BERKAT hati yang ikhlas mendalami Islam, Mariam Abdullah, bersyukur kerana masih bernafas sebagai Muslim. Biarpun terpaksa mengharungi pelbagai onak duri serta ujian yang tidak putus, namun segala-galanya dapat diatasi dengan baik.
Kunci utamanya adalah bersujud kepada Allah dan berdoa agar kekuatan imannya teguh sehingga ke akhir hayat. Apatah lagi pernah suatu ketika dahulu wanita berusia 53 tahun itu nyaris kembali ke agama asal.
Ia disebabkan pernah terasa tersisih dengan masyarakat sekeliling yang beragama Islam. Dalam pada itu sudah berputus asa dan tertekan untuk terus mendalami agama Islam gara-gara menerima sindirian hebat daripada kelompok masyarakat agama asalnya.
Tetapi berbekalkan iman dan pesanan ibu angkatnya yang tidak pernah lekang di fikirannya, Mariam cuba mengawal diri.
"Masih terngiang-ngiang suara ibu. Dia selalu berpesan agama dididik moden dibela, dunia dikelek akhirat dijunjung.
"Meskipun ibu memberi nasihat itu, sewaktu saya berusia 16 tahun tetapi ia cukup relevan dipraktikkan dalam kehidupan hari ini. Maksud ibu, tak salah mengamalkan gaya hidup urban tetapi pegangan agama perlu kuat agar akidah tidak mudah terpesong," imbas Mariam mengenai keluhuran hati ibu angkatnya, Zainon Munshi Sulaiman atau terkenal dengan panggilan Ibu Zain.
Mariam yang kini bertugas sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam, Bahagian Penerbitan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Putrajaya, melahirkan rasa bertuah kerana berpeluang menjadi anak angkat dan pelajar di bawah naungan Ibu Zain di Kolej Puteri Tunku Mariam Johor Bahru dalam aliran sastera.
Begitu banyak pengalaman manis dikutip bersama Ibu Zain, selama dia menuntut di sekolah berkenaan.
Sememangnya karisma Ibu Zain disanjung tinggi. Dia merupakan tokoh guru, nasionalis dan pejuang hak wanita yang banyak berjasa sejak era sebelum negara mencapai kemerdekaan.
Kecekalannya menempuh kehidupan pada zaman penjajahan Inggeris, Jepun, komunis, darurat dan kebangkitan Malayan Union sehinggalah Tanah Melayu (Malaya) mencapai kemerdekaan perlu dijadikan iktibar dan pemangkin kepada wanita moden hari ini.
Tutur Mariam selanjutnya, Ibu Zain seorang wanita yang lemah-lembut dan sarat dengan nilai kasih sayang. Namun dia tegas ketika mendidik. Sejak Ibu Zain dilantik sebagai pengetua di sekolah berkenaan pada tahun 1963, dia berusaha memberi pendidikan terbaik kepada pelajar.
Walaupun kelas harian berlangsung seperti biasa, Ibu Zain sanggup mengadakan kelas tambahan agama pada hujung minggu. Pada sesi tersebut para pelajar diberi penekanan pada ilmu agama dan fardu ain.
Atas faktor tersebut anak kedua daripada 13 orang adik-beradik itu tidak pernah bosan belajar sehingga meningkat dewasa.
"Genap usia 25 tahun saya mula bekerja sebagai bekas guru mubaligh dalam kalangan saudara baru di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim). Meskipun jadual harian padat dengan aktiviti mengajar keinginan untuk belajar sentiasa ada.
"Lalu saya mengambil keputusan bekerja sambil belajar. Mula-mula memang sukar membahagi masa antara kerja dan belajar tetapi bak kata pepatah alah bisa tegar biasa," kata ibu kepada lima orang cahaya mata itu yang berjaya memegang segulung Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Syariah) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada usia 46 tahun.
|
|
Suka duka mualaf
Saat ditanya mengenai kehidupannya sebagai saudara baru Islam, Mariam diam sejenak. Luah Mariam yang bergelar mualaf pada usia 13 tahun dia pernah diperlekehkan kerana terlalu mentah bertindak sedemikian.
Sesetengah individu berpendapat keputusan Mariam berhijrah kepada agama Islam kerana hanya terpengaruh dengan keputusan ibu bapa dan abang sulungnya. Memandangkan, adik-beradiknya yang lain tidak menukar agama.
Namun Mariam sedikitpun tidak terasa hati. Dia sedar keputusan memeluk Islam merupakan tindakan tepat kerana sebelum ini dia hidup tanpa berlandaskan pada mana-mana agama.
"Saya berfikiran positif. Setiap ujian yang diciptakan Allah pasti ada hikmah disebaliknya. Jika individu yang dilahirkan sediakala Muslim pun tidak terlepas daripada ujian Allah, apatah lagi mualaf seperti saya.
"Terlalu banyak pahit getir ditempuhi sepanjang bergelar mualaf. Tersepit antara masyarakat asal dan kelompok masyarakat baru merupakan cabaran paling besar," jelas Mariam ketika ditemui Kosmo! di pejabat Jakim, Putrajaya baru-baru ini.
Menghormati masyarakat asal
Maka jalan terbaik, Mariam berusaha mengekalkan ukhwah dalam kalangan saudara asal dan membina hubungan dalam komuniti Islam.
Ramai berpendapat apabila memeluk Islam secara automatik individu tersebut berketurunan Melayu, sedangkan yang berubah itu hanyalah agama bukannya keturunan.
"Sebab itu saya berbahasa Kantonis dan Mandarin apabila berkomunikasi dengan saudara-mara, bukannya berbahasa Melayu. Lagipun itu bahasa ibunda saya.
|
|
"Saya fasih dalam dialek Hokkien, Teochew dan Hakka. Begitu juga bahasa Inggeris dan Arab.
Disebabkan fasih pelbagai bahasa, Mariam pernah berkhidmat sebagai Penterjemah Bahasa Cina di Unit Siaran TV (RTM) untuk sesi terjemahan bahasa Mandarin bagi program Syahadah, Info Focus, Healthy Cooking with Agnes Chang dan Feng Shui dalam bahasa Kantonis.
Dengan kekuatan latar belakangnya itu terutamanya penguasaan bahasa, Mariam diberi kepercayaan untuk menterjemahkan Tafsir al-Quran Pimpinan Ar-Rahman juz ke-30 versi Mandarin.
Tafsir yang disemak oleh Alina Wong Abdullah manakala Prof. Madya Obeidillah Mohamad yang bertindak sebagai pentashih bertujuan menyampaikan mesej dan pengenalan Islam dalam bahasa yang mudah difahami kepada saudara baru Cina atau Cina Muslim sesuai dengan perkembangan semasa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: