Wednesday, November 24, 2010

Tiga maut nahas awal pagi


ORANG ramai melihat keadaan sebuah van yang remuk hingga mengakibatkan tiga terkorban dalam kemalangan di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Tiga lelaki maut manakala seorang wanita cedera dalam kemalangan yang membabitkan tiga buah kenderaan berdekatan dengan Sekolah Menengah Kuen Cheng di Jalan Syed Putra di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.10 pagi itu, Lee Fong Hoo, 36, Oo Der Heng, 25, dan Raja Nazreen Raja Sulong, 34, masing-masing mati di tempat kejadian akibat tersepit dalam kenderaan yang dinaiki mereka.

Fong Hoo yang memandu Honda Civic bersama Der Heng menuju ke pusat bandar dikatakan baru pulang daripada bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di Jalan Kuchai Lama.

Apabila sampai di lokasi kejadian, kenderaan yang dipandu Fong Hoo dikatakan hilang kawalan lalu terbabas hingga memasuki jalan bertentangan dan bertembung dengan van yang dipandu oleh Raja Nazree.

Raja Nazree yang bekerja sendiri memandu dari arah Petaling Jaya.

Sebuah kereta Proton Iswara yang dipandu oleh Siti Aishah Ahmad Shahidan yang mengekori van tersebut bagaimanapun tidak sempat mengelak lalu melanggar kenderaan itu.

Siti Aishah, 23, yang bekerja sebagai eksekutif di sebuah bank hanya cedera ringan dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: