Monday, November 22, 2010

Timor Leste lubuk baru China


PRISCILLA menunjukkan sajian di Brothers Burger yang menjual hidangan seperti ayam goreng, burger dan kentang goreng.


SEBUAH jed berbentuk gajah berwarna hijau menjadi hiasan di sebuah restoran burger di Timor Leste.

Dengan pelanggan-pelanggan berselang-seli menikmati hidangan burger dan kentang goreng di restoran itu, jed tersebut bukan sahaja menjadi lambang kejayaan kedai makan itu, tetapi juga petunjuk asal-usul pemiliknya.

Restoran Brothers Burger merupakan salah satu daripada tiga rangkaian makanan segera yang menghidang menu ala Amerika di Timor Leste. Apa yang pasti ketiga-tiga restoran terbabit dimiliki dan dikendalikan warga China yang melabur di negara kecil berkenaan.

Biarpun menyediakan sajian ala Amerika, tetapi restoran Brothers Burger yang terletak di Dili, ibu negara Timor Leste beroperasi dengan pemikiran peniaga China sejati.

Ini kerana selain menghidangkan makanan, sebahagian restoran berkenaan diasingkan untuk dijadikan kedai barangan peralatan mainan, tempat simpanan peralatan dan gajet-gajet elektronik dari China.

Malah, di bangunan restoran itu juga disediakan studio mengambil gambar pasport yang diusahakan oleh peniaga China sekiranya ada pelanggan yang perlu bergegas mendapatkan foto pasport selepas makan.

Pelabur dari China

Pengurus Brothers Burger, Priscilla Soh berkata, syarikat pengendali restoran tersebut iaitu Brothers Enterprises yang berpangkalan di China menjalankan perniagaan tanpa pengkhususan satu-satu produk atau perkhidmatan.

Jadi bukanlah menghairankan apabila Brothers Enterprises menggabungkan kedai makan berusia dua tahun itu bersama perniagaan lain untuk menaikkan keuntungan.


DILI kini sedang membangun selepas berjaya muncul sebagai sebuah negara merdeka pada tahun 2002.


"Jika anda berani datang ke sini dan mengambil risiko, anda boleh mendapat keuntungan. Saya sangat menggalakkan rakan-rakan dari Barat yang hendak datang dan melabur di sini," ujar Priscilla.

Bagi rakan dari China pula katanya: "Bukan perkara mudah untuk berniaga di sini kerana sudah terlalu ramai orang China di Timor Leste."

Rangkaian makanan segera tersebut telah membentuk satu lapisan peniaga pertengahan baru di Timor Leste yang sebenarnya sebuah negara kaya dengan sumber asli.

Negara berkenaan yang mempunyai populasi kira-kira satu juta orang penduduk itu membentuk sebuah negara baru pada tahun 2002 dan sehingga kini masih bergantung kepada bantuan asing untuk terus membangun.

Jika dilihat daripada perspektif perniagaan di Timor Leste, kelompok pelabur China lebih kepada rangkaian bisnes yang dikendalikan secara hubungan keluarga.

Namun, jika dilihat daripada sudut yang lebih luas, bukan sedikit yang telah didermakan China untuk melonjakkan ekonomi serta politik di Timor Leste.

Beijing telah membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk membina rumah agam baru presiden, bangunan Kementerian Luar Negeri dan ibu pejabat ketenteraan yang masih dalam pembinaan.

Bangunan-bangunan tersebut merupakan struktur baru paling menarik di Dili.

Bagaimanapun di sebalik 'limpahan kasih sayang' China itu, ia telah mencetuskan kebimbangan merentasi beberapa pihak terutamanya kuasa besar seperti Australia yang melihat China cuba memberi pengaruh kepada Timor Leste.

Profesor Hugh White dari Pusat Strategik dan Pertahanan Universiti Kebangsaan Australia memberitahu Radio ABC, kepentingan China di Timor Leste merupakan sesuatu yang perlu diambil berat oleh Australia.

"Mengimbas kembali abad ke-18, rakyat Australia sentiasa sensitif terhadap idea kuasa besar merancang memasuki negara tertentu," katanya.

Media Australia membuat banyak andaian daripada pembelian dua kapal peronda Vintage Shanghai Class 1960 bernilai AS$25juta (RM77 juta) oleh Timor Leste pada tahun 2008.

Bahkan, media mengaitkan terdapatnya hubungan ketenteraan yang kuat antara Beijing dan Dili.

Presiden Timor Leste, Jose Ramos-Horta yang sebelum ini dikenali sebagai rakan rapat Australia, bagaimanapun secara terbuka mentertawakan kebimbangan tersebut.


JURUJUAL Brothers Burger sedang melayan seorang pengunjung di restoran itu.


"Saya memberi jaminan kepada rakyat Australia bahawa rakyat Timor Leste dan China bukan membentuk tentera laut dan pangkalan tentera udara untuk menyerang Australia," katanya berseloroh.

Beliau berkata: "Rakyat Australia boleh hidup dengan aman, mereka tidak perlu terburu-buru mempelajari Mandarin."

Presiden itu menambah, Australia tidak sepatutnya bersikap terlalu sensitif kerana Timor Leste perlu bersikap terbuka apabila ada negara yang menghulurkan persahabatan.

"Australia tidak pernah bimbang saat mereka menjual banyak perkara kepada China, sedangkan ketika kami membeli sedikit dari negara China mereka begitu cepat melatah," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: