd, Nasharuddin Shukor berkata, inisiatif itu yang sebahagian daripada Program Pembangunan Usahawan Bistari Ayamas, dimulakan sejak September tahun lalu dan ketika ini mempunyai 206 pengusaha.

Menurutnya, model perniagaan itu terdiri daripada sebuah peti sejuk beku berserta rak pameran yang akan ditempatkan di rumah pengusaha terbabit.

“Produk Ayamas yang ditin dan dibotolkan akan diletak pada rak pameran manakala produk sejuk beku ‘Ayamas Pek Jimat’ diletak dalam peti sejuk beku.“Kalau mengikut perancangan, sehingga tahun ini kita mahu lahirkan 400 pengusaha. Tahun depan tambahan 500 pengusaha. Tahun 2012 tambahan 500 lagi pengusaha. Tahun 2013 kita mahu tambah 1,000 lagi pengusaha baru dan 2014 tambah 1,000 lagi,” katanya pada Program Usahawan Bistari 2010 peringkat Zon Utara Alor Setar, kelmarin.


Program Usahawan Bistari anjuran bersama Johor Corporation dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti). Ia dimulakan bagi Zon Selatan Mei lalu, diikuti Zon Tengah pada 20 dan 21 November.

Nasharuddin berkata, program itu dikhususkan kepada suri rumah dan ibu tunggal dengan pendapatan isi rumah kurang RM3,000 sebulan dan dimulakan di Johor sebelum diperluas ke Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: