Tuesday, November 9, 2010

Tarikh kahwin 11.11.11




PUAS dipujuk, dia tetap berkeras dengan pendiriannya. Utuh. Ezlynn masih tidak mahu mendedahkan siapa calon suami yang bakal dikahwini tahun hadapan.

“Calon suami saya, biarlah saya rahsiakan dulu, belum waktunya saya mendedahkan secara terperinci mengenai dirinya,” tutur Ezlynn lembut.

Sebelum ini, Ezlynn pernah mengeluarkan kenyataan mengenai jejaka berusia 30-an yang juga seorang ahli perniagaan adalah ‘teman’ yang cukup rapat dengannya.

Cuma Ezlynn menegaskan, jejaka pilihannya itu bukanlah seorang kenamaan atau yang berharta tetapi cukup sekadar tidak mengongkongnya daripada melakukan aktiviti seni serta tidak cemburu buta. “Selain itu, saya juga inginkan seorang suami yang beriman supaya dapat memimpin diri ini kelak dalam soal agama,” tuturnya.

Dalam pada itu, Ezlynn mengakui dia kini lebih berhati-hati dalam memilih pasangan hidup memandangkan hatinya pernah parah terluka suatu masa dahulu.

“Sememangnya putus cinta sesuatu yang sangat menyedihkan, sebab itu apabila kembali bercinta, saya cukup hati-hati, bimbang saya terluka lagi,” ujarnya.


SELEPAS muncul dengan single, Tic Tac Toe, Ezlynn bakal menampilkan single terbarunya yang berjudul Dusta.


Tatkala berbicara pula mengenai perancangan untuk berkahwin, gadis bersuara serak-serak basah itu bagaimanapun mengesahkan sememangnya benar sama sekali dia ingin menamatkan zaman bujangnya tahun hadapan.

“Saya memang merancang ingin berkahwin apabila umur saya mencapai 30. Saya belum bersedia mendedahkan bakal suami kepada umum. Bila tiba masa akan diberitahu,” kata Ezlynn, 29, ketika ditemui pada majlis pelancaran Peek-A-Boo Restyled Party, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mengikut perancangannya, Ezlynn bakal melangsungkan perkahwinan pada bulan November 2011 setelah membuat perbincangan serius bersama ibunya.

Jika pada tahun ini, ramai yang merancang untuk berkahwin pada ‘tarikh keramat’ 10.10.10, pada tahun depan juga muncul satu tarikh keramat iaitu 11.11.11 dan khabarnya Ezlynn telah memilih tarikh tersebut untuk melangsungkan perkahwinan,

Apabila diajukan soalan mengenai tarikh bertuah 11 November, 2011 yang dipilih ibunya untuk dirinya bergelar isteri, sambil mengukir senyuman di wajah, Ezlynn menyatakan jikalau tiada aral yang melintang pastinya tarikh tersebut dipilih.

“Sememangnya tarikh tersebut agak menarik dan mudah untuk diingat. Ibu pun sudah memilihnya, justeru andai tiada sebarang halangan, insya-Allah saya akan melangsungkan perkahwinan pada tarikh tersebut,” ungkapnya.

Bunting pelamin

Setiap wanita yang berkahwin semestinya inginkan kebahagiaan sepanjang hayat begitu juga dengan penyanyi kelahiran Ulu Kinta, Perak ini.


FIGURA ini bertegas tidak akan bersara daripada karier seninya selepas bergelar isteri nanti.


Sehubungan itu, Ezlynn mengakui fobia dengan isu kahwin cerai di kalangan masyarakat kini, khususnya artis.

“Saya mengakui agak bimbang kerana baginya penceraian akan hancurkan setiap impian yang dibina, katanya lagi.

Jelas Ezlynn lagi, dia tidak akan berhenti menjadi penghibur walaupun telah bergelar isteri. Walaupun menjadi ibu, Ezlynn tidak akan berhenti untuk terus menjalankan aktiviti sebagai seorang insan yang bergelar artis.

“Saya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab menjadi ibu dan saya lebih gembira jika ditakdirkan bunting pelamin,” jawab Ezlynn sambil ketawa besar.

Bercerita pula tentang karier, Ezlynn memberitahu dia sedang menunggu filem terbaru lakonannya yang akan ditayangkan di pawagam pada Februari depan.

Filem aksi komedi arahan Dharma Harun Al-Rashid yang berjudul Adik Manja Return juga menampilkan pelakon jelita Rozita Che Wan, Kenchana Dewi, Scha Al-Yahya, Faezah Elai, Jihan Raja Lawak dan Fida.

“Adik Manja Return diberi suntikan zaman kini dan masih lagi mengekalkan jalan cerita Adik Manja. Filem itu mengisahkan tentang kenakalan pelajar perempuan di kolej swasta,” ujarnya.


EZLYNN bersama dua rakan selebriti, Xenia (tengah) dan Juliana Evans.


Selain itu, Ezlynn juga terlibat dengan beberapa lakonan drama bersiri dan antaranya ialah Suara Hati yang sedang ditayangkan di saluran Astro Prima, yang mana Ezlynn berlakon di samping Zamarul Hisham dan Intan Sarafina.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: