Monday, November 29, 2010

Dafi & Farah Serius Ceburi MLM Power Impian

Dafi dan Farah menceburi MLM Power Impian sejak April 2010.

SHAH ALAM: Penyanyi Dafi dan Farah serius menceburi perniagaan jualan langsung (MLM) Power Impian, anak syarikat Kumpulan Power Root sejak April lalu.

Selain mereka, aktor Rosyam Nor turut terlibat dalam perniagaan tersebut.

Kata mereka, setelah dilantik sebagai duta Power Root, secara automatik mereka menjadi ahli Power Impian.

Farah menjadi duta Power Root sejak tahun 2004 manakala Dafi pula bergelar duta sejak April tahun ini.

“Agak sukar juga hendak mengendalikan perniagaan MLM ini kerana kami juga perlu mencari orang di bawah kami.

Ahmad Dhani menjadi perhatian ramai penonton.

“Namun setelah dibantu oleh ketua, saya semakin seronok untuk menerokai bidang ini. Walaupun kadangkala perniagaan ini bergerak perlahan, kami cuba melakukan sesuatu,” kata Farah kepada mStar Online.

Farah dan Dafi menjayakan persembahan nyanyian sempena Konvensyen dan Anekarama Mengejar Impian di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, Sabtu. Turut serta dalam menjayakan majlis itu adalah Rosyam Nor dan penyanyi Indonesia, Ahmad Dhani dan Maha Dewi.

Majlis anjuran Power Root itu turut menyalurkan sumbangan bernilai RM30 bagi setiap 200 tiket pertama kepada Tabung Prihatin SACC.

Farah juga berkata biarpun banyak cerita kurang baik tentang MLM yang tersebar sebelum ini, dia tidak pernah putus semangat untuk meneruskan bidang tersebut.

“Saya tidak takut menceburi MLM Power Impian kerana perniagaan ini mempunyai lesen,” ujarnya bersungguh-sungguh.

Sementara Dafi menganggap dirinya tidak pernah terfikir untuk menceburi bidang tersebut pada usia 22 tahun ini.

“Saya masih mencuba melakukan MLM dan pihak Power Impian banyak memberikan tunjuk ajar. Saya selalu turun padang dan mengikuti acara yang mereka anjurkan seperti majlis pada hari ini,” ujarnya yang turut menyampaikan beberapa buah lagu.

Tambah Dafi, Power Root dijangka akan meluaskan pasaran mereka ke Indonesia pada bulan Disember ini. Jadi, sebab itu mereka turut menjemput artis dari Indonesia seperti Ahmad Dhani dan Maha Dewi untuk menjayakan persembahan tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: