Monday, November 29, 2010

Cinta alam bermula sejak kecil

SERBA MENGHIJAU...pokok sering membuat dirinya teruja.
SERBA MENGHIJAU...pokok sering membuat dirinya teruja.

TUN Jeanne Abdullah menyambut kami sebelum meminta diri mahu bersiap. Sambil menung�gu, kami dihidangkan makanan.

Tidak sangka, hari itu dapat menikmati makanan kegemarannya dan suami iaitu bubur tepung.

  • Foto

    JEANNE...aktiviti menanam pokok antara cara rapatkan hubungan keluarga.

  • Foto

    SIAPA SAJA BOLEH MENANAM...bagi Jeanne, tidak perlu tangan yang subur untuk bercucuk tanam.

  • Foto

    HIJAUKAN BUMI...Jeanne menanam pokok pada satu acara di Kota Iskandar, Nusajaya, Johor. Kiri sekali, Abdullah. Gambar dirakam pada November 2009.

  • Foto

    WARNA-WARNI...Jeanne memperkatakan sesuai dalam satu acara di Taman Seribu Bunga di Ayer Keroh, Melaka. Gambar dirakam pada Ogos 2009.

Masih ingat lagi pada pertemuan kami dengannya setahun yang lalu, menu bubur tepung inilah yang disebutnya sebagai makanan yang ‘biasa-biasa’ yang suka dinikmati bersama suami, kini mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi setelah bersara.

Terus-terang, bukan sahaja penulis, tetapi ramai rakan yang tidak tahu mengenai bubur tepung.“Bagaimana bubur?” tanya Jeanne sebaik turun semula menemui kami.


Semua yang ada di meja makan kekenyangan kerana kesedapan bubur itu.

“Inilah makanan yang bagi saya ‘biasa-biasa’ saja, yang saya dan suami gemari. Ia sekadar tepung yang diricih, sama seperti kuih gunting, kemudian dimasukkan ke dalam sup kuah udang. Ada persamaan dengan masakan Cina, tetapi rasanya berlainan,” katanya.

Ia hidangan tradisi Jeanne sekeluarga dan sambal yang dihidang bersama bubur itu sangat sedap rasanya kerana ia berencah udang kering. Bawang merah goreng dan bawang putih goreng penambah rasa. Hirisan limau adalah pilihan, tetapi setelah memerahnya, rasa masam sungguh menyegarkan.

Kami ke ruang bersebelahan ruang makan tadi, ia lapang dan terang kerana berdinding kaca.

Kata Jeanne, ia tempat kegemaran anak cucunya bersantai. Ada buaian bulat yang menarik perhatian kerana ia berwarna jernih.

Kami nampak budak kecil lelaki datang, bersalam, kemudian hilang bermain di kawasan rumah yang menghijau. Rupa-rupanya itu anak Nori Abdullah Badawi dan Khairy Jamaluddin. Cucu kesayangan itu bermain riang sekali.

Jeanne membetulkan duduk dan penulis perasan busana yang dikenakannya amat menarik. Baju berpotongan Kedah, tetapi tengkuknya pula ala Mandarin. Kombinasi yang kreatif.

“Asalkan ia nampak elok pada saya dan ala Malaysia, saya tidak cerewet. Selalunya adik dan anak saya yang mereka pakaian saya kerana saya sendiri memang tiada masa untuk itu,” katanya.

Jeanne memang suka bersederhana baik daripada segi pakaian dan perhiasan yang dipakainya.

Hari itu dengan perhiasan rantai dan gelang mutiara, Jeanne tampil anggun membuatkan kita rasa selesa bersamanya.

Ruang sekeliling rumah Jeanne yang menghijau menjadi bukti utama ciri-ciri yang ada pada orangnya. Tentu saja dia seorang yang amat menghargai kehijauan.

“Saya banyak dipengaruhi oleh ibu bapa saya terutama mengenai kecintaan kepada alam dan pohon menghijau. Dahulu kami tinggal di Petaling Jaya dan ibu bapa mendidik kami adik-beradik menanam pokok dan menghargai apa yang kami tanam.

“Begitu juga keakraban antara keluarga. Ibu bapa memastikan makan malam mesti bersama. Janganlah cakap tak lapar dan tak mahu makan. Makan sikit pun tidak mengapa. Kalau tidak mahu makan mereka akan tanya, mengapa? Sakitkah?” kenang Jeanne pada zaman kanak-kanaknya yang indah.

Mengimbau kenangan lama, Jeanne dan tiga adik�nya kadang-kadang sekadar berkelah di luar rumah mereka sendiri. Ia acara luar rumah yang sangat mereka gemari. Emak akan memantau dari jauh dan mereka adik beradik bermain bersama-sama.

Semua adik-beradik Jeanne memang mencintai kehijauan kerana dilatih begitu oleh ibu bapa mereka.

“Masih ingat lagi bagaimana bapa mengajar menanam dan cara menjaga pokok. Membalut pokok pun diajar. Waktu itu kami pernah menanam belimbing besi, pokok nona, tembikai dan banyak lagi.

“Hujung minggu adalah waktu bersama keluarga, kami menanam pokok bersama, emak menyiram bunga dan bapa memotong rumput,” katanya.

Bermakna acara keluarga Jeanne tidak perlu berjalan jauh atau ke tempat lain sebaliknya di kawasan rumah mereka sahaja.

“Untuk merapatkan hubu�ngan sesama keluarga, ibu bapa membawa anak-anak ke taman berdekatan pun tidak mengapa, tidak perlu jauh-jauh kerana kita tahu zaman ini ibu bapa sentiasa sibuk. Namun luangkan juga masa bersama keluarga.

“Walau pun hanya bawa bihun atau biskut, percayalah, anak-anak akan rasa sedap kerana suasana yang lain daripada biasa,” katanya.

Harinya sentiasa sibuk walau katanya tidak sesibuk dahulu ketika suaminya masih perdana menteri.

Beliau kini tampak tidak menonjolkan diri namun kerja kemasyarakatan tidak pernah lekang dari hati.

“Saya orang yang tidak tahu duduk diam. Sentiasa ada program. Contohnya bersama Landskap Malaysia dan Sekretariat Malaysia Prihatin.

“Tidak semuanya apa yang saya lakukan bersama pertubuhan itu perlu diumumkan selalu kepada masyarakat, tetapi bagi kes Landskap Malaysia kami rasa perlu mewujudkan kesedaran berterusan terutama kepada kanak-kanak.

“Kenapa kita perlu mempunyai pokok? Kenapa pokok penting kepada kita? Pendek kata bukan hanya pada kanak-kanak, tetapi kepada semua orang juga.

“Kami harap orang ramai menyokong usaha ini dan bersama kami menjayakan�nya,” katanya.

Peringat Jeanne, tumbuh-tumbuhan bukan hanya mengeluarkan oksigen dan menyerap karbon dioksida, tetapi terlalu banyak kegunaan lain seperti untuk perubatan, keteduhan dan makanan.

“Ramai yang tak tahu, ada banyak ubat dalam hutan atau pun sekadar kebun kita. Jadi jagalah bumi dan kehijauan bukan untuk diri sendiri, tetapi kepada anak cucu kita nanti.

“Masyarakat perlu sedar betapa perlunya kita menambah jumlah pokok di Malaysia,” katanya.

Selain mengekalkan kehijauan, saling berkait rapat de�ngannya ialah mengitar semula terutama sekali penggunaan plastik.

Plastik sukar dihapuskan dan memerlukan beribu-ribu tahun untuk lupus dan sekiranya hendak menghapuskannya, ia perlu dibakar dan akan membebaskan gas yang berbahaya.

“Plastik memang pernah membuat hidup kita senang, tetapi dengan keadaan sekarang, dengan segala kesedaran mengenai mengekalkan alam sekitar, gunalah plastik dengan berhemah. “Kitar semula plastik seboleh mungkin atau lebih baik lagi jika jangan guna terus.

“Waktu membeli-belah atau ke pasar, bawa beg atau bakul sendiri, itu lebih baik untuk dijadikan kebiasaan. Dahulu begitulah gaya hidup orang kita, tetapi sekarang kita semakin terbiasa dengan ‘kesenangan’ plastik ini.

“Di Malaysia kita sangat mewah dan dimanjakan. Emak saya pernah berkata Malaysia ialah negara yang penuh de�ngan susu dan madu. Semua orang hidup senang dan sekarang hendak menumbuk, orang pakai pengisar elektrik.

“Tapi nampaknya kita semua sedar dan mengakui buat sambal belacan pakai lesung batu juga yang sedap. Jadi, ciri-ciri tradisional perlu dikekalkan dan hasilnya lebih baik untuk kita juga,” katanya.

Bagi mereka yang tidak suka berkebun atau menanam bu�nga, cubalah memupuk minat itu walau bermula dengan kecil-kecilan dahulu.

“Tanam sepasu dua dan lihat sendiri perkembangan pokok itu. Daripada ia kecil kemudian membesar, kita akan dapat rasa kepuasannya. Saya juga selalu ingatkan, sekiranya makan rambutan dan durian, ketika hendak membuang biji�nya fikir banyak kali dahulu.

“Fikir 20 kali pun tidak me�ngapa kerana melalui biji itu kita boleh tanam dan akan tumbuh pokok yang sama. Bila ia besar kita boleh makan buahnya, sekiranya kita tak boleh makan orang lain boleh makan. Sekiranya orang pun tidak makan, binatang-binatang boleh makan. Bukankah itu pahala namanya.

“Cuba tanam walau sekadar cili padi sahaja. Sama ada untuk makan sendiri atau boleh disedekah pada jiran tetangga. Sekiranya banyak boleh jual dan dijadikan pendapatan. Walaupun tinggal di rumah pangsa sekali pun, tanam di dalam pasu pun boleh.

“Ada pokok atau bunga-bu�ngaan dalam rumah, kita akan rasa teduh dan nyaman, sejuk mata memandang,” katanya.

Bercerita mengenai kebiasaannya, pokok sentiasa menjadi sesuatu yang membuat dirinya teruja.

“Setiap pagi, selepas Subuh, buka tingkap saja terus tengok pokok bunga sekitar dan tahu ada tangkai baru yang baru tumbuh atau ada bunga yang baru berkembang. Rasa teruja sukar digambarkan, suami pun sama dan kami sama-sama tengok bersama segala keindahan kehijauan yang ada di sekitar kami,” katanya lagi.

Selalu orang kata untuk bercucuk tanam perlu mempu�nyai tangan yang subur (green fingers), tetapi Tun Jeanne menafikannya.

“Saya tidak mempunyai ‘green fingers’ dan tangan saya agak panas, tetapi minat dan kasih yang mendalam pada pokok yang membuat�kan segalanya menjadi. Semuanya kerana kehendak saya sendiri dan saya yakin semua orang pun begitu,” katanya.

Maka tiada alasan kita tidak menanam sebatang pokok pun kerana kita semua perlu peka pada apa yang bakal menimpa negara kita di masa depan. Negara kita tanpa pokok? Memang sungguh menakutkan.

“Banyak kelebihan apabila kita bercucuk tanam. Apabila masak sayur daripada hasilan sendiri, kita rasa puas hati. Saya sendiri seronok apabila makan sayur sendiri.

“Banyak yang saya tanam antaranya sawi, bendi, tomato, cili padi dan sekarang hendak mula menanam pokok herba pula.

“Kalau boleh saya mahu setiap keluarga menanam satu pokok bersama. Bersama-sama datuk, nenek dan sekeluarga bersama cucu cicit pun tidak apa. Ia jadi acara keluarga yang merapatkan hubungan selain sama-sama menyayangi kehijauan.

“Biarkan pokok itu nanti diingati oleh anak cucu kita dan mereka akan tahu betapa pentingnya pokok itu pada kita semua.

“Kalau orang tak suka pokok dan tumbuh-tumbuhan saya rasa sedih dan hairan kerana ia sangat penting dan berguna pada kita. Ibu bapa kena ajar anak-anak supaya tahu kepentingan kehijauan pada dunia kita.

“Gunakan juga aktiviti menanam pokok bersama anak-anak sebagai cara merapatkan hubungan. Percayalah mereka akan teruja setiap kali melihat anak daun mula keluar dari batang dan mahu melihat ia terus membesar dan subur menghijau,” katanya.


INFO

> Tun Jeanne Abdullah anak sulung daripada empat beradik. Menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah dan Mene�ngah Assunta, Petaling Jaya.

Mempunyai pengalaman yang amat luas di bidang perhotelan. Jeanne menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri mantan Perdana Menteri sehingga Mac 2009.
Jeanne mempunyai dua cahaya mata perempuan iaitu Nadiah Kimie dan Nadene Kimie.

Selepas persaraan Tun Abdul�vlah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri, Jeanne terus aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan memegang jawatan dalam pertubuhan bukan kerajaan seperti Pengerusi Sekretariat Malaysia Prihatin, Pengerusi Landskap Malaysia, Penaung Majlis Paralimpik Malaysia, Canselor Universiti Terbuka Malaysia dan Pengerusi Dana Kemanusiaan untuk Kanak-kanak Gaza.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: