Tuesday, November 30, 2010

Cat jersi pasukan bola sepak


BON (dua dari kanan) menetap bersama dua orang sepupunya di Sudio City, North Hollywood, Los Angeles.


KETIKA guru mata pelajaran matematiknya sedang mengajar, seorang budak lelaki berusia tujuh tahun sedang mengelamun di suatu sudut kelas. Beliau sedang mencongak waktu untuk segera pulang ke rumah. Bukan kerana subjek tersebut membosankan, tetapi semangatnya lebih berkobar-kobar untuk menyiapkan jersi bola sepak pasukannya.

Saat itu juga, budak lelaki bermata sepet bernama Bon Zainal Harun yang menuntut di Sekolah Kebangsaan Bandar Pusat Jengka, Jengka, Pahang itu mula memikirkan warna-warna dan reka bentuk cetakan yang sesuai.

Beliau tidak mempunyai peralatan lengkap untuk mencetak rekaan pada baju-T jenama Pagoda yang dibeli pada harga RM3 sehelai itu, namun kreativiti beliau mengatasi kekurangan itu.

Kad manila untuk menekap, alatan squeegee untuk meratakan cat dan kertas surat khabar lama untuk melapik baju-T antara barangan yang digunakan. Ia ringkas, tetapi atas usaha beliau ia sudah cukup berupaya untuk mencetak 12 helai jersi dalam masa seminggu sahaja.

Itu antara kisah awal bagaimana Bon Zainal, 44, mula-mula berkecimpung dalam dunia kreatif merekabentuk persalinan.

Mengimbau kembali waktu-waktu lalu, beliau tidak pernah terfikir untuk merasa rugi kerana memberi perhatian penuh kepada bidang kreatif. Sebaliknya dia berbangga kerana minat itu menjadi sebahagian daripada hidup beliau.

“Pelbagai perkara yang telah saya lakukan demi kepuasan diri sendiri. Bermula sejak kecil lagi, bidang kreatif sudah sebati dalam jiwa saya.

“Sekiranya mempunyai minat yang mendalam kita harus berusaha mencapai suatu tahap yang boleh membanggakan dan tidak menoleh ke belakang,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemubual di kediamannya di Hartamas, Selangor baru-baru ini.

Jiwa kreatif Bon

Ketika zaman kanak-kanaknya, lelaki yang mesra disapa Bon itu adalah seorang yang amat kreatif. Beliau menggunakan segala peralatan dan bahan ringkas yang ada untuk dijadikan media untuknya bereksperimen.

Masa terluang diisi sepenuhnya untuk beliau melakukan sesuatu yang memberikan hasil apatah lagi menetap di kawasan kilang balak yang terletak di Bandar Pusat Jengka, Pahang membuatkan beliau tidak mempunyai ramai rakan untuk bermain.


BON (kiri) bersama ibu dan adik-adiknya ketika meraikan Aidilfitri selepas kepulangan beliau dari LA pada tahun 1990.


Beliau sering menggunakan barang-barang terbuang seperti kasut sekolah lama, perca fabrik kulit, basikal lama dan pelbagai barangan kitar semula untuk dijadikan bahan untuk melepaskan ‘gian’ melakukan sesuatu yang merangsang jiwa kreatifnya.

“Saya pernah tukarkan sepasang kasut sekolah lama kepada but dengan kemasan kulit. Basikal yang bapa saya belikan telah saya ubah suai menjadi lebih cantik dengan bar hendal tinggi,” kata duda dan bapa kepada dua cahaya mata itu.

‘Kegilaan’ beliau bereksperimen dalam bidang fesyen lebih hebat ketika belajar dalam sekolah menengah. Pada tahun 1979 Bon mengikuti bapanya berpindah ke Kuala Lumpur dan meneruskan pengajian menengahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan St. John dan Sekolah Menengah kebangsaan Victoria.

Uniform sekolah ranggi

Di situ, Bon sudah mula menunjukkan taringnya dalam berfesyen. Pakaian seragam sekolah beliau akan menjadi ‘mangsa’ kerana diubahsuai untuk kelihatan lebih ranggi untuk disesuaikan dengan jiwa muda beliau.

Walaupun sering dimarahi guru dan dikenakan tindakan kerana kesalahan berpakaian tidak mengikut piawaian, Bon dan beberapa orang rakan baiknya tidak pernah melakukan perkara lebih buruk. Kenakalan beliau hanyalah dalam berpenampilan di sekolah sahaja.

“Jika orang lain memakai seluar sekolah biasa, saya pula lebih selesa mengenakan seluar dengan potongan jodhpur yang longgar pada bahagian paha dan ketat pada betis,” ujarnya sambil tergelak kecil mengimbas kembali waktu itu.

Bon sejak awal sudah mencongak hala tuju beliau dalam bidang kreatif setelah tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1983. Setelah memperoleh sijil tersebut, beliau mula merantau ke luar negara untuk menimba pengalaman.

Beliau memilih untuk tinggal bersama sepupunya di Los Angeles (LA), Amerika Syarikat. Ketika di sana Bon turut meninjau beberapa buah kolej untuk menimba ilmu dalam bidang hiasan dalaman.

Namun, beliau lebih tertarik untuk mengikuti pengajian dalam bidang penjenamaan fesyen kerana jiwanya lebih kepada bidang penampilan diri apatah lagi tertarik dengan cara hidup dan penampilan masyarakat di Hollywood.

“Mulanya ahli keluarga saya tidak berapa yakin dengan pilihan untuk mengikuti kursus dalam bidang ini di School of Fashion Merchandising, LA.

“Namun saya tekad dan berusaha untuk meyakinkan mereka bahawa anak Melayu juga boleh berjaya dalam bidang ini,” kata lelaki yang pernah berkhidmat sebagai kru restoran makanan segera, pekerja kilang menjahit kusyen dan pekerja memunggah barangan ketika menuntut di LA itu lagi.


BON yang kini terkenal sebagai perunding imej turut memegang jawatan Naib Presiden Persatuan Pereka Bumiputra (BDA).


Label Bon

Kini setelah hampir dua dekad mengabadikan diri dalam bidang fesyen dan penampilan diri, ‘jenama’ sut Bon Zainal sudah dikenali oleh pengamal fesyen negara ini tidak kira ahli perniagaan, ahli politik mahupun selebriti. Bahkan rekaannya yang ringkas dan eksklusif turut diterima oleh pencinta fesyen luar negara.

Selepas pulang dari negara Uncle Sam pada tahun 1990, beliau terus berkhidmat dalam bidang perniagaan dan saban hari Bon sudah lali dengan resmi dunia perniagaan. Baginya, hidup sebagai seorang pereka dan ahli perniagaan tidak akan lari dengan cabaran serta pahit manis.

Tahun hadapan, usia beliau akan mencapai 45 tahun dan menyedari hakikat itu, Bon ingin cepat meletakkan nama beliau di suatu tahap yang labih tinggi. Beliau kini sedang merancang untuk menubuhkan butik pakain siap dengan janama Bon.

“Saya harap butik pakaian siap atas jenama Bon akan duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi seiring dengan jenama pakaian antarabangsa yang terdapat di gedung beli-belah di negara ini,” katanya.

Bakal memberikan lebih perhatian kepada beberapa organisasi persatuan yang disertainya seperti Persatuan Pereka Bumiputra (BDA) dan Persatuan Rasmi Pereka Malaysia (MODA) serta syarikatnya seperti Artiizax Sdn. Bhd., RTZ Marketing Services and Image Consultancy Services, Bon akan memberi peluang kepada anak sulung beliau, Natsaha Erina Bon Zainal, 19, untuk menguruskan perniagaan barunya itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: