Sunday, November 28, 2010

Seribu kali Cinta & Putera Katak

Menerusi jenama Inspirasi Wanita, TV3 mempersembahkan dua kisah cinta yang romantis di slot Akasia “Seribu Kali Cinta” dan slot Lagenda “Putera Katak” menyaksikan perjalanan cinta Nizam dan Miasara yang penuh dugaan serta nasib Putera Amar dalam mencari cinta sejatinya.

Seribu Kali Cinta telah bersiaran sebanyak 5 episod bermula 15 November 2010 lalu di slot Akasia, setiap hari Isnin hingga Khamis jam 6.30 petang. Drama cinta romantis yang menggandingkan pasangan kekasih, Kamal Adli dan Intan Ladyana mengisahkan kesungguhan Nizam (Kamal Adli) dalam membuktikan cintanya terhadap kekasihnya, Miasara (Intan Ladyana) yang mengalami sindrom Amnesia.

Nizam pada asalnya yang mahu bercuti di Pulau Aman telah terpikat dengan Miasara di situ. Walaupun mereka serasi bersama namun apa yang dilakukan oleh Miasara pada hari ini akan dilupakan pada hari keesokannya. Justeru, Nizam hanyalah seorang yang tidak dikenali bagi Miasara apabila menjelang pagi esok.

Nizam tekad untuk mencintai Miasara dengan sepenuh hati walaupun dia perlu melafazkan seribu kali cinta kepada gadis idamannya. Bagi membantu memulihkan ingatan Miasara, Nizam telah merakamkan hubungan mereka. Miasara terharu dengan kesabaran Nizam namun masih tiada perubahan dalam memulihkan keadaannya.

Drama 24 episod arahan Haris Kadir turut membariskan barisan pelakon handalan seperti Norkhiriah, Cat Farish, Marsha Milan Londoh, Rozie Othman, Abu Bakar Omar, Aida Haleda, Shaharuddin Thambi, Idris Mat Diah, Sheila Mambo, Priya Ana dan ramai lagi.

Menyusuli “Ulek Mayang” slot Lagenda bakal menyiarkan “Putera Katak’ yang diadaptasi daripada cerita dongeng “The Frog Prince” mulai 29 November 2010, setiap hari Isnin hingga Khamis jam 4.30 petang. Drama terbaru di slot Lagenda ini akan membawa para penonton ke alam fantasi dan magis Putera Amar dalam menemui cinta sejatinya dalam membebaskan diri daripada sumpahan.

Putera Amar (Zizan Nin) telah disihirkan oleh kekasihnya, Puteri Zadora (Bia Rameshan) yang kecewa apabila Putera Amar tidak menjelma menjadi manusia walaupun sudah diberikan ciuman. Lantas, Putera Amar dibuang ke bumi dan terpaksa menjalani kehidupan sebagai katak selamanya.

Dia yang dibela oleh Trisha (Nora Danish), seorang pencinta haiwan, tetap optimis akan menjadi manusia semula kerana cinta suci akan memulihkan dirinya suatu hari nanti. Malah dia percaya Trisha adalah cinta sejatinya.

Drama terbitan Talisman Pictures ini diarahkan, Adam Hamid serta nukilan skrip oleh Sharifah Abu Salem. Drama 20 episod ini juga membariskan pelakon-pelakon popular seperti Fazren Rafi, Norseha, Bia Rameshan, Kaza, Puteri Sarah, Haniff Karamdin, Liza Abdullah, Hamidah Wahab, Mak Jah dan ramai lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: