Monday, November 22, 2010

Annita nadi Curlers & Trimmers




BERDIRI di depan salun Curlers & Trimmers yang terletak di Desa Sri Hartamas, Selangor terbit rasa kagum apabila mengetahui ia merupakan hasil usaha gigih seorang wanita bumiputera. Melangkah masuk ke dalam ruang salun dua tingkat itu, dekorasi warna hitam putih lekas menangkap pandangan mata.

Salun itu menempatkan ruang menggunting dan mencuci terbuka selain sebuah bilik khas untuk pelanggan yang mahukan khidmat mendandan rambut secara tertutup.

Dengan lima orang kakitangan yang sedia melayan dan memenuhi apa juga fesyen potongan rambut mengikut kehendak anda, yang pasti Curlers & Trimmers bukan direalisasikan dalam sekelip mata.

Ia merupakan hasil keringat tanpa penat lelah dan bersandarkan minat mendalam seorang wanita bernama Annita Datuk Hashim, 48.

Percaya atau tidak Curlers & Trimmers sudah pun menjangkau usia 28 tahun. Maka, bukanlah menghairankan saat mendengar resume Annita, ternyata dia bukanlah calang-calang pendandan rambut.

Pelanggan VIP

Di tangan Annita lebih daripada 10 orang kerabat diraja setia mendapatkan khidmat dandanan rambut daripadanya. Malah, tidak terhitung jumlah golongan kenamaan yang memberikan kepercayaan kepada beliau untuk memastikan mahkota kepala mereka sentiasa menyerlah untuk penampilan seharian atau saat menghadiri acara-acara tertentu.

Bagaimanapun, berpegang kepada prinsip menjaga privasi pelanggannya Annita tidak mahu mendabik dada menamakan siapakah kerabat diraja atau golongan kenamaan yang mendapatkan khidmat dandanan di Curlers & Trimmers.

Saat diajak berbual mengenai Curlers & Trimmers, akui Annita, bukan sedikit dugaan yang perlu ditempuhi untuk menggapai minatnya dan dalam memiliki sebuah salon sendiri.


BERMULA daripada bawah Annita membuktikan kesungguhan diiringi minat yang mendalam telah mendorong kejayaannya hari ini sebagai pendandan rambut elit.


“Ketika tahun 70-an tidak ramai orang Melayu bercita-cita untuk cenderung dalam bidang dandanan rambut kerana selain perlu belajar di luar negara, kos yang tinggi adalah penghalang paling besar.

“Tetapi ketika itu saya tetap dengan pendirian untuk mengikuti pengajian dandanan rambut di negara orang,” kata Annita yang pernah dibesarkan di Alor Setar, Kedah bersama nenek kesayangannya sehingga berusia 13 tahun.

Mujur ketika itu, hasil bantuan bapa saudaranya, Annita berjaya mendapat pinjaman pelajaran sejumlah RM10,000 daripada Yayasan Tunku Abdul Rahman.

Walaupun jumlah tersebut sekadar mencukupi untuk kegunaan kelas pembelajaran dan bayaran yuran, semangat juang saat melangkah kaki ke Alan International School of Hairdressing, United Kingdom (UK) tetap menebal dalam dirinya. Ketika itu usia Annita baru mencecah 19 tahun.

Menyedari bekalan RM10,000, tidak boleh menampung keperluan hariannya, Annita terpaksa bekerja sambilan sepanjang dua tahun di bumi UK.

“Ketika itu saya mampu memperoleh RM1,000 sebulan hasil kerja sambilan. Jadi duit tersebut diguna sebagai belanja kehidupan di sana,” ujarnya sambil memberitahu pernah menjadi pengasuh bayi di sana.

Kehidupan di UK

Sedang seronok mengecapi dunia fesyen rambut antarabangsa dengan usia yang masih muda, pastinya Annita ingin merangkul seberapa banyak ilmu untuk dibawa pulang ke Malaysia suatu hari nanti.

Memandangkan ketika itu salun eksklusif yang terdapat di Kuala Lumpur tidaklah segah pada hari kini, sebab itulah hatinya berkobar-kobar untuk menimba ilmu demi tidak mensia-siakan peluang yang dimilikinya di UK.

Di sana, anak kedua daripada tiga beradik itu pernah bekerja dengan tenaga fesyen rambut terkemuka seperti Tony & Guy dan Vidal Sassoon.

Kecemerlangannya ketika menuntut di Alan International School of Hairdressing telah membuka jalan lebih besar kepada Annita apabila diberi tawaran berkhidmat sepenuh masa di akademi tersebut.


SEORANG model sedang mendapat sentuhan Annita (kanan) untuk acara peragaan fesyen.


“Inilah antara peluang pekerjaan yang saya nanti-nantikan sekian lama. Pelajar yang bagus biasanya akan menerima tawaran bekerja di Alan International School of Hairdressing,” ujarnya.

Namun, siapa sangka apa yang dihajati tidak semestinya dapat dikecapi. Antara keluarga dan kerjaya, kali ini Annita terpaksa mendahulukan bapanya.

Ini kerana bapanya tidak bersetuju dengan tawaran itu dan meminta Annita pulang ke tanah air. Akur dengan permintaan itu, namun ternyata menjadi anak yang soleh telah membuka satu jalan yang lebih bermakna dalam hidup Annita.

Salun sulung

Sejurus tiba di Malaysia, dia tidak berdiam diri di rumah, sebaliknya segera menyewa sebuah lot kedai yang kecil di Wisma Lim Foo Yong, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur sebagai lokasi salun Curlers & Trimmers pertama.

“Banyak saya korbankan demi mencapai hajat untuk memiliki salun sendiri. Sebab itu saya sanggup keluar berjalan kaki dari Bukit Damansara ke Jalan Dungun untuk menahan bas atau teksi bagi menuju ke salun.

“Selama lima tahun saya melalui kehidupan itu sebelum membeli kenderaan pertama iaitu kereta Proton Saga,” katanya lagi.

Disebabkan sikapnya yang dapat mengawal perbelanjaan, Annita kemudian mampu berpindah ke lokasi lebih selesa iaitu di Desa Sri Hartamas pada awal 90-an.

Kagum dengan pencapaiannya kerana terpaksa bersaing dengan 30 buah salun lain di sekitar Desa Sri Hartamas, hati tertanya bagaimana Annita mampu mengekalkan salun dua tingkatnya itu mencecah usia tiga dekad.

Jelasnya, jangan jadikan bidang yang diceburi itu sebagai pekerjaan sebaliknya anggaplah ia sebagai karier. Di samping itu, gelaran pendandan rambut bukannya tertakluk kepada kreativiti menggayakan rambut pelanggan semata-mata.


CURLERS & TRIMMERS kini sudah menjangkau usia 28 tahun, bermula di Jalan Raja Chulan sebelum berpindah ke salon lebih luas di Desa Sri Hartamas.


“Harus diingatkan untuk menjadi pendandan berjaya, seseorang itu perlu memahami dunia sains. Pengetahuan tersebut amat berguna bagi meneliti ramuan bahan dandanan rambut yang akan digunakan.

“Kalau tidak faham mengenai kandungan produk, macam mana anda ingin memberi nasihat kepada pelanggan yang mengalami masalah rambut,” tuturnya yang masih mengekalkan prestasi sebagai Duta Salun Redken iaitu jenama produk rambut terkenal selama 20 tahun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: