PETANG itu Mohd. Ezuwan Ismail, 28, meluangkan masa mengunjungi gedung Pavilion Kuala Lumpur bersama seorang teman. Saat mengatur langkah memasuki ke dalam perut gedung, berkali-kali Ezuwan berpesan kepada temannya supaya segera menariknya keluar dari butik sekiranya terdapat cubaan membeli.
Tujuan asalnya ke gedung di Jalan Bukit Bintang itu, sekadar melihat himpunan produk terbaru di pasaran. Pada mulanya, semua berjalan lancar. Dia hanya membelek-belek barangan di beberapa buah butik yang disinggahinya. Walaupun rekaan produk yang ditawarkan tampak trendy tetapi Ezuwan cuba mengawal nafsu membeli-belah sebaik mungkin.
Namun akhirnya Ezuwan tertewas juga saat singgah di butik Zara.
“Koleksi kemeja jenama berkenaan cukup menarik sehingga memaksa saya membeli empat helai sekali gus dalam warna berbeza.
“Apa yang menyedihkan saya membayar bil pakaian itu menggunakan sejumlah wang yang diperuntukkan untuk melangsai bil-bil. Tetapi tak dapat nak elak. Kegilaan membeli-belah menguasai segala-galanya,” seloroh Ezuwan ketika ditemui Kosmo! di Pandan Indah, Kuala Lumpur.
Tanpa berselindung Ezuwan mengakui sejak tingkatan dua, dia gemar membeli baju sehingga almarinya sarat dengan himpunan baju lama dan baru. Setiap bulan anak ketiga daripada empat orang adik-beradik itu pasti mendesak ibunya ke pekan untuk membeli baju baru.
Kecenderungan membeli-belah dilihat semakin menjadi-jadi usai dia berkerja sendiri dan memperoleh gaji. Jika wang di dalam dompet tidak mencukupi, jejaka kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu, sanggup menggunakan kad kredit.
|
|
Malah, secara jujur Ezuwan memberitahu cubaannya mengurangkan aktiviti membeli-belah bagaikan terbatas disebabkan dia menemui hobi terbaru iaitu membeli beg berjenama mewah.
Meskipun menyedari harga sesebuah beg berjenama mencecah RM4,000 ke atas, tetapi ia sedikit pun tidak membataskan minat pereka fesyen yang sedang menempah nama dalam industri fesyen tempatan.
“Terus-terang saya semakin obses mengumpul beg jenama Gucci. Semuanya bermula sewaktu saya berkhidmat di butik berkenaan pada tiga tahun lepas. Seperti orang lain saya juga pernah terfikir, mengapa seseorang itu sanggup membeli beg yang mencecah ribuan ringgit? Padahal ia sebuah beg saja.
“Namun lama-kelamaan saya menyedari keistimewaan beg berjenama. Kekuatannya bukan sekadar pada populariti jenama itu semata-mata. Malah ia turut melibatkan aspek rekaan dan material yang yang digunakan. Lagipun membeli beg berjenama mewah ini tidak membazir kerana ia mampu tahan lama,” jelas Ezuwan yang memiliki hampir 10 beg jenama Gucci termasuk dompet dan beg jenama Prada.
Luah graduan fesyen dari Pusat Latihan Fesyen Antarabangsa (IFTC), Kuala Lumpur itu, golongan jejaka tidak perlu malu untuk berbelanja. Apatah lagi tidak pernah termaktub tabiat membeli-belah hak mutlak wanita.
Lelaki boros meningkat
Tidak dinafikan fenomena lelaki boros atau dipanggil juga shopaholic dalam soal membeli-belah bukan perkara mengejutkan. Hasil kajian yang dijalankan di seluruh dunia mendapati kelompok lelaki mula menunjukkan kecenderungan berbelanja terutamanya pada produk dan perkara yang mereka minati.
Menurut penyelidik Shelja Jose Kuruvilla, dari Institut Teknologi dan Pengurusan, New Mumbai, India, berdasarkan kajian yang dilakukan golongan lelaki di India bukan sekadar obses membeli-belah malah kerap mengunjungi pusat-belah berbanding wanita.
“Ia suatu perkara yang mengujakan apabila lelaki kerap ke gedung beli-belah berbanding wanita. Malah, golongan ini juga dilihat sanggup berhabisan semata-mata mendapatkan sesuatu produk walaupun ia dijual pada harga yang tinggi,” ujar Shelja yang turut menyatakan terdapat segelintir lelaki yang sanggup membeli-belah sehingga menanggung hutang kad kredit yang tinggi
Sebelum ini, statistik Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), juga pernah melaporkan sekitar tahun 2007 hingga Februari 2010, sebanyak 69 peratus daripada 36,547 pelanggan perkhidmatan pengurusan kredit di AKPK terdiri daripada orang lelaki.
Laporan statistik mendapati seramai 16,286 lelaki berusia di antara 30 hingga 40 tahun telah mendapatkan khidmat di AKPK semata-mata untuk melangsaikan hutang yang ditanggung.
Fanatik jersi
“Saya tidak akan sesekali memiliki kad kredit kerana bimbang tidak dapat mengawal perbelanjaan bulanan. Setiap bulan selain pembayaran bil dan makan, wang pendapatan digunakan untuk membeli jersi.
“Hari ini saya memiliki 400 helai jersi yang dibeli sejak tiga tahun lalu. Hampir RM15,000 saya habiskan sama ada membeli jersi pasukan Malaysia mahupun luar negara. Sebab itu saya sanggup pergi bercuti ke luar negara seperti di Mesir, Arab Saudi, Indonesia dan Singapura kerana pada tempoh itu saya berpeluang membeli jersi pasukan negara yang dikunjungi,” ujar Ali Efino Abd. Shukri, 29, atau mesra disapa Fino.
Tutur Fino yang pernah membintangi iklan KFC, Celcom dan Vios itu, dia bukan sengaja membazirkan wang membeli jersi. Sejak diperkenalkan oleh bapanya tentang sukan bola sepak pada usia tujuh tahun Fino menanam impian untuk melakukan sesuatu agar sukan tersebut dapat dihargai dan dikenang sehingga ke anak cucu.
Maka, membeli jersi pasukan dari serata negara merupakan kaedah yang paling ideal. Pada masa yang sama, anak ketiga daripada empat orang adik-beradik itu dapat memahami sejarah dan profil sesebuah pasukan bola dengan lebih mendalam.
“Tak dinafikan ada suara-suara memperlekehkan hobi saya ini, tetapi saya tak peduli. Bagi saya tarikan jersi tidak terletak pada warna dan coraknya saja. Setiap jersi mempunyai nilai estetika tersendiri.
“Misalnya, jersi pasukan Al-Ittihad. Mengapa ia berasaskan warna hitam dan kuning serta menggunakan logo harimau? Ia bagaikan simbolik harimau Jeddah yang gagah ketika beraksi di atas padang,” kata Fino yang terlebih dahulu menyelidik latar belakang dan sejarah pasukan sebelum membeli jersi.
|
|
Menyambung bicara graduan Diploma Pengurusan Hotel, Kolej Damansara Utama, Kuala Lumpur itu memberitahu, dia lebih gemar singgah ke butik untuk membeli koleksi jersi berbanding membeli secara talian.
“Pembelian secara talian melibatkan transaksi kad kredit yang bakal mendorong saya berbelanja secara berlebih-lebihan,” ujar Fino yang kini bertugas sebagai Perunding LVG Public Mutual, sewaktu menutup bicara.
Kereta ‘sahabat baik’ lelaki
Sementara itu, Farihan Rahim, 28, pula mengakui tugasnya sebagai Penasihat Kanan Jualan di LX MODE (M) Sdn. Bhd., Petaling Jaya, secara tidak langsung mempengaruhi minatnya pada pengubahsuaian kereta.
Selepas membeli kereta Toyota Altezza berharga RM130,000, lima tahun lalu, dia menukar warna asal kereta hitam dengan kombinasi jingga dan hitam.
Selain itu, Farihan juga melakukan ubahsuai sedikit demi sedikit pada bahagian enjin.
“Kos keseluruhan untuk mengubahsuai enjin mungkin sudah mencecah RM35,000. Ini termasuklah penukaran rim tayar berharga RM8,000, suspensi (RM6,500) dan RM4,000 aksesori dalaman kereta,” jelas anak kelahiran Sungai Buloh, Selangor yang menitikberatkan soal penjagaan kereta daripada sebarang kerosakan.
Biarpun alat-alat ganti kereta berkenaan tidak dijual di Malaysia sehingga memaksa Farihan menempahnya dari kilangnya di Jepun, namun itu semua bukan alasan menghalang minat beliau. Malah, anak sulung daripada empat orang adik-beradik itu masih merancang untuk melakukan pengubahsuaian jentera kesayangannya itu pada masa akan datang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: