HUBUNGAN Malaysia-Indonesia dilihat tegang sejak kebelakangan ini. Kes penderaan membabitkan pembantu rumah Indonesia, isu perairan Malaysia-Indonesia dan beberapa isu lain yang disiarkan di televisyen dan akhbar telah menimbulkan rasa kurang senang rakyat republik itu terhadap Malaysia.
Sama ada laporan yang disiarkan itu satu isu besar atau sebaliknya, yang pasti tindakan kelompok tertentu yang berdemonstrasi, mengeluarkan kata-kata kesat berbaur ugutan turut mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia yang sentiasa mengikuti perkembangan kedua-dua negara melalui media cetak dan elektronik.
Situasi yang digambarkan akhirnya memberi gambaran kepada rakyat di kedua-dua negara bahawa hubungan Malaysia-Indonesia semakin mengeruh.
Peranan yang dimainkan media kedua-dua negara mungkin tidak mampu menyelesaikan kemelut yang ada, namun sebagai pengantara pihak media masih berupaya mengendurkan segala ketegangan yang ada.
Hal ini diakui empat pengamal media dari stesen tvOne Indonesia, Tina Talisa, Attay Rustandar, Ade Mahmud dan Sigit Purwanto ketika mengadakan diskusi eksklusif bersama Mingguan mStar bagi mengupas kemelut dan sama-sama mencari penyelesaian bagi menjernihkan kembali hubungan dua negara.
Demonstrasi perkara biasa
Tunjuk perasaan hampir setiap hari di Indonesia, luahan perasaan secara keterlaluan sebagai tanda protes amat luar biasa di mata masyarakat Malaysia.
Tidak terbiasa dengan situasi ekstrem sedemikian, berlaku perspektif berbeza di Indonesia kerana demonstrasi adalah perkara biasa bagi warga negara itu.
Menurut Tina Talisa yang juga Produser Program Apa Kabar Indonesia, masyarakat Malaysia termasuk pihak media tidak seharusnya memandang serius apa yang dilihat di kaca TV, apatah lagi berasa terancam hanya kerana melihat demonstrasi di Indonesia.
“Saya ingin menggambarkan demonstrasi adalah hal biasa, malah presiden pun mengizinkan itu asalkan dilakukan dengan tertib,” demikian penjelasan awal Tina berhubung demonstrasi dalam sesi dialog bersama Mingguan mStar baru-baru ini.
Jelasnya, selain bukan menjadi perkara asing, demonstrasi di Indonesia berlaku di mana-mana, kepada sesiapa sahaja tidak kira sehebat mana pun seseorang itu.
“Sedangkan Obama yang pernah tinggal di Indonesia pun didemonstrasi. Obama yang sebahagian besar masyarakat dunia suka pun tak terlepas daripada demonstrasi ketika berkunjung ke Indonesia,” katanya memberi contoh.
Tina yang hadir bersama pembantunya, Attay Rustandar, wartawan Ade Mahmud (Biro Malaysia) dan juruvideo Sigit Purwanto berkata, hal ini berhubung kait dengan perbezaan budaya, politik dan sikap media Indonesia yang lebih terbuka berbanding Malaysia.
“Justeru ini harus sama-sama difahami oleh kedua-dua negara,” ucapnya ringkas.
Beliau mengakui walaupun negara itu telah 12 tahun mengamalkan demokrasi, kebanyakan media masih lagi dalam proses belajar tentang apa yang dikatakan kebebasan media berbanding media negara lain yang sudah matang.
Tidak menafikan isu tenaga kerja, batas wilayah dan budaya sering menjadi ‘mainan’ media di Indonesia, beliau mewakili media di sana dan majoriti warga Indonesia juga tidak dapat menolak hakikat adakalanya demonstrasi yang berlaku hanya membabitkan segelintir masyarakat dengan isu yang remeh sahaja.
“Di Malaysia, hanya segelintir yang mendera pembantu rumah, sama juga di Indonesia hanya kelompok kecil yang berdemonstrasi dan menunjukkan mereka itu anti-Malaysia,” ujarnya.
Sebagai ‘orang tengah’ beliau berkata, mana mungkin stesen televisyen itu dapat melepaskan tugas dan tanggungjawab mengkhabarkan apa yang berlaku terhadap warga Indonesia di Malaysia kepada masyarakat republik itu.
“Mungkin Malaysia berfikir mengapa Indonesia seperti itu bila melihat demonstrasi ditayangkan di TV. Sama juga di Indonesia mereka akan bertanya mengapa Malaysia seperti itu bila melihat pembantu rumah didera.
“Kita hanya menggambarkan apa yang terjadi. Rakyat Indonesia pintar. Mereka dapat berfikir dan buat penilaian. Jika demonstrasi disiarkan di televisyen, masyarakat di Indonesia tidak berasa mereka dalam kecemasan,” beliau mengulas pandangan masyarakat Malaysia yang melihat tindakan media Indonesia memaparkan laporan dan insiden yang melibatkan Malaysia hanya mengundang reaksi negatif rakyat kedua-dua negara.
Tina yang berada di Malaysia selama empat hari turut menegaskan media Indonesia termasuk dari tvOne masih mengamalkan keseimbangan dan berfikir tentang risiko seandainya sesuatu berita berunsur negatif disiarkan untuk tontonan umum.
“Kita berusaha memahami keberagaman. Keberagaman Malaysia yang pelbagai kaum dan agama. Di Indonesia juga ada keberagaman antara mereka yang menonton TV dan membaca surat khabar dengan yang tidak.
“Dalam masa yang sama harus ada pemberitaan baik supaya tak tercermin yang buruk sahaja. Kita beritahu orang Indonesia bahawa orang di Malaysia juga mahu sama-sama memperbaiki masalah ini,” katanya.
Nasionalis yang rasional
Persamaan bahasa, wajah dan warna kulit yang hampir sama bukanlah jaminan kepada hubungan baik di antara masyarakat di kedua-dua negara.
Tindakan Kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) yang membakar bendera Malaysia dan melempar najis di hadapan kedutaan Malaysia di Indonesia September lalu turut dibangkitkan dalam pertemuan ini.
“Tidak hanya Indonesia, saya percaya di antara Malaysia dengan negara jiran lain juga pasti punya masalah sendiri.
“Terlalu naif kalau kita katakan tiada masalah, membuatkan kita tidak berusaha mencapai kesepakatan kerana menganggap kita tiada masalah,” kata Tina memberi pandangan.
Katanya, jarak yang dekat antara kedua-dua negara menjadi faktor utama timbulnya beberapa kemelut kerana ia membuatkan rakyat menjadi lebih peka dan sensitif.
Mengulas mengenai Bendera, Tina berkata kumpulan tersebut mempunyai rekodnya sendiri di Indonesia. Perjuangan dan tindakannya lebih menjurus ke arah kiri yang bersifat negatif.
Justeru katanya, rakyat Malaysia tidak harus gusar dengan kelompok kecil ini, selain memberi jaminan yang mereka sentiasa diawasi polis Indonesia.
“Kita tak beri arahan kepada masyarakat kerana mereka boleh berfikir. Kita tak mungkin kata jangan dengarkan mereka (Bendera) kepada rakyat. Tapi kita mengkhabarkan informasi, seleksinya ada pada mereka juga.
“Mungkin di Malaysia anda tak tahu latar belakang Bendera dan bagaimana persepsi masyarakat di sana terhadap kumpulan ini,” katanya.
Menurut Tina, di Indonesia kumpulan sosialis besar dan tertib berpengaruh berbanding kumpulan kecil seperti Bendera atau individu yang digelar ‘Pahlawan Kesiangan’.
“’Pahlawan Kesiangan’ wujud kerana mereka faham bahawa pihak media itu akan tertarik membuat liputan demonstrasi.
“Mereka ini orang yang mencari perhatian sahaja, cari sensasi. ‘Pahlawan Kesiangan’ terdesak ingin suarakan pendapat dan buat perubahan.
“Kita tak pernah anggap ‘Pahlawan Kesiangan’ sebagai hero,” tegasnya.
tvOne juga pernah menjemput Bendera tidak lama dulu bagi memberi penjelasan tentang tindakan mereka seterusnya bertanyakan apakah manfaat yang diperolehi jika benar Bendera ingin mengganyang Malaysia.
Katanya, walau demonstrasi dibuat bertujuan mempertahankan negara, kebanyakan rakyat Indonesia sedar ia harus dilakukan dengan seimbang.
Malah, terdapat juga demonstrasi yang dibuat dengan tujuan murni dan memberi kesan positif.
“Ramai cendekiawan berkata, kita jangan jadi nasionalis yang tak rasional. Nasionalis juga harus realistik.
“Kita lebih pandang mereka yang berjuang secara tertib. Misalnya Gerakan Indonesia Bersih (GIB), mereka terdiri daripada orang-orang terpelajar,” ujarnya.
Media tidak tanam kebencian
Sebagai wartawan Indonesia yang bertugas di Malaysia, Ade pula berkata beliau dihantar ke negara ini bukan sebagai perisik atau mencari masalah.
“Kita bukan cari masalah, tapi mahu selesaikan masalah. Kalau mengkritik kita tak kritik Malaysia tapi di Indonesia pun mengkritik sama kerasnya,” katanya yang sudah dua tahun berkhidmat di sini.
Dalam pada itu, beliau turut menghargai akhbar The Star yang telah sama-sama berusaha menyelesaikan isu antara Malaysia-Indonesia terutama dalam kes-kes penderaan pembantu rumah.
“Kami kritik kerajaan, jangan hanya dikirim pembantu yang kelas rendah. Majikan yang habis banyak wang akan kecewa dan akhirnya akan berlaku penderaan dan sebagainya.
“Kami dihantar untuk memberi gambaran apa yang berlaku di sini. Demonstrasi di Kuala Lumpur misalnya kami ceritakan bagaimana masyarakat di sini memprotes, menyerahkan memorandum dalam keadaan aman,” katanya yang berharap kerajaan Malaysia akan lebih terbuka dan menerima kehadiran mereka di sini.
Secara keseluruhannya, dapatlah disimpulkan bahawa media kedua-dua negara sama sekali tidak pernah menanam kebencian rakyat terhadap negara jiran sebaliknya berperanan mendidik dan membantu dalam memulihkan hubungan Malaysia-Indonesia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: